Categories
Diari

Keseorangan

Ketika ini, isteri dan anak-anak saya berada di Kedah. Tinggallah saya keseorangan di KL. Apakan daya, demi tugas, saya perlu kembali dan laksanakan. Bila balik rumah memang terasa sungguh sunyi. Kalau tidak ada gelak hilai dan keletah Syasya, tapi kini hanya komputer jadi peneman. TV saya tak tengok sangat melainkan berita dan sukan.

Bila telefon rumah di Kedah, dan bila terdengar suara Syasya menangis nak mai kat saya, terasa cukup indah pulak walaupun bercampur sayu. Nanti Walid balik tau Syasya. Lepas tu dengar suara Syafi yang nak susu, rasa rugi pulak tak dapat tatap wajahnya sebab waktu kecik ni cepat berubah perkembangan bayi.

Bila tengok rumah yang berserabut, teringat betapa tekunnya isteri saya kemaskan. La ni kalau dia balik rumah, mesti habis saya kena bebel. Hehehe… Memang berselerak. Tak tahulah macam mana nak kemas. Saya rasa dah kemas dah tapi kalau isteri saya buat, sekejap ja dah nampak kemas. Hmmm…

Alhamdulillah dalam tempoh seminggu saya dah sempat buat Akikah untuk Syafi. Seperti Syasya, saya laksanakan Akikah di Kemboja melalui Al-Ameen. Alhamdulilah kerana ia dilaksanakan dalam Bulan Ramadhan dan akikah itu dilaksanakan untuk saudara kita di Kemboja berbuka puasa.

Kalau di Malaysia, kita buat Akikah, kadang kala bila saya tengok rasa macam membazir sebab banyak yang terbuang dan satu lagi sikap orang kita kalau ambik tu banyak-banyak tetapi makannya seciput ja. Last sekali banyak sisa yang dibuang begitu sahaja. Berbeza dengan saudara kita di Kemboja yang begitu daif. Saya difahamkan, apabila ada Akikah dilakukan di sana, ia pasti habis licin. Bagi mereka, nak daging itu adalah makanan yang cukup mewah. Apa pun, yang paling penting sebenarnya niat di hati kita.

Alhamdulillah juga kerana sejak awal lagi balik Kedah tempoh hari, saya terus tunaikan Zakat Fitrah bersama tambahan tanggunggan saya yang baru iaitu Syafi Hana. Terasa lega bila semua kewajiban itu dilaksanakan.

Kini Syafi sudah pun botak. Botak setelah dicukur kepalanya. Memang disunatkan bercukur kerana salah satu faedahnya ialah ia dapat membersihkan kekotoran yang mungkin terlekat pada rambut bayi yang mungkin sukar untuk ditanggalkan. Ada yang salah faham dengan hanya menggunting dua tiga helai rambut ketika bercukur bayi. Apa pun Alhamdulillah ia telah dilaksanakan.

Syafi Hana Selepas Bercukur
Syafi Hana Selepas Bercukur

Dan bila mengingatkan semua itu, saya terasa cukup sunyi bila di rumah berseorangan. Mujurlah begitu banyak tugas (macam nak kerja banyak ja. Hehehe) yang perlu diselesaikan. Banyak dateline yang perlu dipatuhi membuatkan masa berlalu begitu pantas dan berjaya mengisi kekosongan itu.

InsyaAllah esok malam, saya akan bergerak ke kampung untuk kembali bersama insan-insan yang amat bermakna dalam hidup saya. Moga kesunyian ini akan berakhir, InsyaAllah…

p/s: Bila dah ada dua anak, terbayang macam nak lagi tetapi bila terfikir tentang amanah yang harus dipertanggungjawabkan, terasa gerun dan amat mencabar…

Categories
Diari

Selamat Hari Lahir Syasya

Alhamdulillah…

Hari ini genap tiga tahun usia Syasya. Dalam masa tiga tahun, dah banyak yang Syasya dapat pelajari. Alhamdulillah… Dan mungkin juga dalam bila-bila masa ini Syasya akan dapat adik.

Jangkaan isteri saya bersalin adalah 03 September 2009 tetapi saya merasakan hujung Ogos adik Syasya dah dilahirkan. Hmmm… Sedang menanti dengan penuh debaran… Bila-bila masa sahaja ini.

Untuk pak-pak menakan… Sila siap duit raya satu sampul lagi tau 😉

Selamat Hari Lahir Syasya Hana…

p/s: Maaf, saya agak sibuk kebelakangan ini dan usaha memulihkan dan set up hosting sedang dilaksanakan. InsyaAllah nanti saya akan kembali aktif seperti biasa.

Categories
Diari

Sambutan Hari Lahir Syasya

Syasya Lahir pada 30 Ogos 2006

30 Ogos 2009 jatuh pada hari Ahad dan dalam bualan Puasa. Jadi, saya dan isteri mengatur perancangan untuk mengadakan sambutan hari lahir Syasya 10 hari lebih awal iaitu pada hari ini.

Pagi nanti, kami akan bawa kek yang telah dibeli ke tadika Syasya. Semalam kami dah pun bawa 36 bungkus goodies untuk rakan-rakan di tadika Syasya. Biasanya bila ada kawan-kawan Syasya sambut hari lahir, depa akan berikan satu party pack kepada setiap rakan tadika di situ yang berjumlah 36 orang.

Hmmm… Saya dan isteri ingat kot murah nak buat macam tu tapi rupanya agak mahal. Beli party pack untuk 10 orang harganya RM16.99. Untuk 36 kena beli empat set. Dah berapa dah…

Itu tak termasuk makanan dan minuman lagi serta kek. Banyak jugak kos sampai hampir RM200 kami belanjakan. Adoi, nasib baik isteri yang tercinta ada bajet. Hehehe… (Ayat bodek)

Lepas beli semua barang tersebut, saya agak pening kepala tengok kos namun pagi semalam ia terubat bila tengok Syasya tersenyum lebar dan amat ceria bila tengok semua goodies tu.

“Happy birthday Syasya kan?” Tanya Syasya
“Ya” jawab saya.

Sepanjang perjalanan ke tadika semalam, Syasya asyik nyanyikan lagu, “Happy Birthday to Syasya, happy birthday to Syasya,” berulang kali.

Memang kepuasan terjelma bila tengok Syasya gembira.

Categories
Diari

Marah Syasya

Pagi tadi, saya terbangun jam 6.15 pagi. Terus saya Solat Subuh dan dengan keletihan fizikal dan mental saya terus tidur semula. Alih-alih dekat jam 8 pagi dah.

Apa lagi, kelam kabutlah saya. Syasya memang dah bangun. Saya kena mandikan Syasya tapi Syasya buat liat tak mahu mandi. Terpaksa saya paksa. Bila masuk bilik mandi, Syasya tak mahu bukak pampers dan saya cuba buka dia tak bagi. Syasya duduk dan berkeras dalam bilik mandi tak mahu mandi.

Apa lagi, terus saya marah Syasya. Syasya memang salah satu perkara yang cukup sukar ialah nak pakaikan baju dan mandikan dia. Memang liat. Syasya terkejut dengan jerkahan saya sampai menangis terisak-isak dan tersedu-sedu. Tapi dia masih berdegil. Saya pukul Syasya (Perlahan ja) dan Syasya terus menangis. Saya jerkah lagi dan dia terus menangis.

Saya dengan cara paksa buka pampers dia dan mandikan juga dia. Kemudian saya suruh Syasya gosok gigi, Syasya berdegil tak mahu. Lalu saya ambil tuala lapkan Syasya dan tinggalkan di atas katil sambil memarahi Syasya. Syasya terus menangis.

Memang saya terpaksa marah Syasya. Dengan dah lewat, sakit badan dan kepenatan, saya memang terpaksa marah untuk Syasya tahu mandi, gosok gigi semua tu memang perlu pada waktu pagi.

Bila nak ke tadika, Syasya nak main dengan saya terlanggar dinding dan menangis pulak. Memang hari ni Syasya asyik nangis sahaja. Last sekali saya sampai pejabat 8.36 sedangkan saya masuk jam 8.30 pagi.

Bila difikirkan semula, rasa kasihan pun ada sebab tengok Syasya macam ketakutan tadi. Saya jenis susah nak marah. Kalau dah marah tahu-tahu lah. Saya sayangkan Syasya tapi saya tak mahu kasih sayang seperti yang Sazali  (Rujuk Filem Anakku Sazali) terima. Saya terpaksa juga marah.

Mungkin Syasya terkejut sebab jerkahan saya agak kuat dan saya memang jarang tinggikan suara sebegitu kepada Syasya. Ni kali kedua. Lepas saya marah tadi, Syasya terus ikut cakap saya.

Bila nak sampai tadika, saya tanya Syasya, “Tadi Walid marah Syasya ka?”
“Tak. Walid sayang Syasya” Katanya sambil mengucup pipi saya. Aduh… rasa terharu + bersalah. Tapi saya terpaksa marah demi kebaikan Syasya.

Syasya jangan liat pakai baju dan mandi lagi tau!

Walid sayangkan Syasya…

Categories
Diari

Walid Ada Baby

Suatu petang, Syasya bertanya kepada saya, “Walid ada baby kan?”

“Ada, dalam perut Umi”
“Syasya baby dekat Walid”
“Mana?” Lalu Syasya tunjuk perut saya.

Adoi, Nak kena Syasya ni. Hehehe… Nampak sangat dah overweight !

Categories
Diari

Jalinan Kasih

Tempohnya cuma lebih kurang tujuh bulan. Namun ikatan yang terjalin sudah cukup erat hinggakan saya sendiri terasa betapa eratnya jalinan yang telah terjalin. Itu antara perasaan saya terhadap hubungan Syasya dan gurunya yang bakal kembali ke negara asalnya.

Ketika mula, saya menghantar Syasya ke tadika, saya agak terkejut kerana seorang guru Syasya tidak boleh berbahasa Melayu. Saya terfikir, rakyat Malaysia jenis apa tak tahu berbahasa Melayu. Rupanya beliau bukan dari Malaysia.

Mulanya saya risau, takut-takut sukar untuk Syasya. Namun setelah lama memerhati, saya lihat Syasya cukup selesa dengan dua orang guru yang mengasuhnya iaitu seorang guru Melayu dan guru yang saya maksudkan di atas. Saya ringkaskan sebagai Teacher L.

Kedua-dua guru inilah yang saya lihat benar-benar menjaga Syasya dengan baik. Setelah guru berbangsa Melayu itu ditukarkan ke cawangan lain, ada pengganti iaitu seorang cikgu India Muslim tetapi saya masih melihat Teacher L sebagai yang paling serasi dengan Syasya. Mungkin juga Syasya adalah murid yang paling muda di tadika tersebut.

Saya seronok dengan keadaan itu walaupun ada perbezaan dari segi budaya, agama dan lain-lain tetapi semua itu dihormati sebaik mungkin dan minggu lepas saya terima mesej dari isteri saya bahawa Teacher L akan kembali ke negara asalnya. Waktu itu Syasya sudah beberapa hari tidak ke tadika. Hari Jumaat Syasya bersama saya ke Pulau Pangkor sehingga hari Ahad.

Hari Isnin Syasya demam dan tidak ke tadika. Hari Selasa, demam Syasya masih belum benar-benar sembuh tetapi saya dan isteri terpaksa hantar ke tadika kerana saya ada simulasi MyHIX di Cyberjaya dan isteri pula bertugas. Bila sampai di tadika, Teacher L maklumkan bahawa minggu ini adalah minggu terakhir beliau bertugas dan beliau amat rindukan Syasya. Kalau Syasya tak datang juga, beliau nak telefon saya suruh hantar juga Syasya. Saya rasa terharu dalam keadaan sedemikian.

Ketika mengambil Syasya petang itu, Teacher L mencium Syasya sepuas-puasnya. Saya rasa betapa beratnya nak pisahkan seorang penjaga Syasya yang cukup dedikasi. Teacher L maklumkan kepada saya, yang komputer dan handset beliau dipenuhi oleh gambar Syasya kerana Syasya baginya amat istimewa.

Bila Syasya balik rumah, saya ceritakan kepada Syasya tentang perpisahan tetapi Syasya memang tidak mengerti tentang perpisahan. Syasya masih lagi terlalu kecil untuk memahami erti perpisahan. Dia tidak tahu yang Teacher L akan kembali ke negaranya yang beribu-ribu kilometer jauhnya.

Kemudian, atas menghargai jasanya, isteri saya bertungkus lumus menyediakan sedikit kenangan sebagai tanda perpisahan dan semalam adalah hari terakhir Teacher L di tadika tersebut dan ketika saya ambil Syasya pada petangnya, Teacher L agak terkejut sebab saya ambil Syasya awal. Beliau seolah tidak puas bersama Syasya dan mencium serta mendukung Syasya sepuasnya. Nampak seolah beliau cukup terharu dan berat meninggalkan Syasya.

Bila saya bertanya, mengapa nak balik ke negara asal, beliau maklumkan yang beliau sudah mendapat kerja di sebuah bank dan akan cuba balik bercuti di Malaysia jika ada masa lapang. Hmmm… Terasa betapa eratnya erti kasih sayang walaupun ada perbezaan yang cukup besar!

p/s: Kuiz tanpa hadiah. Apakah negara asal Teacher L?

Categories
Diari

Menu Yang Tak Disangka-Sangka

Hmmm… Syasya memang jenis yang susah nak makan. Kalau ajak Syasya makan memang cukup liat. Isteri saya cukup risau bila Syasya tak makan atau makan sedikit.

Malam semalam, saya ke sebuah restoran bersama isteri dan Syasya. Lepas pesan makanan, saya teringat nak makan telur separuh masak. Saya pesan dua biji. Saya risaukan Syasya yang demam, jadi saya pesan air suam untuk Syasya.

Bila sampai air suam dan Syasya minum terus dia tunjukkan isyarat bagus tanda sedap! Lepas tu dia kata, “Sedap!”. Air suam pun sedap? Hehehe…

Kemudian bila sampai roti canai saya dan telur separuh masak. Syasya beria-ia nak telur separuh masak itu. Tengok-tengok habis satu setengah bijik telur separuh masak tu!

Hmmm… Pujuk makan nasi tak nak, telur jugak kegemaran dia.

Tadi bila keluar makan, menu yang sama kami pesan dan Syasya habiskannya! Tak sangka langsung menu Syasya telur separuh masak dan air suam. Kalau beri nasi atau makanan lain memang liat dia nak makan, tapi telur separuh masak dan air suam, sekejap sahaja!

Categories
Diari

Hobi Baru Syasya

Sabtu lepas selepas ke Karnival Drypers di Taman Tasik Titiwangsa, ada pula Pesta makanan di situ. Jadi memang favouritelah nak menambah bulat lagi perut ni. Hehehe… Pi gerai-gerai di sana tertarik dengan satu gerai yang jual makanan. Bukan makanan manusia tetapi makanan haiwan.

Makanan ikan, hamster, kura-kura dan lain-lain. Syasya pula bila tengok haiwan, memang cukup excited. Jadi Syasya cukup berminat kepada kura-kura dan ikan. Mulanya nak belikan ikan kepada Syasya tetapi memandangkan Syasya ni lasak, kalau dia tolak akuarium, senang ja ikan tu mati. Akhirnya belikan Syasya kura-kura. Kura-kura ni nyawa liat sikit.

Syasya cukup teruja dan selalu jenguk kura-kuranya. Hmmm… Dia dok panggil turtle, puas dok habaq bukan turtle tetapi tortoise. Cuma Syasya ni suka sangat goncangkan akuarium dan besen kura-kura sampaikan kura-kura pening asyik bergoyang ja.

Satu set ada dua ekor kura-kura, satu akuarium kecil + batu + makanan = RM20. Kira oklah tu…

Apa pun, Syasya dah ada hobi baru !

Categories
Diari

Syasya Kecik… Syasya Besar

Semalam

Kadang kala bila kepenatan, cukup seronok melayan keletah anak. Syasya semalam bila saya kata kepada dia, ” Syasya tak boleh main, Syasya kecik lagi…”

Lalu Syasya jawab, “Syasya dah besar!” Sambil menunjukkan jari sejengkal (Ibu jari dan jari telunjuk). Bagi Syasya kalau dia tunjuk jari sejengkal, itu maksudnya besar. Kalau kecil dia akan rapatkan jari telunjuknya dan ibu jari.

Hari ini…

Isteri saya cakap kepada Syasya, “Syasya tak boleh hisap jari, baby kecik boleh lah hisap jari”.

Memang kegemaran Syasya hisap jari. Puas nak betulkan dan tegur.

Lalu Syasya jawab, “Syasya Kecik, boleh hisap jari!”

“Semalam Syasya cakap, Syasya besar,” Tegur saya. 
“Syasya kecik lah,” Jerit Syasya lagi.

Adoi, macam-macam… Pandai betoi nak bagi alasan dan nak teruskan tabiatnya tu.

Syasya Oh Syasya… 

Categories
Diari

Cerita Apa?

Semalam, Syasya bercerita kepada isteri saya… (sila baca dalam pelat kanak-kanak)

“Kaki atashhh, jatuh, potong-potong, darah, mati, kaki tak dak, mata tak dak, telinga tak dak”

Wife saya hairan, apa yang diceritakan oleh Syasya. Siap Syasya boleh ceritakan dalam bentuk lagu lagi!

Nak tahu apa ceritanya?

Sila tekan CTRL + A (Kalau Tak Nampak).

Syasya ceritakan kisah dia pi tengok Tok Wan Sembelih lembu. Waktu nak jatuhkan lembu sebelum disembelih, kaki lembu ternaik ke atas, kemudian jatuh dan Tok Wan sembelih lembu keluar darah dan mati. Mata tiada dan telinga tiada tu masa proses melapah.

Itu yang sebenarnya Syasya nak ceritakan. Hehehe… Memang seronok tengok keletah si comel ni!