MOHD FAHMI ISMAIL
2 DISEMBER 2017

HEBAT benarkah aura Ramon Marcote ini apabila namanya menjadi siulan sehingga seluruh pelusuk negeri Kedah termasuklah kedai kopi bawah pokok ketapang di Kodiang, Kedah.

Itu kiasan terbaik yang boleh diterjemah penulis kerana buka sahaja laman sosial, pengguna internet menulis dan membincangkan Roman Marcote hingga larut malam.

Benar, beliau antara individu yang mengendali pasukan Lang Merah pada 2015 hingga mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia, namun dikecewakan Selangor yang berjaya dalam pemburuan Misi 33.

Namun, perkara ini bukan spekulasi semata-mata apabila ada yang dikatakan sanggup menyambut warga Sepanyol ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) seandainya pesawat membawanya tiba di Malaysia!

Setiausaha Kelab Penyokong Hijau Kuning (HKC), Saiful Azrul Che Lah ketika dihubungi memberitahu, peminat sudah tentu meletakkan harapan setinggi Gunung Jerai kepada Marcote bagi meneruskan kecemerlangan Kedah sebagai salah satu gergasi bola sepak Malaysia.

“Pengalaman Ramon yang sudah biasa dengan majoriti pemain dan suasana di Kedah, sudah pasti memberi kelebihan kepadanya untuk mencapai kejayaan.

“HKC juga mengalu-alukan kehadiran Marcote ke bumi jelapang padi dan Stadium Darul Aman,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Presiden Peminat Bola Sepak Kedah (PBK), Ahmad Fazli  Mansor menyifatkan kepulangan semula Ramon sebagai tepat pada masanya.

“Saya pun ada dengar dia nak mai (datang) Kedah. Jika betul berita ini, kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan.

“Lagipun, seluruh pemain dah biasa dengan corak latihan Ramon dan saya harap gandingan dia dan Nizam (Mohd Nidzam Adzha Yusof) menjadikan pasukan Kedah lebih mantap dan jitu,” katanya.

Akhbar ini pada Khamis lalu melaporkan perbincangan kini giat dijalankan antara Persatuan Bolas Sepak Kedah (KFA) dan Marcote dalam usaha untuk membawa beliau kembali membimbing Hijau Kuning pada 2018.

Pengarah ECK Sdn Bhd, Puan Sri Ginney Chew berkata, setakat ini beliau difahamkan semua proses rundingan berjalan lancar dan berharap kedua-dua pihak akan mencapai keputusan positif.

Menurutnya, beliau juga berharap penyokong Kedah dapat bersabar untuk menunggu pengesahan rasmi daripada badan induk bolasepak Kedah tersebut.

http://www.sinarharian.com.my/sukan/hebat-sangat-ke-ramon-marcote-1.765129