Categories
Rencana

Fitnah Siber: Teliti Dahulu Sumber

Allah S.W.T. berfirman yang maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa berita, maka selidikilah (untuk menentukan kebenarannya) supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (Q.S. al-Hujurat: 6)

 

Saya sering terganggu dengan pelbagai fitnah siber yang cukup menggila ketika ini. Masyarakat pula mudah percaya dan akibatnya berangkai. Hilangnya keharmornian adalah salah satu padah yang harus ditanggung sehinggakan masyarakat berpecah belah.

Dengan sedikit ilmu IT yang saya ada, saya ingin mengajarkan beberapa tips untuk kita teliti dahulu sumber sebelum kita dapat sahihkan apa yang kita baca.

 

PERTAMA

Guna aplikasi Googles Goggles yang dibangunkan oleh Google.

2016-11-29-19-30-52

Aplikasi ini, memberi kita pilihan untuk mengimbas imej yang kita lihat dan ia akan memaparkan sumber asal imej itu. Jadi kita boleh lihat sama ada ia benar atau palsu. Cuma aplikasi ini sudah lama tidak dikemaskini oleh pembangunnya. Mungkin ada masalah sehingga perkembangan aplikasi ini terhenti setakat itu sahaja.

 

KEDUA

Kedua adalah menerusi IMAGE SEARCH tak kiralah menerusi enjin carian apa pun. Dalam kes ini, saya pamerkan contoh Google Image Search.

Saya berikan satu contoh yang viral baru baru ini… Lihat imej di bawah:-

2016-11-29-19-33-46

Sekali imbas, memang nampak membangkitkan semangat umat Islam untuk menentang Regim Myanmar tetapi penggunaan grafik yang salah. Ia memberi banyak gambaran bercampur jika grafik salah digunakan kerana apa yang saya dapati dalam banyak isu, grafik yang digunakan disalah guna dari kejadian lain untuk membentuk tanggapan lain. Dalam hal ini, kita kena bijak dan bersifat kritis dalam menganalisis sesuatu isu.

Saya berikan cara untuk menyemak asal imej yang digunakan. Rujuk langkah di bawah:-

2016-11-29-19-38-06

Buka laman Google Image search (https://images.google.com). Bagi pengguna mobile pastikan ditukar kepada desktop mode.

 

2016-11-29-19-40-28

 

Letakkan URL imej yang kita baca atau pun muat naik imej yang kita ingin semak asalnya.

 

2016-11-29-19-44-15

2016-11-29-19-46-55Dalam kes ini, kita boleh lihat bahawa imej yang dimaksudkan sudah berada dalam dunia maya sejak tahun 2008 lagi! Bukannya ketika status dikemaskini oleh pemilik FB di atas (2016) yang mendakwa peperangan di Myanmar tetapi ia merujuk kepada Moro Islamic Liberation Front (MILF). Ternyata ia disalah guna. Ada juga ia dimuatkan dalam forum sejak 2008 lagi. Jadi kita hendaklah bijak meneliti sumber agar tidak berlaku fitnah.

 

Dalam contoh saya ini, saya cuma menunjukkan satu sisi di mana kita boleh lihat bagaimana penyalahgunaan maklumat dilakukan. Banyak dalam media sosial hari ini, kita dapat lihat fitnah fitnah yang tersebar. Ia menuntut kita untuk berfikir secara kritis agar kita tidak terpengaruh dengan perang saraf yang dilakukan. Juga untuk kita tidak sewenang wenangnya menyebarkan fitnah yang kesannya akan berangkai dalam dunia IT kini.

 

Saya berharap, dengan sedikit tips yang dapat saya berikan ini, dapat membantu kita semua untuk sama sama memastikan setiap info yang kita dapat adalah sahih sebelum kita mengambil tindakan lanjut. Sememamngnya dalam dunia masa kini, kita berhadapan dengan bermacam cabaran terutamanya kecelaruan maklumat yang amat mudah dikutip di hujung jari. Kita sendiri harus bertindak bijak dan tidak mudah dipengaruhi emosi agar tidak terjadi perkara perkara yang tidak baik.

Untuk Umat Islam, seperti yang diajarkan ulama, amalkanlah Nabi saw bersabda :”Barangsiapa yang menghafaz 1-10 ayat dari surah Al-Kahfi di pelihara dan di selamatkannya dari Fitnah Dajjal”. (Diriwayatkan oleh Ahmad dan Muslim, An-Nasaie)

Wallahua’lam