Categories
Rencana

Berakhirnya Riwayat Hidup Gaddafi

Saya tamat bermesyuarat awal pagi tadi, kira-kira jam 1.30 pagi. Sesampainya di rumah, terus saya terpandang petikan berita kematian pemimpin utama Libya, Muammar Gaddafi. Sukar untuk saya menyatakan reaksi saya kerana bercampur baur tetapi itulah hakikat kehidupan, sekiranya kita membelakangi amanah dan bertindak kejam, pembalasan sudah tersedia. Tidak di dunia, akhirat pasti menanti.

Regim Gaddafi ini sudah lama diperkatakan. Walaupun beragama Islam, Gaddafi lebih condong kepada Sosialis dan menguasai Libya lebih 42 tahun. Sejarah Muammar Gaddafi menaiki takhta di Libya juga bermula dengan revolusi yang beliau cetuskan dan kini pemerintahan beliau juga berakhir oleh pergerakan tentera revolusi yang dipelopori oleh rakyat Libya yang mahukan beliau meletak jawatan.

Ketika pemberontak di Libya berlaku awal tahun ini, Gaddafi telah bertindak kejam mengarahkan jet pejuangnya menembak dan mengebom penunjuk perasaan. Cukup zalim ! Dan atas sentimen itu, ia bukannya melemahkan perjuangan tentera revolusi tetapi ia menyemarakkan lagi semangat mereka menentang Gaddafi apatah lagi dengan bantuan anasir-anasir luar terutamanya dari Barat.

Tetapi Gaddafi berikrar untuk mati di tanah air sendiri walaupun banyak mendapat suaka politik daripada negara lain seperti Zimbabwe. Bagi Gaddafi, beliau akan terus berjuang walaupun ketika itu satu per satu bandar ditawan puak revolusi. Serangan NATO juga memain peranan apabila ia merencatkan terus kekuatan tentera udara Libya dan akhirnya Gaddafi terpaksa menyembunyikan diri dan menyelinap ke serata pelusuk kawasan untuk menyelamatkan diri.

Walaupun beberapa kali diksean tetapi Gaddafi berjaya melepaskan diri sehinggalah tanggal 20 Oktober 2011 Gaddafi berjaya ditawan oleh tentera Revolusi ketika konvoinya bergerak untuk melarikan diri daripada dikesan pihak penentangnya. Difahamkan Gaddafi masih hidup ketika ditawan tetapi akibat rasa kesumat dan penderitaan yang selama ini dicetuskan oleh Gaddafi, maka riwayat Gaddafi berakhir sehingga situ sahaja. Dibunuh dan mayatnya diseret secara penuh hina tatkala yang lain bersorak girang menyambut kematian seorang pemerintah kuku besi.

Ia harus dijadikan iktibar oleh pemimpin-pemimpin yang masih berkuasa secara zalim kerana satu per satu bermula dengan Bin Ali, Hosni Mubarak dan beberapa orang lagi pemimpin diktator dijatuhkan oleh rakyat yang selama ini tertekan dan mula bangkit.

Namun seperti yang saya katakan tadi, perasaan saya bercampur baur kerana bagaimana Libya selepas ini? Adakah seperti Iraq, Tunisia atau Mesir. Perbalahan yang tidak berkesudahan terus berlaku. Kacau bilau dan huru hara terus menghantui dan yang sudah pasti ialah campur tangan barat terutamanya Amerika yang begitu inginkan sumber minyak Libya.

Kerosakan sudah berlaku. Ia dicipta sejak sekian lama, cukup mustahil akan pulih sekelip mata. Rakyat Libya akan terus menderita dan berkorban sebelum mereka berjaya mencapai apa yang mereka ingini.

(Akan dikemaskini lagi)

Categories
Rencana

Cara Back Up Data Base WordPress

Semalam, saya berkunjung ke blog sahabat sekelas saya Rozeman di Dunia Kami. Alangkah terkejutnya saya apabila mendapati skrin berikut keluar.

Lalu saya menghubungi beliau tentang kejadian tersebut. Memang agak sukar kerana Database pun hampir musnah. Lalu saya pun bertanya, enjin yang digunakan dalam blog beliau. Beliau menjawab WordPress. Alamak ! Saya pun guna WordPress.

Beliau mengesyaki ia mungkin disebabkan plugins atau script yang banyak dalam blog beliau. Ia mungkin menjadi punca. Ya mungkin.

Cuma bagi saya yang dah lama berblog tak pernah pun buat back up Data Base, lalu saya pun terpaksa cepat cepat belajar bagaimana hendak melakukan back up Database.

Ikut langkah di bawah:-

1. Log in ke control panel anda

2. Pilih phpMyAdmin di bahagian Databases

3. Klik pada database mana yang anda ingin lakukan back up.

4. Anda akan dapat paparan ini dan klik pada tab Export.

5. Pastikan:

a. Anda “select All” pada bahagian Export.

b. Tandakan pada “SQL” Radio Button.

c. Tandakan pada pilihan “Add DROP TABLE/VIEW/PROCEDURE/FUNCTION” pada bahagian Structure

d. Tandakan pada pilihan “Complete inserts” pada bahagian Data.

e. Pastikan pada bahagian Save as file ditandakan dan compression ditandakan “None”

f. Klik Butang “GO”

* Paparan pada interface anda mungkin berbeza bergantung kepada webhosting anda.

Akhirnya kesemua DB anda akan disimpan dalam komputer anda.

Lakukanlah secara berkala seminggu sekali atau sebulan sekali mengikut kesesuaian anda. Untuk back up secara automatik, saya akan tunjukkan apabila saya berjaya lakukannya nanti.

Categories
Rencana

Kenaikan tarif Elektrik

Saya pernah menulis tentang bayangan kenaikan tarif elektrik dalam entri Naik 20 Sen, Bang. Dalam entri itu saya ada menegaskan bahawa sistem subsidi sememangnya akan membebankan kerajaan dengan trend kenaikan harga bahan mentah dan juga bencana alam yang berlaku di serata dunia ketika ini. Apabila kesemua penyebab ini berlaku bermakna, tidak dapat tidak bahan bahan mentah yang mempunyai kebergantungan terhadap perkara tertentu akan melambung naik. Ditambah pula krisis politik di negara-negara yang kaya dengan hasil alam, ia sememangnya amat menambah parah lagi keadaan.

Justeru, pengurangan subsidi sememangnya salah satu jalan. Saya ulangi SALAH SATU JALAN DAN IA SEHARUSNYA MENJADI JALAN TERAKHIR. Saya yakin, andai dilaksanakan lebih banyak langkah berkaitan terlebih dahulu, pandangan awam terhadap kerajaan akan berubah. Seharusnya perjanjian berat sebelah antara kerajaan/agensi dan pihak swasta dikaji semula. Subsidi kepada IPP harus ditarik balik dahulu. Penjimatan perbelanjaan harus dilaksanakan. Pembaziran, penyelewengan/rasuah harus dikekang terlebih dahulu. Mekanisme untuk meningkatkan pendapatan rakyat harus dilaksanakan secara konsisten dan bersepadu. Jika semua ini dapat dilakukan, nescaya pengurangan/penghapusan subsidi akan diterima dengan hati terbuka oleh semua pihak.

Dalam hal ini, seharusnya keutamaan kepada rakyat diutamakan. Ternyata ada impak yang besar apabila diumumkan kenaikan tarif elektrik. Walaupun didakwa 75% pengguna tidak terjejas dari segi bil elektrik, tetapi kesan kenaikan harga barang semestinya ada kerana, kenaikan ini sudah pasti akan diserap oleh pihak pengeluar dalam bentuk kenaikan harga barangan yang akhirnya tetap membebankan pengguna. Bagi yang tinggal di kediaman yang perlu membayar yuran penyelenggaraan, sudah pasti perlu menerima hakikat kemungkinan yuran penyelenggaraan akan dinaikkan. Satu lagi beban yang harus ditanggung tatkala tahap pendapatan masih di takuk lama.

Alasan masih rendah berbanding negara negara tertentu sudah pasti menjadi bahan tawa ramai kerana ia bukanlah perbandingan yang adil. Harus dilihat dengan lebih menyeluruh dari aspek lain sama seperti kadar pendapatan rakyat, sumber hasil bumi, kestabilan ekonomi dan politik serta faktor faktor lain.

Sudah pasti apabila berdepan dengan tekanan inflasi, rungutan ramai akan terus bertambah.

Apa pun, nak tak nak, kena juga ikhtiar penyelesaian. Bagi rakan rakan yang rumah bawah, ramai dah berkira-kira nak pasang panel solar sebagai tenaga alternatif. Kalau macam saya di rumah bertingkat ni, macam mana ya selain langkah penggunaan elektrik berhemah?

Categories
Rencana

Umumkanlah

Saya tertarik dengan Laporan akhbar hari ini JAKIM TARIK BALIK SIJIL HALAL.

Banyak juga laporan sebegitu yang dengar tetapi malangnya ia tidak diumumkan. Yang menjadi mangsa ialah pengguna Muslim. Terpaksa pula kita berusaha menyelidik dan mencari maklumat kerana bimbang ia menjadi darah daging.

Mengapa tidak diumumkan apakah jenama dan syarikat terbabit?

Bagaimana pula yang sudah berada dalam pasaran?

Apakah kekangan untuk ia diumumkan?

Umumkanlah….

Categories
Rencana

Osama Masih Hidup?

Jika kita mengikuti laporan-laporan akhbar ketika ini, telah dilaporkan Obama telah mengumumkan kejayaan misi membunuh Osama Ben Laden. Sambil berterima kasih kepada Pakistan atas kejayaan misi tersebut, Obama turut menyatakan ia adalah kejayaan dalam menentang keganasan. Saya pernah menulis tentang Obama ketika Obama menang pilihanraya Presiden lepas.

Apakah ia benar?

Kalau diikutkan ini bukan kali pertama kita menerima berita kematian Osama. Rasanya ini kali keenam. Cumanya mungkin kali ini dianggap sahih kerana diumumkan sendiri oleh Presiden Obama.

Saya sendiri sangsi, dan lebih mempercayai itu hanyalah propaganda Zionis yang mahu memberikan suatu rasional untuk mereka melakukan tindakan seterusnya yang lebih ganas daripada pengganas. Sudah pasti ada sebabnya ia diumumkan. Kita harus melihat dari semua aspek dan bukannya hanya mengiyakannya sahaja.

Secara peribadi, watak Osama itu sengaja diwujudkan. Ia diwujudkan sebagai satu ikon keganasan yang secara halusnya mengaitkan Islam sebagai agama keganasan walhal Islam adalah agama kedamaian. Secara halus psikologi hampir seluruh penduduk di seluruh pelusuk dunia ditanamkan dengan kefahaman sedemikian. Doktorin seperti ini bakal meracuni kita apabila berhadapan dengan pelbagai isu sehinggakan kita akhirnya akan bertindak mengikut seperti apa yang mereka hajati.

Biarlah Osama diistiharkan mati sekalipun tetapi kita sendiri harus jelas dengan mainan jahat agenda zionis yang mahu melemahkan Umat Islam dengan perang saraf sebegini. Jika bertempur dengan kekuatan fizikal walaupun mereka mempunyai senjata canggih tetapi mereka tahu pasti akan tewas dengan semangat jihad umat Islam. Jika secara halus, kita yang asyik terleka dibuai keindahan dunia, pasti akan mudah terikut.

Sama-samalah kita muhasabah diri kita semula demi kekuatan Ummah.

 

 

Manipulasi Photoshop?

Allahuakbar !

Categories
Rencana

Selamatkan Alam Kita

Pada satu hari Sabtu, saya ke sebuah supermarket untuk membeli barangan keperluan keluarga. Adalah beberapa bungkus makanan mentah dan barnag keperluan lain. Saya letakkan dalam raga sebelum saya letak di kaunter. Sesampainya di kaunter, saya disapa oleh jurujual supermarket tersebut, “Bang, hari ni plastik tak dibekalkan. Kalau nak juga plastik, kena bayar 20 sen dan akan didermakan untuk usaha memelihara bumi”.

Terlupa pulak saya dan saya menjawab, “OK. Tak mengapa”. Walaupun meneyedari agak sukar untuk bawak barang ke kereta, saya harus menerimanya dengan hati terbuka. Sebenarnya situasi ini saya sudah hadapi di Pulau Pinang apabila Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperkenalkan hari tanpa plastik. Kemudian diperluaskan di Selangor dan kini di seluruh Malaysia. Cumanya Penang kini dah mulakan hari tanpa plastik setiap hari.

Dari apa yang saya perhatikan, ada yang merungut dan marah. Ada yang menyambut baik dan telah bersedia dengan lebih awal. Bagi yang berduit, depa tak kisah keluarkan 20 sen untuk plastik. Ada juga pasaraya yang sediakan kotak terpakai untuk pengguna yang sukar nak bawa banyak barang. Dan ramai juga yang sudah sediakan raga khas / troli  apabila membeli belah. Ada juga yang gunakan beg kitar semula.

Mungkin ada yang membantah kerana melihatnya amat menyukarkan tetapi jika kita melihat fakta-fakta yang dikemukakan, kita harus berkorban untuk memastikan bumi kita terus hijau dan terpelihara demi untuk kesejahteraan kita juga. Plastik, umpamanya memerlukan masa lebih kurang 500 tahun untuk terurai. Kalau kita meneruskan penggunaan beg plastik dengan begitu berleluasa, nescaya bumi kita akan menanggung beban yang semakin hari semakin bertambah. Sebab itu apabila memilih plastik sampah, saya memilih plastik yang terbiodegradasi untuk memastikan kesan minimum terhadap alam sekitar.

Di tempat kerja saya, PPUKM misalnya, telah diperkenalkan peraturan agar bekas polistirena diharamkan di semua gerai dan kedai makan. Malah staf juga dibekalkan dengan bekas makanan. Bekas makanan ini boleh digunakan untuk menggantikan bekas polistirena sewaktu membeli makanan. Tetapi mungkin budaya ini masih baru dan tiada yang melakukannya. Berbanding plastik, bekas polistirena lebih parah kesannya terhadap alam sekitar kerana ia tidak terurai langsung menerusi proses semulajadi. Justeru, penggunaannya amat perlu dihindari.

Kita seharusnya memikirkan tentang bumi kita. Tatkala ini, semakin banyak kejadian-kejadian bencana alam berlaku. Ia sebenarnya adalah hasil bahana yang kita sendiri cipta. Penebangan begitu banyak pokok menjadikan dunia semakin panas dan akibatnya ais di kutub mula mencair dan menenggelamkan beberapa kawasan dan sekiranya berterusan beberapa kawasan rendah akan terus tenggelam termasuk Klang! Ia juga menjadikan beberapa negara mengalami kesejukan luar biasa manakala di sesetengah negara kepanasan yang melampau. Iklim dunia sudah semakin bercelaru akibat tangan-tangan manusia.

Sebab itu sebolehnya saya cuba menerapkan kitar semula dari rumah. Dari rumah lagi, saya sudah cuba mengasingkan tin, botol plastik, kertas dan sampah lain agar mudah dikitar semula. Biasanya saya kumpul tin dan beri kepada Mak Cik Cleaner untuk mereka jual dan dapat sedikit wang. Begitu juga dengan akhbar. Semuanya perlu bermula dari rumah tetapi berapa ramai yang masih leka. Kita perlu serius dalam hal ini. Saya juga difahamkan bahawa ada satu rang undang-undang yang sedang digubal untuk memastikan isi rumah di negara kita melakukan pengasingan bahan buangan untuk memudahkan proses kitar semula. Sekiranya tidak dilakukan, denda akan dikenakan. Jika benar ada cadangan sebegitu, saya menyokong penuh cadangan tersebut.

Kehijauan bumi kita sudah semakin pudar. Kesegaran alam juga sudah semakin hilang. Apakah kita mahu hidup dalam dunia yang serba tercemar dan akhirnya memberi kesan kepada kesihatan kita? Kita harus memulakan kesedaran untuk menyelamatkan alam sekitar kita dengan segera. Mulakan di rumah walaupun pada kuantiti yang sedikit. Kita mampu mengubahnya !

Categories
Rencana

Tahniah PASKAL TLDM

Tahniah diucapkan kepada pasukan PASKAL TLDM yang berjaya melakukan misi menyelamat Kapal MT Bunga Laurel (Bunga Laurel tu macam mana?) daripada tawanan Lanun Somalia semalam. BErita-berita tersebut boleh dibaca di sini, sini dan sini. Mungkin sahabat saya Rozeman yang ada pengalaman belayar tahu keadaan genting sebegitu. Nampaknya dengan strategi yang betul, ia dapat dilakukan dengan jayanya.

Pastinya beberapa rakan saya dan juga jiran dalam pasukan TLDM berasa bangga dengan kejayaan ini.

Sebenarnya saya dulu tertanya-tanya mengapa Lanun Somalia ini begitu mengganas dan sukar dibendung. Setelah saya lakukan beberapa pembacaan, dapatlah saya simpulkan ia sebenarnya berpunca dari rasa tidak puas hati segolongan rakyat Somalia ke atas sikap rakus kapitalis yang mengutip kekayaan hasil bumi Somalia tanpa memberikan ganjaran setimpal buat Rakyat Somalia. Atas rasa dendam dan tidak puas hati itulah mereka bertindak balas melalui cara ini.

Ketidakadilan ini, harus dilihat secara serius oleh pihak yang bertanggungjawab (ada ka, pihak yang nak bertanggungjawab?) agar kesejahteraan di rantau itu lebih terjamin.

Apa pun Tahniah buat pasukan PASKAL TLDM kerana membanggakan Negara!

p/s: Teringat kisah wira negara yang menyelamatkan keadaan di Somalia sewaktu Jeneral Farah Aided berkuasa suatu ketika dahulu tetapi apabila difilemkan oleh Hollywood, fakta sebenar diolah seolah-olah Amerika yang menjadi wira….

Categories
Rencana

Isteri Super

INTIM… Mansura bahagia di sisi suami, Yusuf.

SANDAKAN: “Walaupun kegarangan suami boleh diumpamakan seperti sang harimau yang pantang dicabar, itu tidak bermakna mereka tidak boleh dijinakkan.
“Seperti bayi yang akan berhenti merengek selepas dapat menyusu, begitu juga halnya dengan si suami yang akan layu ketika ‘disusukan’,” begitulah nasihat Mansura Sirai tanpa segan silu menceritakan rahsia kerukunan rumah tangganya bersama suami tercinta, Yusuf Susuk, 70, sejak lebih 50 tahun lalu.
Ibu berusia 65 tahun yang melahirkan 23 cahaya mata ini mengakui payudara isteri memainkan peranan utama bagi menawan suami dan mengelaknya beralih cinta kepada wanita lain.
“Sebagai isteri, kita harus tahu menjaga penampilan diri dari luar dan dalam selain sentiasa bergurau setiap masa, terutama di bilik tidur.
“Bayangkan perasaan suami apabila melihat tubuh kita kendur di sana sini, sudah pasti hilang selera untuk bersama dan menjadi alasan mencari pucuk muda yang lebih gebu,” katanya tanpa berselindung.
Mansura berkata, jika aset wanita itu sentiasa padat, kerukunan rumah tangga dan hubungan suami isteri sentiasa hangat.
Kesempatan menemui Mansura secara bersemuka membuktikan kebenaran kata-katanya.
Meskipun boleh dianggap nenek, tubuh Mansura seakan-akan tidak ditelan waktu dan kelihatan sihat seperti wanita berusia 30-an.
Penulis juga hanya menggeleng kepala sebaik diberitahu wanita berkenaan berusia 65 tahun dan memiliki 23 anak selain bercucu dan cicit.
“Payudara perlu dijaga sebaik-baiknya dan antara caranya ialah memakan jamu dan bersenam.
“Jamu boleh dibuat sendiri menggunakan barang yang mudah didapati di pasar seperti ibu kunyit, asam jawa, lada putih, sirih, manjakani, gula, garam dan telur ayam kampung,” katanya ketika ditemui Metro Ahad di sini, baru-baru ini.
Mansura berkata, pemakanan jamu membolehkan badan lebih sihat dan bertenaga serta menegangkan otot kendur, terutama sistem peranakan.
“Saya tidak pernah mengamalkan ilmu songsang atau susuk kerana ia perbuatan syirik,” katanya.
Selain 23 anak, termasuk enam yang meninggal dunia sebaik dilahirkan, Mansura turut dikurniakan 60 cucu dan empat cicit.
“Bayangkan selepas melahirkan anak, saya boleh berjalan seperti biasa keesokannya dan ke pasar seminggu selepas itu. Ramai tidak percaya, tetapi itulah hakikatnya,” katanya.
Mansura berkata, dia berkahwin dengan Yusof ketika berusia 13 tahun dan terus bunting pelamin, namun kurang bernasib baik apabila beberapa anaknya meninggal selepas dilahirkan.
“Anak pertama mak cik sepatutnya berusia 52 tahun tetapi meninggal dunia sebaik dilahirkan, manakala paling bongsu berusia 15 tahun dan menuntut di Sekolah Menengah Batu Sapi,” katanya.
Mengikut perkiraan kasar, pasangan itu memperoleh anak sulung iaitu Junaidah, 46, ketika Mansura berusia 19 tahun dan melahirkan anak ke-23, Jefry Aman, 15, pada usia emas 50 tahun. Malah ketika berusia 30 tahun, dia mempunyai lapan anak.
Menurut Mansura, ramai wanita kini mengabaikan penjagaan diri dan enggan mengikuti nasihat orang tua yang dianggap kolot serta ketinggalan ramai.
“Selain petua ketika bersama, suami isteri perlu bertolak ansur kerana alam berumah tangga mempunyai 1,001 cabaran dan dugaan.
“Ketika suami marah, kita sebagai isteri perlu berdiam diri dan jangan sesekali melawan kerana ‘harimau’ yang mengamuk pantang dicabar,” katanya.
Mansura berkata, perkara sama perlu dilakukan suami apabila melihat isteri dalam keadaan marah.
“Sebagai orang tua, saya hanya mampu memberi nasihat kerana sedih mendengar pasangan yang baru mendirikan rumah tangga sudah naik turun mahkamah untuk bercerai.
“Sedih melihat isteri yang masih muda dan cantik terpaksa menjadi janda pada usia muda,” katanya.
Mansura juga berkata, kewangan bukan masalah utama jika tahu menguruskannya.
“Saya tidak kaya dan hanya menetap di rumah kayu, tetapi suami tetap sayang dan sentiasa membahagiakan saya. Sebagai balasan, saya kini mengambil alih tugasnya mencari rezeki berikutan kesihatannya kurang baik kebelakangan ini,” katanya.
Senarai nama anak pasangan Mansura dan Yusuf
1. Junaidah, 46, suri rumah (perempuan)
2. Jainal, 43, polis bantuan (lelaki)
3. Halimah, 42, suri rumah (perempuan)
4. Junaida, 41, suri rumah (perempuan)
5. Zubaidah, 39, suri rumah (perempuan)
6. Maisah, 37, berniaga (perempuan)
7. Hamidah, 36, berniaga (perempuan)
8. Mohd Dalfa, 35, pemandu lori (lelaki)
9. Mohd Alfiah, 32, berniaga (lelaki)
10. Hassan, 30, jurujual (lelaki)
11. Hussin, 26, tidak bekerja (lelaki)
12. Masnah, 27, suri rumah (perempuan)
13. Halimah, 25, – meninggal dunia ketika usia 15 tahun (perempuan)
14. Hafizah, 23, suri rumah (perempuan)
15. Mohd Rafi, 21, pekerja swasta (lelaki)
16. Norasikin, 18, penganggur (perempuan)
17. Jefry Aman, 15, pelajar (lelaki)
Nota: Enam lagi tiada nama kerana meninggal dunia sebaik dilahirkan.

sumber: http://www.hmetro.com.my/articles/Kekalmenawanpikatsuami/Article/artikelMA (09/01/2011)

Categories
Rencana

Halatuju Bolasepak Negara

Saya jarang menulis bab bola dalam Diari saya ini tetapi akibat terlalu teruja, saya rasa nak mencoret sedikit sebanyak di sini. Biasanya saya tulis/komen bab bola hanya di HKC.

Tahniah dan Syabas diucapkan kepada skuad negara kerana pertama kalinya menjuarai Piala Suzuki AFF.

Tahun 2007 ketika berkursus di Singapura, Pasukan Singapura berjaya menjuarai Piala AFF (Waktu tu Piala Tiger AFF) menewaskan Thailand. Gol  pasukan Singapura di Thailand oleh Khairil diulang-ulang setiap masa di kaca TV Singapura. Dalam akhbar pula diceritakan hampir setiap perkara yang bersangkut paut dengan bolasepak hingga ada pemain menggunakan seluar dalam yang tidak dibasuh kerana percaya ia membawa tuah pun diceritakan. Pendek kata, semuanya pasal bola.

Ketika itu, saya terasa betapa lamanya kita akan menanti saat sedemikian. Amat merindui kegemilangan bolasepak negara dan juga kehangatan sambutan peminat seperti sehingga awal 90-an. Ketika itu, bolasepak negara mendapat sambutan hangat di seluruh negara. Apabila gejala rasuah melanda, saya dapat lihat peralihan sokongan peminat bolasepak negara. Ramai yang merasakan tertipu hidup-hidup akibat rasuah. Penggantungan ramai pemain berbakat besar hampir melumpuhkan bolasepak negara.

Ayah saya contohnya, terus melupakan bolasepak tempatan dan hanya menumpukan kepada bolasepak Piala Dunia. Saya lihat trend yang sama berlaku kepada individu yang lain. Dalam hati saya, ia merupakan suatu saat yang cukup mendukacitakan tetapi saya terus mengikuti perkembangan bolasepak tempatan walaupun ketika itu FAM tampak semakin hilang punca.

Kedah pula ketika itu ibarat yo yo. Sekejap naik sekejap turun dan akhirnya terjerumus hingga ke Divisyen dua dan nyaris jatuh ke peringkat Piala FAM. Tetapi semangat bola saya terhadap bolasepak tempatan ketika itu tetap tinggi dan pada 2001, HKC mula aktif untuk kembali menghangatkan bolasepak tempatan khususnya di Kedah. Saya terus bersama HKC sehinggalah Kedah kembali bangkit hingga kemuncaknya mengecap kegemilangan Double Treble.

Namun pada masa yang sama, saya tetap mengharapkan kebangkitan skuad negara sehinggalah ia diambil alih oleh Coach K. Rajagopal. Saya mengikuti perkembangan K. Ragopal dengan penuh minat setelah beliau mengambil alih pasukan remaja kebangsaan setelah Joven Pereira dibuang oleh FAM. Saya melihat progres pasukan remaja ketika itu cukup memberangsangkan.

Pada saya, Rajagopal adalah seorang jurulatih yang pintar berfikir dan amat mementingkan disiplin serta bijak memotivasikan pemain. Pengalaman saya bertemu beliau banyak menguatkan kekaguman saya terhadap beliau. Namun harus diakui dengan situasi FAM yang agak pincang, tugas beliau amat sukar tetapi beliau mampu menjelmakan kejayaan buat negara. Tahun lepas setelah 20 tahun menanti, kita berjaya membawa pulang pingat Emas sukan SEA. Suatu kejayaan yang amat besar.

Di Sukan Asia, walaupun kita berdepan dengan pelbagai rintangan serta kontroversi pengadilan, semangat juang anak didik K. Rajagopal harus dipuji dan apabila Piala Suzuki AFF bermula di Jakarta, kita dibelasah 5-1 oleh Indonesia. Apa yang terjadi ketika itu ialah skuad negara dihentam teruk akibat kekalahan tersebut. Di HKC, saya menegaskan kekalahan tersebut langsung tidak menjejaskan kekaguman saya terhadap K. Rajagopal. Cuma kesilapan menurunkan penjaga gol (Bukan bermakna penjaga gol tersebut tidak bagus tetapi setelah lama cedera, tiba-tiba didedahkan dengan perlawanan kompetitif memang berisiko tinggi sedangkan ketika itu prestasi Khairul Fahmi memuncak) dan kesilapan individu menyebabkan kita dibelasah. Rajagopal menyedari kesilapan itu dan memperbaikinya dan seterusnya kita berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.

Ketika itu masih ramai yang pesimis dengan skuad negara. Bagi yang memahami, sudah pasti ia merupakan suatu pencapaian yang harus dibanggakan kerana skuad ini ketika itu adalah boleh dikatakan skuad kedua kerana ramai pemain regular cedera. Pemain negara terus meningkatkan prestasi sehingga pencapaian menundukkan Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil menyedarkan ramai antara kita yang skuad ini mampu pergi jauh.

Ketika itu barulah aura bolasepak kita kembali terasa. Cukup mengujakan bagi peminat-peminat bolasepak yang sentiasa mengikuti perkembangan bolasepak tempatan, maklumlah walaupun ramai peminat bolasepak di Malaysia tetapi depa lebih meminati BPL dan Liga luar.

Akhirnya, malam tadi sejarah tercipta dan keterujaan semua terhadap bolasepak tempatan memuncak. Saya walaupun bukan pemain atau jurulatih menerima banyak ucapan Tahniah. Cukup menggembirakan apatah lagi diisytiharkan Jumaat 31 Disember 2010 sebagai cuti umum sempena kejayaan tersebut. Hari ini ketika saya hendak mencari suratkhabar, saya terpaksa meredah 15 kedai barulah dapat naskhah yang saya ingini. Penjual-penjual akhbar cukup gembira kerana, hari ini akhbar laris di pasaran penangan bolasepak negara.

Cuma saya hendak simpulkan agar kita semua jangan terlalu ghairah meskipun ia detik yang sudah terlalu lama kita nantikan. Kalau memuji tinggi melangit kita bimbang ia membawa rebah. Bagi pemain, anda berhak terima ganjaran tetapi usah lupa diri. Usah leka dengan pujian hingga akhirnya memakan diri . Bagi peminat pula, teruskan menyokong pasukan negara! Jangan hanya di saat kegemilangan sahaja di belakang pasukan tetapi apabila tewas segunung kejian dan makian menjadi rencah. Berdirilah di atas kenyataan yang kita masih jauh ketinggalan dan tetap memerlukan sokongan anda. Bagi pihak media pula, teruskan memberi liputan meluas kepada bolasepak negara.

K. Rajagopal meminta tempoh empat tahun untuk menakluki Asia. Saya percaya, sekiranya perancangan beliau berjalan lancar, kita mampu menggapai impian tersebut tetapi FAM seharusnya berfikir lebih jauh. Untuk peringkat Asia dalam masa terdekat, mungkin kita boleh mencapainya namun untuk mencapai kelas dunia, ia amat memerlukan pembangunan di peringkat akar umbi. Faktor saiz cukup penting dan untuk merealisasikannya, ia memerlukan dimulakan dari peringkat kecil lagi. Justeru FAM menyedarinya dan mula bertindak dengan lebih serius.

FAM juga memerlukan perubahan sikap di kalangan pegawai atasan. Ketika Majlis Anugerah Bolasepak Negara 100 Plus FAM baru-baru ini, saya mengikuti dengan penuh minat ucapan Tan Sri Annuar Musa tentang transformasi yang beliau idamkan dalam FAM. Beliau menceritakan tentang bagaimana transformasi dalam pasukan Kelantan berjaya dilaksanakan. Ketika itu juga, saya teringatkan tentang Arwah Dato’ Paduka Ahmad Basri Akil, insan yang sarat dengan idea bernas tentang bolasepak. Malangnya dek kerana sebab kelantangan beliau, beliau disisihkan dan segala idea beliau diketepikan. Saya harap situasi yang sama tidak berlaku kepada Tan Sri Annuar Musa demi kebaikan bolasepak negara.

Jangan rugikan bolasepak negara hanya kerana dendam peribadi. FAM harus berubah dan gunakan momentum yang wujud ini sebaik mungkin. Wujudkan Pelan Induk bolasepak negara dan ketepikan kerenah-kerenah birokrasi yang wujud. Bolasepak adalah satu industri yang cukup besar dan jangan persiakannya!

Categories
Rencana

Perangai Buruk Di Rumah Terbuka

Hari ini sudah menjejak hari terakhir Syawal dan sepanjang Syawal yang lalu cukup banyak rumah terbuka diadakan. Saya pun cukup banyak menerima jemputan dan maaflah atas jemputan yang saya tidak sempat hadiri. Malam tadi sahaja dua jemputan dan selepas habis Syawal pun, masih ada jemputan rumah terbuka Aidilfitri. Cukup meriah!

Cuma apa yang saya nak sentuh di sini ialah tabiat buruk orang kita ketika menghadiri rumah terbuka Aidilfitri terutamanya pada majlis yang cukup ramai jemputannya.

Pertama: Berebut-rebut ketika ingin mengambil juadah.
Ini memangn cukup memalukan kerana kadang kala dilihat seperti manusia yang sudah tiga hari tiga malam tak makan. Berebut dan bertolak-tolak sedangkan makanan yang ada lebih dari cukup. Nampak sangat kerakusan sebahagian daripada orang kita.

Kedua: Membazir
Ini lagi satu perangai hodoh orang kita. Ambil makanan punyalah banyak tapi makan sejemput ja. Ambil satay sampai 20 cucuk tapi makan lima cucuk ja, yang lebih dibuang dalam tong sampah sebegitu sahaja. Tidak langsung terbit rasa kesal kerana pembaziran tersebut. Adakah sudah merasakan diri terlalu mewah hingga makanan dibuang begitu sahaja.

Itu hanyalah sekelumit contoh dan saya tulis ni pun mengingatkan diri saya serta sahabat-sahabat sekalian agar kita sentiasa memperbaiki diri kita. mudah-mudahan, kita menjadi lebih baik, InsyaAllah…