Categories
Diari

Ramainya Polis

Semalam, selepas pulang dari kerja, terus saya melakukan rutin biasa iaitu mengambil Syasya dahulu di Daycare. Kemudian, saya menuju ke apartmen saya dan sebaik sahaja palang pagar dibuka, saya perasan kehadiran begitu ramai anggota polis.

Ada yang beruniform dan ada yang berpakaian preman. Saya tertanya-tanya dalam hati, ada kes apa? Kemudian saya melihat ada beberapa orang penduduk berbual dengan polis-polis tersebut.

Saya terus parkir motor di tempat parkir motor dan kebetulan, ada penduduk yang berbual dengan polis tadi berbual dengan rakannya. Saya menghampirinya dan bertanya, “Ada apa polis ramai-ramai ni?”

“Ada kes curi kereta. Dua bijik kereta hilang tadi”
“Kereta hilang?”, tanya saya lagi
“Ya, walaupun dalam kawasan apartmen yang dikawal pengawal. Owner kereta yang hilang itu kata dia parking sekejap sahaja tengok-tengok dah tak ada”
“Hmmm… Sekarang ni memang orang nak curi kereta,” tegas saya¬† sambil saya ceritakan betapa mudahnya nak curi kereta (sila rujuk entri “Mudahnya Nak Curi Kereta”).

“Antara jalan yang menyusahkan pencuri ialah pasang pengunci stereng. Walaupun ia bukan jaminan tetapi pencuri selalunya akan mengelak mengambil masa yang lama,” tegas saya sambil mereka menggangguk setuju.

“La ni kena tengok CCTV, sama ada berfungsi atau tak, kalau ada, mudah sikit, kalau tak berfungsi atau tidak berkualiti, memang susah!” Sambung saya lagi.

Kemudian saya terus bergerak naik rumah saya sambil fikirkan nak kena upgrade pengunci stereng saya nampaknya!