Categories
Diari

Syafi Hana: Kisah Syafi Hana

Kisah Syafi Hana pulak. Anak kedua saya. Biasanya saya dok tulis tentang Syasya Hana, anak sulung saya. Kali ni Syafi Hana pulak… Ni kisah bergambar.

Ketika Syasya sibuk bermain dengan sepupunya, isteri saya perasan keliabat Syafi tidak kelihatan. Bila isteri saya perasan, terus ambil kamera dan tangkap aksi Syafi.

Berada dalam bilik mandi dan sedang memandikan patung Barbie. Pili air rumah saya jenis yang tolak ja, jadi mudah untuk Syafi bukak.

Selepas dimandikan, Syafi lapkan patung Barbie dengan tuala adiknya.

Lap rambut.

Kemudian pakaikan baju. Agak lama sikit aksi ni.

Hah… Dah siap sambil tunjuk kepada Ummi

Yang ni teddy bear yang dah lencun dikerjakannya.

Hmmm… Macam-maam ragam. Seronok tengok…

Categories
Diari

Syafi dan Lembu

Biasalah kalau dah duduk di kotaraya, kalau nampak ayam pun dah perak. Ya lah, di kota batu macma ni mana ada orang bela ayam kan… Syasya waktu kecik kecik dulu pun macam tu. Bila balik kampung nampak ayam terus terpa dan rasa teruja. Siap buat bunyi ayam lagi dan boleh sebut ayam.

Syafi Hana pulak lebih takjub kepada lembu sampaikan dalam TV nampak kuda pun masih lagi disebut lembu. Yang paling menarik bila balik rumah Tok Nek di Pendang, Syafi pasti akan teruja dengan lembu. Apatah lagi di rumah Tok Nek menakan, Syafi boleh masuk dalam kandang lembu sampai boleh pegang lembu lagi.

Hmmm… Bagi saya, lembu, ayam dan sebagainya adalah biasa. Tetapi apabila berada di kota, barulah betul-betul sedar betapa berbezanya hidup di kota dan kampung. Sebab itulah waktu dulu bila dengaq cerita orang KL perak tengok pacat dan sanggup tangkap bawak balik, saya dan kawan-kawan rasa cukup geli hati. Hehehe… Kini giliran anak saya pulak 🙂

Categories
Diari

Karenah Syasya dan Syafi

Macam macam Aih Depa ni...
Hmmm… Habis si Kakak Syasya make up adik dia, Syafi Hana… Macam-macam aih depa ni… 🙂

Categories
Diari

Karenah Syasya Hana

Sudah agak lama saya tak menulis tentang Syasya… Kali ini terasa nak menulis tentang Syasya.

Sejak kami berpindah ke rumah baru lebih kurang empat bulan lepas, kami memutuskan untuk memberikan Bilik tidur kedua kepada Syasya. Hari pertama di bilik itu, kami minta sepupunya berusia tujuh tahun teman tidur. Syasya dilihat cukup gembira dan selesa dengan bilik barunya. Adiknya, Syafi Hana masih kami kekalkan tidur bersama kami. Selepas sehari, Syasya nampak OK walaupun sepupunya sudah pulang dan dua minggu berturut-turut orang tua kami datang, jadi ia tidak mendatangkan masalah kepada kami dan Syasya.

Namun setelah tiga minggu, Syasya mula memuji bilik kami.
“Bilik Walid ni best la”
“Cantiklah katil Walid ni”
Jelas tergambar yang dia nak tidur dengan kami tetapi kami masih lagi mahu memisahkan tempat tidurnya lalu sebelum tidur sama ada saya atau isteri akan menemani Syasya di biliknya hingga Syasya benar-benar tidur. Kemudian barulah kami kembali ke bilik tidur utama.

Tetapi kira-kira jam 4 pagi biasanya kami akan terkejut melihat Syasya tidur di hujung katil. Lalu saya akan menemankan dia kembali tidur di biliknya. Bila selalu terjadi, memang tak cukup tidurlah saya jadinya. Lalu kami katakan kepadanya sekiranya Syasya tak nak tidur di biliknya, kami akan bagi bilik tersebut kepada orang lain. Syasya menangis tidak mahu diserahkan kepada orang lain.

Kemudian berlaku perubahan sikap Syasya. Dia jadi kuat protes dan agak sukar mendengar cakap kami. Ketika itu dia kami memikirkan apa sebenarnya yang Syasya mahukan lalu kami bersependapat bahawa Syasya masih belum boleh tidur berseorangan lagi. Dia kena ada teman. Nak letak Syafi Hana memang mustahil kerana Syafi masih lagi bangun malam minta susu.

Jadi akhirnya kami membuat keputusan untuk meletakkan katil Syasya dalam bilik kami. Alhamdulillah katil Syasya+katil saiz King muat dalam bilik tidur utama dan Syasya kembali tidur bersama kami. Kami dah habaq kat Syasya, nanti Syasya tetap kena tidur di bilik Syasya dengan Adik Syafi setelah Ummi melahirkan adik Syasya lagi. Syasya bersetuju dan Alhamdulillah sikap semakin berubah sedikit demi sedikit.

Hmmm… Mungkin juga waktu di biliknya berseorangan di memikirkan kami mengabaikannya hingga berlaku perubahan sikap. Alhamdulillah semuanya semakin baik…

Categories
Diari

Selamat Hari Lahir Anak-Anakku

Hari ini 30 Ogos 2010 adalah hari ulangtahun kelahiran ke-4 Syasya Hana dan empat hari lagi adalah hari lahir pertama Syafi Hana. Selamat Hari Lahir Walid dan Ummi ucapkan mudah-mudahan Syasya dan Syafi akan menjadi seorang insan yang berguna dan solehah. InsyaAllah Ummi dan Walid akan terus memberikan didikan dan kasih sayang semampu mungkin buat Syasya dan Syafi, InsyaAllah…

InsyaAllah, hujung tahun ini Syasya dan Syafi akan dapat adik 🙂

Categories
Diari

Syafi Meragam

Sejak kebelakangan ini, anak kedua saya, Syafi cukup kuat meragam. Tak mahu berenggang dengan isteri saya. Ke mana isteri saya pergi, hendak diikutnya. Hmmm…

Mungkin disebabkan oleh dia dapat rasakan kehadiran bakal adiknya dalam perut isteri saya. Jadi masa untuk dia bermanja dengan isteri saya mungkin sekejap sahaja kerana tumpuan yang lebih kepada adiknya nanti.

Tak apa lah Syafi, Walid dan Ummi tak akan beza-bezakan anak-anak Walid dan Ummi. Jangan risau sayang!

Categories
Diari

Syafi Masuk Wad

Minggu lepas, Syafi demam dan kemudiannya cirit birit dan muntah-muntah. Mulanya saya dan isteri, ingatkan cuma demam atau sakit biasa sahaja. Namun setelah berlanjutan beberapa hari, kami membawa Syafi yang baru berusia 5 bulan ke klinik. Menurut doktor yang merawat, kalau ia berlanjutan, lebih baik dirujuk ke hospital.

Kami agak gelisah kerana cukup terasa perbezaan mendukung Syafi ketika itu. Terasa ringan dan bila kami periksa berat badannya sudah susut kira-kira 1.5kg! Patutlah rasa ringan dan wajahnya cengkung. Bagi minum susu, Syafi akan muntahkan kembali semua susu yang diminum dan amat kerap cirit birit.

Syafi semakin hari nampaknya semakin kurang bertenaga dan tidak ceria. Kalau senyum pun macam senyum terpaksa sahaja sednagkan sebelum ini pantang diusik, Syafi akan senyum.

Akhirnya kami merujuknya ke PPUKM. Apabila diperiksa, Doktor terus membuat keputusan untuk menahan Syafi di wad tetapi masalahnya ketika itu semua katil di wad pediatrik penuh. Doktor menyarankan Hospital Ampang atau pun Hospital Serdang. Adoi, saya sebenarnya lebih suka Syafi masuk ke PPUKM sebab mudah saya nak pantau.

Alhamdulillah kebetulan ada pesakit yang dibenarkan keluar, jadi terus Syafi ditahan di Wad Pediatrik 1. Kasihan melihatkan anak kecil terpaksa dicucuk kakinya dan juga beberapa kali darahnya terpaksa diambil. Memang kelam kabut waktu tu. Alhamdulillah mak dan abah mai jauh dari Alor Setar membantu kami.

Di Wad, rasanya dalam tiga botol air dimasukkan ke dalam badan Syafi. Setelah itu, barulah nampak Syafi lebih bertenaga dan kembali ceria.

Setelah tiga hari, akhirnya Syafi dibenarkan pulang dan akhirnya berat badan Syafi semakin naik dan Syafi semakin ceria. Alhamdulillah semuanya kembali normal. Terima kasih kepada semua yang SMS, PM, ziarah, menyumbang, telefon dan mendoakan. Jasa anda semua tetap dalam kenangan. Begitu juga kepada mak dan abah (termasuk mertua) atas segala dorongan dan bantuan.

Alhamdulillah…

Categories
Diari

Keseorangan

Ketika ini, isteri dan anak-anak saya berada di Kedah. Tinggallah saya keseorangan di KL. Apakan daya, demi tugas, saya perlu kembali dan laksanakan. Bila balik rumah memang terasa sungguh sunyi. Kalau tidak ada gelak hilai dan keletah Syasya, tapi kini hanya komputer jadi peneman. TV saya tak tengok sangat melainkan berita dan sukan.

Bila telefon rumah di Kedah, dan bila terdengar suara Syasya menangis nak mai kat saya, terasa cukup indah pulak walaupun bercampur sayu. Nanti Walid balik tau Syasya. Lepas tu dengar suara Syafi yang nak susu, rasa rugi pulak tak dapat tatap wajahnya sebab waktu kecik ni cepat berubah perkembangan bayi.

Bila tengok rumah yang berserabut, teringat betapa tekunnya isteri saya kemaskan. La ni kalau dia balik rumah, mesti habis saya kena bebel. Hehehe… Memang berselerak. Tak tahulah macam mana nak kemas. Saya rasa dah kemas dah tapi kalau isteri saya buat, sekejap ja dah nampak kemas. Hmmm…

Alhamdulillah dalam tempoh seminggu saya dah sempat buat Akikah untuk Syafi. Seperti Syasya, saya laksanakan Akikah di Kemboja melalui Al-Ameen. Alhamdulilah kerana ia dilaksanakan dalam Bulan Ramadhan dan akikah itu dilaksanakan untuk saudara kita di Kemboja berbuka puasa.

Kalau di Malaysia, kita buat Akikah, kadang kala bila saya tengok rasa macam membazir sebab banyak yang terbuang dan satu lagi sikap orang kita kalau ambik tu banyak-banyak tetapi makannya seciput ja. Last sekali banyak sisa yang dibuang begitu sahaja. Berbeza dengan saudara kita di Kemboja yang begitu daif. Saya difahamkan, apabila ada Akikah dilakukan di sana, ia pasti habis licin. Bagi mereka, nak daging itu adalah makanan yang cukup mewah. Apa pun, yang paling penting sebenarnya niat di hati kita.

Alhamdulillah juga kerana sejak awal lagi balik Kedah tempoh hari, saya terus tunaikan Zakat Fitrah bersama tambahan tanggunggan saya yang baru iaitu Syafi Hana. Terasa lega bila semua kewajiban itu dilaksanakan.

Kini Syafi sudah pun botak. Botak setelah dicukur kepalanya. Memang disunatkan bercukur kerana salah satu faedahnya ialah ia dapat membersihkan kekotoran yang mungkin terlekat pada rambut bayi yang mungkin sukar untuk ditanggalkan. Ada yang salah faham dengan hanya menggunting dua tiga helai rambut ketika bercukur bayi. Apa pun Alhamdulillah ia telah dilaksanakan.

Syafi Hana Selepas Bercukur
Syafi Hana Selepas Bercukur

Dan bila mengingatkan semua itu, saya terasa cukup sunyi bila di rumah berseorangan. Mujurlah begitu banyak tugas (macam nak kerja banyak ja. Hehehe) yang perlu diselesaikan. Banyak dateline yang perlu dipatuhi membuatkan masa berlalu begitu pantas dan berjaya mengisi kekosongan itu.

InsyaAllah esok malam, saya akan bergerak ke kampung untuk kembali bersama insan-insan yang amat bermakna dalam hidup saya. Moga kesunyian ini akan berakhir, InsyaAllah…

p/s: Bila dah ada dua anak, terbayang macam nak lagi tetapi bila terfikir tentang amanah yang harus dipertanggungjawabkan, terasa gerun dan amat mencabar…