“Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara”

 

Amat sukar untuk menafikan betapa besarnya peranan dan jasa guru dalam hidup saya. Bermula dari kecil hinggalah sekarang. Tidak kiralah guru secara formal atau pun tidak. Setitis ilmu yang diberikan begitu berharga dalam mengharungi segala halangan di dunia dan juga bekalan di akhirat kelak.

Dari sekolah tadika, sekolah rendah dan kemudian ke peringkat yang paling tinggi, jasa-jasa mereka tiada tolok bandingnya. Saya masih teringat tatkala di sekolah berasrama penuh. Pada waktu malam pun cikgu sanggup memberikan kelas tambahan. Pengorbanan keluarga guru juga amat tinggi. Setelah saya beriisterika seorang guru, barulah saya menyedari perkara ini. Apa tidaknya dengan bebanan tugas yang tinggi, sudah pasti saya juga perlu membantu dan berkorban terutamanya pada hari Sabtu.

Pada hari Sabtu guru-guru terpaksa ke sekolah untuk pelbagai perkara, jadi pasangan gurulah yang perlu bersedia sama. Jika pengasuh cuti, maka sudah tentu pasangan guru terpaksa mengehadkan aktiviti mereka. Bermacam lagi cabaran yang harus dilalui.

Bagi guru kini, semakin besar dugaan yang dihadapi apatah lagi perubahan sikap ibu bapa masa kini yang lebih percayakan anak membuta tuli menjadikan keadaan lebih parah. Sedikit sahaja hukuman yang guru berikan kepada anak mereka, bersedialah dengan’ serangan’ ibu bapa yang tidak memahami tugas dan peranan seorang guru.

Saya juga teringat kepada seorang guru yang cukup gigih mendidik saya pada suatu ketika namun yang sedihnya kini beliau telah meninggal dunia. Al-Fatihah. Sesungguhnya jasa guru cukup besar nilainya.

Jadi apabila TPM memberi bayangan ada pengumuman istimewa untuk para guru sempena hari guru 2011 yang disambut pada hari ini, saya pasti semua warga guru berasa cukup gembira. Kalau pakatan rakyat berjanji nak beri elaun khas RM500 jika berjaya pegang Putrajaya, mungkin kerajaan ada berita yang lebih baik untuk guru guru.

Terima kasih Cikgu !

Marilah sama-sama kita mendoakan kesejahteraan cikgu kita dunia akhirat dan sedekahkan al-Fatihah kepada cikgu-cikgu kita yang sudah pergi menghadap-Nya.

SELAMAT HARI GURU !

p/s: Saya pun ramai yang panggil cikgu :)

 

KEMASKINI

 

Berita baik untuk guru: Kaedah baru kenaikan pangkat

16/05/2011 3:46pm

 

OLEH SAIFUL HAIZAN HASAM

KUCHING 16 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kaedah baru kenaikan pangkat khusus kepada guru dengan mengkategorikan mereka mengikut empat lapisan jawatan iaitu Guru Biasa, Guru Kanan, Guru Wibawa dan Pendeta Guru.

Katanya, empat lapisan jawatan itu akan membolehkan peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan.

“Melalui konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru ini, laluan kerjaya guru dalam bidang pengajaran dan pembelajaran akan diperluaskan sehingga mencapai ke Gred 54 dalam tempoh perkhidmatan 25 tahun dengan memenuhi tahap kecemerlangan serta syarat-syarat lain yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan,” katanya dalam rakaman video yang ditayangkan pada sambutan Hari Guru Kebangsaan, di sini hari ini.

Perdana Menteri mengumumkan, semua guru yang menunjukkan kecemerlangan terkemuka mutunya seperti ditetapkan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan boleh mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara.

Katanya lagi, bagi guru-guru yang tidak dinaikkan pangkat ke Gred Khas, mereka masih berpeluang menikmati pergerakan gaji tahunan.

“Untuk ini, kerajaan bersetuju menambahkan lagi jawatan Gred Khas C bagi laluan pengajaran dan pembelajaran sebanyak 100 peratus dengan menambah sebanyak 72 jawatan berbanding 36 jawatan sedia ada di bawah konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru,” katanya.

Najib juga mengumumkan, kerajaan bersetuju menaikkan gred jawatan semua pengetua sekolah menengah Gred DG48 ke Gred DG52 yang melibatkan 1,228 jawatan.

Katanya, semua guru penolong kanan (GPK) pentadbiran, hal ehwal akademik dan kokurikulum sekolah menengah Gred DG44 dinaikkan ke Gred DG48 dan ini melibatkan 6,585 jawatan.

“Seterusnya, semua GPK pentadbiran, hal ehwal akademik dan kokurikulum di sekolah rendah kluster dinaikkan dari Gred DGA32 ke Gred DGA34 yang melibatkan 99 jawatan,” katanya. – Utusan

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0516&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_21.htm (16/05/2011)