Categories
Rencana

Kenaikan tarif Elektrik

Saya pernah menulis tentang bayangan kenaikan tarif elektrik dalam entri Naik 20 Sen, Bang. Dalam entri itu saya ada menegaskan bahawa sistem subsidi sememangnya akan membebankan kerajaan dengan trend kenaikan harga bahan mentah dan juga bencana alam yang berlaku di serata dunia ketika ini. Apabila kesemua penyebab ini berlaku bermakna, tidak dapat tidak bahan bahan mentah yang mempunyai kebergantungan terhadap perkara tertentu akan melambung naik. Ditambah pula krisis politik di negara-negara yang kaya dengan hasil alam, ia sememangnya amat menambah parah lagi keadaan.

Justeru, pengurangan subsidi sememangnya salah satu jalan. Saya ulangi SALAH SATU JALAN DAN IA SEHARUSNYA MENJADI JALAN TERAKHIR. Saya yakin, andai dilaksanakan lebih banyak langkah berkaitan terlebih dahulu, pandangan awam terhadap kerajaan akan berubah. Seharusnya perjanjian berat sebelah antara kerajaan/agensi dan pihak swasta dikaji semula. Subsidi kepada IPP harus ditarik balik dahulu. Penjimatan perbelanjaan harus dilaksanakan. Pembaziran, penyelewengan/rasuah harus dikekang terlebih dahulu. Mekanisme untuk meningkatkan pendapatan rakyat harus dilaksanakan secara konsisten dan bersepadu. Jika semua ini dapat dilakukan, nescaya pengurangan/penghapusan subsidi akan diterima dengan hati terbuka oleh semua pihak.

Dalam hal ini, seharusnya keutamaan kepada rakyat diutamakan. Ternyata ada impak yang besar apabila diumumkan kenaikan tarif elektrik. Walaupun didakwa 75% pengguna tidak terjejas dari segi bil elektrik, tetapi kesan kenaikan harga barang semestinya ada kerana, kenaikan ini sudah pasti akan diserap oleh pihak pengeluar dalam bentuk kenaikan harga barangan yang akhirnya tetap membebankan pengguna. Bagi yang tinggal di kediaman yang perlu membayar yuran penyelenggaraan, sudah pasti perlu menerima hakikat kemungkinan yuran penyelenggaraan akan dinaikkan. Satu lagi beban yang harus ditanggung tatkala tahap pendapatan masih di takuk lama.

Alasan masih rendah berbanding negara negara tertentu sudah pasti menjadi bahan tawa ramai kerana ia bukanlah perbandingan yang adil. Harus dilihat dengan lebih menyeluruh dari aspek lain sama seperti kadar pendapatan rakyat, sumber hasil bumi, kestabilan ekonomi dan politik serta faktor faktor lain.

Sudah pasti apabila berdepan dengan tekanan inflasi, rungutan ramai akan terus bertambah.

Apa pun, nak tak nak, kena juga ikhtiar penyelesaian. Bagi rakan rakan yang rumah bawah, ramai dah berkira-kira nak pasang panel solar sebagai tenaga alternatif. Kalau macam saya di rumah bertingkat ni, macam mana ya selain langkah penggunaan elektrik berhemah?

Categories
Diari

Naik Harga

Tempoh hari saya terima satu panggilan. Tapi saya tak sempat angkat. Lalu bila saya telefon semula tertera pada skrin telefon saya, “Number not in use”. Pelik jugak. Lalu saya cari dalam internet nombor berkenaan dan akhirnya saya jumpa. Dalam internet memaklumkan bahawa itu adalah nombor ASTRO yang akan call kalau kita ada baki tertunggak. Rupanya bila saya tengok bil sebelum ni memang RM71.95 tetapi sekarang dah kena bayar RM76.25. Lalu saya pun bayarlah…

Kemudian, saya ke sebuah klinik. Untuk tempoh sejam biasanya saya kena caj RM1.50 tetapi kali ni saya standby RM1.50 tiba-tiba kena caj RM1.60. Tergamam saya dibuatnya. Saya bayar sahaja lah. Kemudian, saya ke klinik tersebut sekali lagi. Kali ni, saya bertekad nak tahu sebab apa kena bayar lebih RM0.10. Bila sampai kat tempat bayaran, barulah saya ternampak notis service charge 6% dikenakan berkuatkuasa 2011. Hmmm terlupa pulak bab service charge 6% ni mula diperkenalkan. Cuma sebelum ni yang saya tahu di tempat tempat tertentu sahaja yang kadarnya hanya 5% seperti di KFC.

Febuari lepas Saya pergi tukar tayar kereta, saya dimaklumkan harga baru dah naik 15% sebab kenaikan harga getah. Nak tak nak kena tukar jugak sebab keselamatan. Tengok alat-alat gantian pun makin naik harga.

Lepas tu REHDA pula keluarkan kenyataan diunjurkan bulan Jun ini harga rumah akan naik sekitar 20%. Naik lagi!

Saya tengok susu anak saya pun dah naik harganya. Hmmm…

Kemudian saya ke pasaraya, nak beli dua tin sardin. Sebelum ni cuma RM4.70. Sekarang dah RM5.20. Hmmm naik harganya…

Teringat pulak dekat makcik yang jual nasi lemak mengadu yang sotong yang dia selalu beli cuma RM13 sekilo tapi sekarang dah jadi RM25. Lepas tu dia kata ayam pula dah naik dekat RM10 sekilo! Sambil menunjukkan Pasar Besar Cheras.

Bila saya beli Nasi goreng ayam, saya perasan yang nasinya dan ayamnya bertambah sedikit.

Tertekan juga bila semakin naik harga barang. Hampir semuanya naik, tekanan kewangan semakin tinggi. Saya dan isteri masih lagi boleh bertahan. Alhamdulillah tetapi memikirkan rakan-rakan yang gaji mereka jauh lebih rendah, bagaimana ya mereka menghadapi semua ini? Apakah sebab itu hutang isi rumah di negara kita melonjak pada tahap yang menggerunkan kalau lihat angkanya? Bagimana kalau trend ini berterusan tatkala peningkatan pendapatan tidak bergerak? Apa akan jadi?