Categories
Diari

Alhamdulillah Kembali Normal

Setelah ECV gagal, saya dan isteri mencuba kaedah lain. Solat Hajat, Minum Air Zam Zam sambil selawat dan niat agar kandungan berkedudukan normal serta mengambil ubat Homeopati. Malam tadi isteri saya terasa sakit-sakit di bahagian perut dan pinggang. Risau jugak tapi dalam hati saya ada keyakinan yang bayi sedang berpusing.

Temujanji seterusnya dengan doktor adalah pada 15 Disember nanti dan jika keadaan bayi masih songsang, isteri saya akan masuk wad dan akan menjalani ceasarean pada 16 Disember. Jadi setelah rasa sakit-sakit malam tadi, kami memutuskan untuk ke klinik untuk mengetahui keadaan sebenar.

Sebelum scan, apabila doktor memegang perut bahagian bawah isteri saya, doktor menyatakan macam kepala di bawah dan Alhamdulillah setelah scan, doktor mengesahkan bahawa kandungan isteri saya dah normal. Terima Kasih Ya Allah…

Kini bila-bila masa sahaja.

Kena sentiasa bersedia!

Categories
Diari

ECV

Hari ini cukup mendebarkan bagi saya… Sejak beberapa bulan lepas, setelah scan perut isteri saya, saya dapati kandungan berada dalam keadaan songsang. Kalau ikutkan pengalaman sebelum ini, ia normal kerana masih di peringkat awal namun setelah kandungan berusia 36 minggu ia masih lagi songsang. Justeru doktor memberi pilihan agar dilakukan ECV untuk membetulkan masalah ini agar kelahiran dapat dilakukan secara normal.

Apa itu ECV?

ECV ialah External Cephalic Version yang dilakukan bagi memusingkan kedudukan bayi kepada kedudukan normal. Menurut doktor, tak semua pengamal perubatan boleh melakukannya kerana ia memerlukan yang tinggi. Bagi saya, saya tetap positif dengan keadaan ini kerana yang penting ialah SELAMAT. Ada juga saranan mencuba bidan kampung tetapi pada saya ECV ini lebih kurang apa yang bidan kampung lakukan namun kekurangan bidan kampung ialah mereka tidak dapat melakukan pemantauan segera.

Jika dilakukan oleh pegamal perubatan bertauliah, pemantauan dapat terus dilakukan agar keselamatan ibu dan anak dapat dijamin. Pemantauan akan dilakukan agar keadaan yang tidak diingini tidak berlaku. Jika terdapat komplikasi seperti uri lekang, degupan jantung anak tidak stabil dan uri tersimpul dan lain-lain, tindakan segera dapat dilakukan.

Hmmm… Pertama kali keadaan sebegini berlaku agak meresahkan isteri saya. Puas saya menenangkan beliau tetapi keresahan itu tetap wujud maklumlah beliau yang akan menghadapi semua ini. Jauh di sudut hati, saya cukup terkesan dengan semua ini tetapi kata akal saya, saya tetap amat positif dan amat berharap kepada Allah semuanya akan kembali normal, InsyaAllah…

Inilah pengorbanan seorang ibu dan isteri yang akan saya kenang. Saya tak mahu tunjuk sangat keresahan saya di depan isteri tersayang kerana saya mahu dia kuat menghadapi situasi ini. Andai berlaku kecemasan, beliau terpaksa dibedah untuk melahirkan anak. Semoga sayang tabah dan kuat menghadapi situasi ini. Abang akan sentiasa memberi sokongan penuh.

Sekejap lagi, kita akan ke hospital dan abang doakan semuanya berjaya. Saya pohon jasa baik semua pembaca blog saya ini sama-sama mendokan kejayaan ECV ini dan jasa baik anda semua hanya Allah yang mampu membalasnya.

Dengan penuh debar dan harapan, kubermohon kepada-Mu Ya Allah… Mudahkan segala urusan aku dan isteri. Hanya kepada-Mu kami berharap. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Besar.