Categories
Diari

Terima Kasih Dr. Taufik

Hari ini, merupakan hari yang sukar untuk saya perjelaskan.

Mood yang agak sedih setelah terpaksa berpisah dengan Ketua Jabatan yang telah banyak membantu saya dalam karier. Seorang Ketua Jabatan yang cukup prihatin dan mesra walaupun kadang kala kami semua terketar-ketar kalau beliau dalam mood marah. Tetapi semuanya hanya disebabkan kerja dan selepas itu, semuanya kembali OK.

Pernah saya menghadapi masalah kesempitan wang, lalu saya meminjam dengan beliau. Cukup mudah. Begitu juga dalam soal kesihatan, banyak perkara yang saya tanyakan untuk kepastian. Keperihatinan beliau dalam menjaga kebajikan staf-staf di bawah beliau juga cukup membuatkan kami semua berasa selesa.

Hala tuju dan perancangan mantap beliau telah menaikkan imej jabatan ke tahap yang cukup membanggakan. Namun sudah resam dunia. Perpisahan tidak dapat dihalang. Kami kini kehilangan seorang Ketua Jabatan yang amat berdedikasi dan memahami.

Sewaktu majlis perpisahan tadi, memang saya tidak mahu berdepan secara terus dengan beliau kerana masih mengharap beliau akan kembali ke jabatan.

Ya Zal Jalali Wal Ikram

Ya Allah Ya Tuhan kami, jadikanlah pertemuan ini sebagai pertemuan yang diRahmati, dan jadikanlah perpisahan ini sebagai perpisahan yang diBerkati.

Apa pun Terima Kasih Prof. Madya Dr. Ahmad Taufik Jamil.

Categories
Diari

Jalinan Kasih

Tempohnya cuma lebih kurang tujuh bulan. Namun ikatan yang terjalin sudah cukup erat hinggakan saya sendiri terasa betapa eratnya jalinan yang telah terjalin. Itu antara perasaan saya terhadap hubungan Syasya dan gurunya yang bakal kembali ke negara asalnya.

Ketika mula, saya menghantar Syasya ke tadika, saya agak terkejut kerana seorang guru Syasya tidak boleh berbahasa Melayu. Saya terfikir, rakyat Malaysia jenis apa tak tahu berbahasa Melayu. Rupanya beliau bukan dari Malaysia.

Mulanya saya risau, takut-takut sukar untuk Syasya. Namun setelah lama memerhati, saya lihat Syasya cukup selesa dengan dua orang guru yang mengasuhnya iaitu seorang guru Melayu dan guru yang saya maksudkan di atas. Saya ringkaskan sebagai Teacher L.

Kedua-dua guru inilah yang saya lihat benar-benar menjaga Syasya dengan baik. Setelah guru berbangsa Melayu itu ditukarkan ke cawangan lain, ada pengganti iaitu seorang cikgu India Muslim tetapi saya masih melihat Teacher L sebagai yang paling serasi dengan Syasya. Mungkin juga Syasya adalah murid yang paling muda di tadika tersebut.

Saya seronok dengan keadaan itu walaupun ada perbezaan dari segi budaya, agama dan lain-lain tetapi semua itu dihormati sebaik mungkin dan minggu lepas saya terima mesej dari isteri saya bahawa Teacher L akan kembali ke negara asalnya. Waktu itu Syasya sudah beberapa hari tidak ke tadika. Hari Jumaat Syasya bersama saya ke Pulau Pangkor sehingga hari Ahad.

Hari Isnin Syasya demam dan tidak ke tadika. Hari Selasa, demam Syasya masih belum benar-benar sembuh tetapi saya dan isteri terpaksa hantar ke tadika kerana saya ada simulasi MyHIX di Cyberjaya dan isteri pula bertugas. Bila sampai di tadika, Teacher L maklumkan bahawa minggu ini adalah minggu terakhir beliau bertugas dan beliau amat rindukan Syasya. Kalau Syasya tak datang juga, beliau nak telefon saya suruh hantar juga Syasya. Saya rasa terharu dalam keadaan sedemikian.

Ketika mengambil Syasya petang itu, Teacher L mencium Syasya sepuas-puasnya. Saya rasa betapa beratnya nak pisahkan seorang penjaga Syasya yang cukup dedikasi. Teacher L maklumkan kepada saya, yang komputer dan handset beliau dipenuhi oleh gambar Syasya kerana Syasya baginya amat istimewa.

Bila Syasya balik rumah, saya ceritakan kepada Syasya tentang perpisahan tetapi Syasya memang tidak mengerti tentang perpisahan. Syasya masih lagi terlalu kecil untuk memahami erti perpisahan. Dia tidak tahu yang Teacher L akan kembali ke negaranya yang beribu-ribu kilometer jauhnya.

Kemudian, atas menghargai jasanya, isteri saya bertungkus lumus menyediakan sedikit kenangan sebagai tanda perpisahan dan semalam adalah hari terakhir Teacher L di tadika tersebut dan ketika saya ambil Syasya pada petangnya, Teacher L agak terkejut sebab saya ambil Syasya awal. Beliau seolah tidak puas bersama Syasya dan mencium serta mendukung Syasya sepuasnya. Nampak seolah beliau cukup terharu dan berat meninggalkan Syasya.

Bila saya bertanya, mengapa nak balik ke negara asal, beliau maklumkan yang beliau sudah mendapat kerja di sebuah bank dan akan cuba balik bercuti di Malaysia jika ada masa lapang. Hmmm… Terasa betapa eratnya erti kasih sayang walaupun ada perbezaan yang cukup besar!

p/s: Kuiz tanpa hadiah. Apakah negara asal Teacher L?