Categories
Diari

Anda Boleh Lakukan Perubahan Jika Anda Mahu

Saya sebenarnya terbaca sebuah kisah ringkas yang cukup memberi kesan kepada saya.

Kisahnya lebih kurang begini. Pada suatu ketika, seorang lelaki berjalan-jalan di tepian pantai. Sambil menghirup udara segar beliau menikmati keindahan panorama di situ.


Kemudian beliau terserempak dengan ratusan tapak sulaiman yang terdampar di tepian pantai akibat fenomena biasa alam. dan di situ ada seorang lelaki budiman yang mengutip semula tapak Sulaiman itu dan dilemparkan semula ke laut. Lalu beliau merasakan ia suatu tindakan sia-sia di mana sudah pasti kebanyakan Tapak Sulaiman itu akan mati dan beliau menyapa lelaki tersebut, “Tidak kah tindakan kamu ini sia-sia sahaja? Anda tidak mampu mengubahnya !”

Lelaki budiman itu pun berhenti seketika sambil memandang lelaki tersebut. Lalu lelaki budiman itu mengambil seekor lagi tapak sulaiman dan melontarkannya ke laut seraya berkata, “Aku melakukan perubahan dengan satu lontaran ini”


Kita selalu seringkali melihat perubahan itu pada sisi yang besar sahaja tanpa kita menyedari ia boleh bermula dengan tindakan-tindakan kecil biarpun mungkin kita tidak dapat mengubah kesemuanya tetapi kita mampu melakukan perbezaan dengan usaha kita tersebut. Justeru, kalau kita mahu melakukan sesuatu perubahan, tidak perlulah kita tunggu hendak melakukan langkah yang besar.

Categories
Rencana

Bagaimana Membuang Rasa Bosan Yang Menimbulkan Keletihan

Keletihan biasanya disebabkan oleh emosi. Hanya sedikit sahaja yang diakibatkan oleh tenaga fizikal. Hal ini merupakan kenyataan yang telah lama diketahui ramai. Dr Joseph E.Barmack melaporkan di dalam majalah Archieves of Psychology bagaimana rasa bosan itu menimbulkan keletihan.

Salah satu punca utama keletihan ialah rasa bosan. Sebagai gambaran kita ambil contoh Aniza yang merupakan seorang jurutaip di sebuah jabatan kerajaan. Setiap petang apabila pulang dari pejabat, beliau berasa sungguh letih. Beliau benar-benar letih hinggakan kepalanya pening, belakang dan pinggangnya berasa sakit. Justeru itu beliau bergegas meninggalkan pejabat sejurus berakhirnya waktu bekerja. Beliau benar-benar letih sehingga tiada selera untuk makan malam.

Tetapi jam 8.30 malam suaminya balik dari bekerja dan mengajaknya keluar untuk membeli barang yang dijanjikan. Seketika itu juga mata Aniza bersinar-sinar tiba-tiba sahaja semangatnya kembali bangkit. Beliau cepat-cepat bersiap dan keluar bersama suaminya. Ketika sampai semula di rumah, beliau sama sekali tidak berasa letih. Beliau sangat seronok dan gembira.

Adakah setelah bekerja selama 8 jam, Aniza benar-benar berasa letih ? Adakah beliau cuma berpura-pura sahaja ? Tidak. Aniza benar-benar letih. Letih kerana bosan dengan pekerjaannya. Mungkin juga bosan dengan hidupnya. Di dalam hidup ini ramai yang mengalami keadaan seperti Aniza. Barangkali kita salah seorang dari mereka. Keletihan biasanya disebabkan oleh emosi. Hanya sedikit sahaja yang diakibatkan oleh tenaga fizikal. Hal ini merupakan kenyataan yang telah lama diketahui ramai. dr Joseph E.Barmack melaporkan di dalam majalah Archieves of Psychology bagaimana rasa bosan itu menimbulkan keletihan.

Beliau mengadakan beberapa penyelidikan terhadap sekumpulan mahasiswa. Ujikaji yang dilakukan oleh beliau adalah sesuatu yang tidak mereka sukai. Hasilnya para mahasiswa itu berasa letih dan mengantuk. Malah ada juga yang mengalami sakit perut. Para mahasiswa tersebut juga mengikuti ujian metabolisme (pertukaran zat). Ujian ini menunjukkan apabila seseorang berasa bosan, maka tekanan darah dan penggunaan oksigennya menurun. Sebaliknya apabila seseorang gembira dan tertarik pada pekerjaan yang dilakukannya, maka metabolisme nya akan meningkat.

Sebenarnya kita jarang berasa letih jika kita mengerjakan sesuatu yang menarik dan menyeronokkan. Fikirkanlah, apakah keuntungan yang boleh kita perolehi bila pekerjaan itu menarik dan menyeronokkan. Ingatlah selalu bahawa ianya dapat melipatgandakan kebahagiaan hidup kita, kerana sebahagian daripada hidup kita, dihabiskan di tempat kerja. Jadi kalau kita menyukai tugas yang kita lakukan, semasa bekerja kita akan berasa bahagia. Sebaliknya jika kita tidak dapat menemui kebahagiaan dalam pekerjaan, maka kita tidak akan menemuinya di mana-mana.

Kita juga perlu ingat sekiranya kita menyukai pekerjaan maka fikiran akan menjadi tenang, kita tidak berasa bimbang dan apa yang lebih penting kita dapat melakukan pekerjaan dengan lebih baik. Sebagai seorang Islam sememangnya kita tidak mengharapkan keuntungan kebendaan, tetapi dengan menyukai pekerjaan, kita tetap akan mendapat keuntungan lain, iaitu keletihan turun ke tahap minima dan kita dapat hidup gembira dan bahagia.

Oleh : Mohd Asri bin Abdullah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

p/s: Sedikit motivasi untuk meningkatkan semangat bekerja… Biasalah hari Isnin orang pakat dok kena ‘Monday Fever‘. Saya terima artikel ini menerusi email.