Categories
Diari

Dah Main Lagu Raya!

Jumaat Malam Sabtu lepas, saya dan keluarga ke sebuah Pusat membeli Belah di Taman Connought, Cheras.

Bila mula sahaja menjejaki Pusat membeli belah tersebut, saya sudah mendengar irama lagu Raya dialunkan oleh pihak pengurusan pasaraya tersebut. Dah mula dihias dengan ketupat dan pelita yang sinonim dengan Hari Raya.

Ishk… Awai sunggoh depa main lagu raya. Posa pun dak lagi. Hmmm…

Memamng jelas orang lebih mengutamakan raya daripada puasa sedangkan sambutan Ramadhan sepatutnya lebih meriah daripada raya hinggakan ada ahli sufi/ulamak yang menangis apabila perginya Bulan Ramadhan.

Kalau dari perkiraan ahli Falak, kita dijangka berpuasa pada 22 Ogos dan Menyambut satu Syawal pada 20 September 2009.

Selamat Menyambut  Ramadhan Al-Mubarak…

Categories
Diari

Menanti Saat-Saat Kelahiran

Menanti Saat-saat kelahiran anak kedua tidak sama seperti menanti kelahiran anak pertama. Jika dulu, saya memang cukup resah dan risau menanti, tetapi anak kedua kali ini, saya lebih tenang. Cuma yang saya risaukan ialah penularan wabak penyakit yang cukup membimbangkan, apatah lagi golongan yang mengandung adalah golongan yang berisiko tinggi. Sudah ada kes mereka yang mengandung meninggal (termasuk anak dalam kandungan) disebabkan H1N1 di Malaysia.

Persiapan sudah diatur, cuma mungkin perancangan selepas bersalin akan berubah. Isteri saya merancang untuk berpantang di rumahnya di Penang tetapi perkembangan terbaru menyaksikan, kami mungkin terpaksa mengubah perancangan. Ini disebabkan emak mertua saya patah tangan kanan setelah tergelincir di bilik Air, Sabtu lepas.

Mungkin jua akan berpantang di rumah saya di Alor Setar. Hmmm… Masih lagi dalam perancangan dan harapnya ada penyelesaian terbaik. Kalau pantang di KL, alamak kelam kabutlah. Hehehe…

Sedikit merisaukan ketika menanti saat kelahiran kali ini ialah betapa letihnya isteri saya mengandung. Cepat penat dan sakit kaki. Sebab itu pengorbanan seorang ibu diangkat pada suatu tahap yang paling tinggi dan mulia. Kalau saya mengandung tak tahulah sanggup atau tak. Teringat dahulu seorang guru di sekolah rendah pernah pesan lebih kurang begini, “kalau nak tahu betapa peritnya mengandung, ambillah sebiji buah kelapa, ikatkan di perut dan bawa ia sepanjang masa dan jangan dibuangkan langsung. Buatlah selama sembilan bulan. Entah-entah sehari pun tak dapat. Jadi hormatilah ibu”

Saya mengharapkan semuanya berjalan lancar dan jika tiada aral melintang hujung bulan ini atau awal bulan depan akan bergelar kakaklah Syasya Hana. Syasya pun dah nak adik sangat. Sampai dia katakan kepada saya, “Nanti kita pecah perut Ummi, ambik adik”. Hehehe… Ada ka patut… Tak pa lah, Syasya tak mengerti lagi proses kelahiran macam saya kecik-kecik dulu, saya ingat baby keluar ikut mulut. Hehehe… Bila dah masuk sekolah baru tahu. Memang nak tergelak waktu tu.

Doakan semuanya berjalan lancar dan selamat, InsyaAllah…

Categories
Diari

Walid Ada Baby

Suatu petang, Syasya bertanya kepada saya, “Walid ada baby kan?”

“Ada, dalam perut Umi”
“Syasya baby dekat Walid”
“Mana?” Lalu Syasya tunjuk perut saya.

Adoi, Nak kena Syasya ni. Hehehe… Nampak sangat dah overweight !

Categories
Diari

Doa Menghindari Wabak Penyakit

Doa Jauhi Penyakit

Doa di atas, saya dapat menrusi email.

Sama-sama kita amalkan di samping mengambil tindakan perlu seperti yang dianjurkan.

Sudah 27 nyawa yang terkorban setakat hari ini mencerminkan betapa seriusnya penularan wabak ini.

Jumaat lepas pun dah banyak masjid lakukan solat hajat selepas Solat Jumaat memohon agar penularan wabak ini terkawal dan kesejahteraan semua terjamin.

Apa pun, kalau ada notis penutupan, mereka yang terlibat janganlah keluar shopping atau mendedahkan diri mereka kepada orang lain. Patuhi arahan kuarantin di rumah.

Hmmm… Pejabat saya memang tak boleh tutup, kalau tutup habislah sebab saya kerja di Hospital!

Apa pun, sama-samalah kita berdoa agar kita dihindari dari penularan wabak ini, InsyaAllah. Yang pasti, usaha pun kena bukan setakat doa sahaja.

Categories
Diari

Pahit Manis Pangkor 2009

Mungkin dah basi coretan ni. Kisahnya pada minggu lepas dan hari ini baru saya berkesempatan menukilkannya.

Sebenarnya kembara ke Pulau Pangkor adalah untuk menghadiri bengkel sanggar kerja jabatan saya selama tiga hari dua malam. Jadi saya bawa bersama Syasya dan isteri menemani saya.

Manisnya Pangkor adalah disebabkan ia adalah destinasi saya dan isteri berbulan madu kali kedua. Dulu di Langkawi lepas tu Pangkor dan Alhamdulillah ada ‘hasil’nya. Cuma kali ni tuntutan kerja agak tinggi dan bengkel menjangkaui hingga ke tengah malam.

Perancangan asal nak bertolak sebelum Subuh kerana memikirkan kesesakan yang bakal berlaku namun dengan keadaan isteri yang demam dan tidak sihat serta masih ada bahan yang perlu isteri serahkan kepada rakannya, kami kena bertolak lewat. Tambah memburukkan keadaan, waktu tulah saya baru nak isi minyak, bubuh angin kereta dan top up Touch n go. Akhirnya kira-kira jam 10.15 baru dapat bertolak.

Bermula dari tol Jalan Duta, keadaan tidaklah begitu sibuk dan perjalanan bergerak lancar. Kemudian berhenti sarapan di hentian rehat Rawang. Selepas makan bekalan di dalam kereta, saya nak beli air di kedai di situ seorang lelaki menyapa saya dan bertanya sama ada nak beli handset atau tidak. Kemudian seorang lagi tanya nak beli kaca mata atau tidak. Saya dah dapat tangkap bahawa mereka adalah penagih yang menjual barangan curi, lalu saya tidak melayan mereka.

Kemudian bila berpatah balik ke kereta, saya perasan ramai kelibat puak-puak ini, terus saya tinggalkan kawsan rehat itu dengan segera. Puak-puak ni apa sahaja, depa sanggup buat!

Perjalanan diteruskan dan keluar di Bidor meneruskan perjalanan menggunakan jalan biasa. Hmmm… Azabnya bila terperangkap di belakang tiga Lori Tangki. Nak pintas sukar sebab jalan sempit. Bila dah laluan bertentangan clear, masuk kawasan double line pulak!

Kena banyak sabar sebab memikirkan kalau tak sabar, melayang nyawa. Nak pintas pun kereta auto, sukar nak pick up. Dah dapat pintas sebuah lori ada lagi dua lori di depan. Gerun rasanya bila diapit dua lori. Akhirnya dapat pun memintas ketiga-tiga lori tersebut dengan selamat.

Saya mengejar bot jam 1.45 petang. Jarak perjalanan bila tengok papan tanda lagi 126km. Jam dah 12.20 tengahari! Jenuh nak ligan masa, sebab kalau lambat, bot seterusnya pada jam 3.45 petang. Hmmm… Puas saya mengejar masa tetapi masih lagi mengikut had laju yang ditetapkan. Akhirnya saya tiba jam 1.35 petang di jeti Lumut dan terus parking di Sekolah Methodist Lumut. Parking dahulu bayar kemudian sebab penjaga ke Masjid Solat Jumaat. Saya terpaksa kerana musafir.

Alhamdulillah, selamat tiba di Teluk Dalam Resort yang bagi saya cukup menarik dan mendamaikan. Cuma mungkin dari segi maintenance agak kurang sikit. Mungkin kurang bajet disebabkan keadaan ekonomi semasa. Bila masuk bilik, risau tengok isteri yang masih demam. Bila nak beri ubat, pemanas air pulak rosak. Selepas ditukar elektrik pulak terputus. Apa pun selepas lima minit ia kembali normal.

Rakan-rakan lain sampai kira-kira jam 4 petang. Saya dah sempat berehat dah waktu tu. Petang pula, bawa Syasya mandi kolam renang. Syasya tak habis-habis nak berenang. Ada tiga kolam. Satu untuk dewasa dan dua untuk kanak-kanak. Saya cuma bagi Syasya mandi dalam kolam kanak-kanak kecil di mana Syasya boleh jalan dan bermain. Kolam kanak-kanak satu lagi agak dalam bagi Syasya. Tapi Syasya terjatuh dalam kolam tu disebabkan ada kanak-kanak lain tertolak dia. Mujurlah saya sempat selamatkan. Hehehe… Lepas tu tanya Syasya, “nak berenang lagi tak?”. Syasya jawab, “nak”. Hehehe…

Malamnya bengkel bermula dengan taklimat. Tetapi ada seorang rakan yang bayinya ‘diganggu’. Saya diminta untuk membantu bersama dua rakan yang lain. Alhamdulillah ‘gangguan’ berkurangan.

Keesokannya,

Bengkel bermula seawal jam 8.30 pagi berlarutan hingga Asar. Penat tak terkata. Kemudian Syasya yang dah bosan dalam bilik ‘membuli’ umminya yang demam memang excited nampak saya. Dia dah tak sabar nak keluar dan nak berenang. Hari ni saya bawa Syasya main dalam kolam dewasa. tapi Syasya duduk atas kepala saya. Tak dalam sangat dalam 1.5 meter sahaja kedalamannya. Hari ni dua jam Syasya berenang dan main air.

Malam bila bengkel bersambung, saya sekali lagi diminta untuk bantu rakan yang bayinya sekali lagi di’ganggu’. Saya bukanlah pandai sangat bab-bab ni. Kali pertama saya lakukan setelah isteri saya ajar kaedahnya. Bila selesai saya bacakan ayat suci, mata bayi itu memandang tajam ke arah saya. Hmmm… Lepas tu saya telefon bapa mertua saya yang lebih arif dan sedikit sebanyak petua bapa mertua saya membantu.

Kalau nak bantu orang yang diganggu ni memang perlukan seseorang yang tinggi amalannya. Saya memang tak layak nak bantu, cuma bila dah tiada pilihan lain, saya kena bantu setakat yang mampu dengan ilmu yang cetek dan amalan yang kurang ni. Alhamdulilah malam tu, selesai. Kalau tak boleh jugak, nak kena panggil tok imam kampung bantu.

Esoknya, suhu badan Syasya meningkat. Syasya demam dan agak panas. tetapi Syasya tetap aktif. Setelah habis bengkel dan nak makan tengahari Syasya muntah. Hmmm… Ubat tak bawa. Mujurlah big boss saya seorang doktor perubatan dan saya minta beliau periksa Syasya. Doktor kata ok, cuma kena dapatkan ubat.

Di jeti, Syasya tiba-tiba muntah. Habis baju saya! Maaf kepada mereka-mereka yang terkena muntah. Memang tidak dapat dielakkan. Thanks to naterah atas pemberian napkin, Jue atas pemberian air nak bilas, Kak Zett atas pemberian Kool Fever, Nor yang berikan ubat anaknya dan lain-lain yang membantu. Terima kasih.

Bila sampai di Jeti, beg saya tak sampai lagi. Kenalah tunggu dalam 30 minit lagi. Sementara itu pergi ke kereta dulu. Bila nak hidupkan enjin, tak dapat dihidupkan. Satu lagi masalah! Bateri lemah. Lalu saya telefon rakan sebab apa kereta tidak dapat dihidupkan sedangkan bateri masih menyala. Lalu saya diminta melihat pada terminal bateri. Rupanya dah ada manik-manik macam pasir dekat terminal. Jenuh dikikis tapi tak hidup jugak. Akhirnya ada satu keluarga yang parking sebelah kereta saya datang membantu. Depa ada bateri simpanan dan saya gunakan wire jumper untuk hidupkan enjin. Mereka dari Bukit Mertajam dan baru pulang dari Pulau Pangkor. Terima kasih.

Sepanjang perjalanan, saya tak berani matikan enjin. Pukul 4.15 baru dapat bertolak balik dan jam 5.30 petang dah masuk Lebuhraya melalui Bidor. Selepas persimpangan Slim River, tiba-tiba aliran trafik menjadi perlahan. Nampak ambulan bergerak di laluan bertentangan. Saya rasa ada kemalangan. Ramai yang masuk laluan kecemasan hingga menambahkan lagi kesesakan.

Akhirnya beberapa ratus meter dari hentian Behrang ada kemalangan maut. Yang saya perasan macam sebuah superbike berhampiran longkang dan kereta Unser. Kemudian nampak sekujur tubuh ditutupi plastik dan darah berlumuran di situ. Ngerinya! Tinggal satu lorong sahaja yangboleh dilalui. Memang sesak teruk!

Kemudian berhenti di Hentian Ulu Bernam untuk jamak. Mandikan Syasya dan makan sedikit sebelum bertolaj kembali ke Kuala Lumpur selepas Maghrib. Alhamdulillah jam 9 malam selamat tiba di rumah. Begitulah sedikit sebanyak pahit manis Pangkor 2009.

Categories
Diari

Jalinan Kasih

Tempohnya cuma lebih kurang tujuh bulan. Namun ikatan yang terjalin sudah cukup erat hinggakan saya sendiri terasa betapa eratnya jalinan yang telah terjalin. Itu antara perasaan saya terhadap hubungan Syasya dan gurunya yang bakal kembali ke negara asalnya.

Ketika mula, saya menghantar Syasya ke tadika, saya agak terkejut kerana seorang guru Syasya tidak boleh berbahasa Melayu. Saya terfikir, rakyat Malaysia jenis apa tak tahu berbahasa Melayu. Rupanya beliau bukan dari Malaysia.

Mulanya saya risau, takut-takut sukar untuk Syasya. Namun setelah lama memerhati, saya lihat Syasya cukup selesa dengan dua orang guru yang mengasuhnya iaitu seorang guru Melayu dan guru yang saya maksudkan di atas. Saya ringkaskan sebagai Teacher L.

Kedua-dua guru inilah yang saya lihat benar-benar menjaga Syasya dengan baik. Setelah guru berbangsa Melayu itu ditukarkan ke cawangan lain, ada pengganti iaitu seorang cikgu India Muslim tetapi saya masih melihat Teacher L sebagai yang paling serasi dengan Syasya. Mungkin juga Syasya adalah murid yang paling muda di tadika tersebut.

Saya seronok dengan keadaan itu walaupun ada perbezaan dari segi budaya, agama dan lain-lain tetapi semua itu dihormati sebaik mungkin dan minggu lepas saya terima mesej dari isteri saya bahawa Teacher L akan kembali ke negara asalnya. Waktu itu Syasya sudah beberapa hari tidak ke tadika. Hari Jumaat Syasya bersama saya ke Pulau Pangkor sehingga hari Ahad.

Hari Isnin Syasya demam dan tidak ke tadika. Hari Selasa, demam Syasya masih belum benar-benar sembuh tetapi saya dan isteri terpaksa hantar ke tadika kerana saya ada simulasi MyHIX di Cyberjaya dan isteri pula bertugas. Bila sampai di tadika, Teacher L maklumkan bahawa minggu ini adalah minggu terakhir beliau bertugas dan beliau amat rindukan Syasya. Kalau Syasya tak datang juga, beliau nak telefon saya suruh hantar juga Syasya. Saya rasa terharu dalam keadaan sedemikian.

Ketika mengambil Syasya petang itu, Teacher L mencium Syasya sepuas-puasnya. Saya rasa betapa beratnya nak pisahkan seorang penjaga Syasya yang cukup dedikasi. Teacher L maklumkan kepada saya, yang komputer dan handset beliau dipenuhi oleh gambar Syasya kerana Syasya baginya amat istimewa.

Bila Syasya balik rumah, saya ceritakan kepada Syasya tentang perpisahan tetapi Syasya memang tidak mengerti tentang perpisahan. Syasya masih lagi terlalu kecil untuk memahami erti perpisahan. Dia tidak tahu yang Teacher L akan kembali ke negaranya yang beribu-ribu kilometer jauhnya.

Kemudian, atas menghargai jasanya, isteri saya bertungkus lumus menyediakan sedikit kenangan sebagai tanda perpisahan dan semalam adalah hari terakhir Teacher L di tadika tersebut dan ketika saya ambil Syasya pada petangnya, Teacher L agak terkejut sebab saya ambil Syasya awal. Beliau seolah tidak puas bersama Syasya dan mencium serta mendukung Syasya sepuasnya. Nampak seolah beliau cukup terharu dan berat meninggalkan Syasya.

Bila saya bertanya, mengapa nak balik ke negara asal, beliau maklumkan yang beliau sudah mendapat kerja di sebuah bank dan akan cuba balik bercuti di Malaysia jika ada masa lapang. Hmmm… Terasa betapa eratnya erti kasih sayang walaupun ada perbezaan yang cukup besar!

p/s: Kuiz tanpa hadiah. Apakah negara asal Teacher L?