Categories
Diari Sesekali Teringat

Sesekali Teringat: Congak

Baru baru ini, anak saya meminta untuk saya bertanyakan sifir matematik kepadanya untuk menguji keupayaan beliau menghafal sifir. Lalu saya pun berikan secara rawak sifir 5, 7 dan 4. Anak saya kata tidak boleh begitu sebab dia nak saya tanya ikut turutan misalnya mula sifir 5. Mula mula 5X1 kemudian 5X2, 5X3 dan seterusnya. Lalu saya jawab, tak bolehlah begitu kena secara rawaklah dan kena congak cepat cepat.

Dia tanya saya apa itu CONGAK?

Saya pun menerangkan kepadanya maksud congak iaitu menjawab terus dengan pantas setiap soalan yang diberikan. Kira kira begitulah maksudnya.

Dan saya teringatkan zaman sekolah rendah saya dahulu.

Cikgu Ahmad Saad, Cikgu Matematik saya telah pun memperkenalkan satu slot iaitu Congak setiap kali kelas beliau. Apabila beliau masuk kelas, perkara pertama ialah CONGAK. Semua murid perlu bersedia dengan pensil dan buku. Beliau akan secara rawak bertanyakan sifir sebanyak 10 soalan. Semuanya dengan pantas.

Kemudian beliau akan memberikan jawapan. Jika salah satu, kena tarik telinga sekali dan jika salah dua, dua kali. Begitulah seterusnya. Alhamdulillah saya boleh dikatakan hampir perfect barangkali kerana saya dahulu sentiasa ditekankan oleh ayah saya untuk menghafal sifir kepadanya sebelum masuk tidur. Jadi sifir 1-12 ketika itu memang ada dalam kepala saya.

Kini, saya rasa cara Cikgu itu cukup menarik dan amat menguji untuk berfikir secara pantas dan betul. Terima Kasih Cikgu…

Categories
Diari

Badai Percintaan – Ai No Arashi (1986)

Tahun 1996 saya di Tingkatan Empat Sekolah Menengah Teknik Alor Setar, dan ketika itu ada sebuah drama Jepun yang telah saya tontoni sejak episod pertama iaitu Ketika itu Aino Hirashi (Cinta Yang Bersemi) tajuknya. Dimulakan dengan lagu Karam nyanyian Zabarjad. Kisah seorang kanak-kanak lelaki yatim piatu (Takeshi) yang terbiar dan kemudian tertangkap oleh seorang ahli perniagaan (DeneEmon Saegusa) kerana mencuri beg beliau di Yokohama.

Kemudian, Takeshi diambil dan dipelihara oleh ahli perniagaan tersebut yang membimbing Takeshi menjadi seorang insan yang berguna. Ketika dibesarkan Takeshi telah dibesarkan bersama sama dengan Fumihiko (lelaki sulung) dan Hikaru. Selepas begitu banyak kejadian, Hikaru dan Takeshi telah senyap senyap menjalin hubungan cinta kerana Takeshi dianggap cuma sebagai seperti orang gaji.

Namun Takeshi telah membina displin ilmu yang mantap dan menjadi serba boleh menyebabkan ia dipercayai oleh DeneEmon apatah lagi dengan kerenah Fumihiko yang sering mendatangkan masalah kepada keluarga. Saya tertarik dengan latar belakang yang mendamaikan. Kehijauan gunung, kederasan arus sungai, pepohon sakura yang mekar serta ombak laut yang memberi seribu satu erti. Saya tertarik dengan kisah percintaan ini apatah lagi ketika jiwa remaja saya masih bergelora.

Seribu satu dugaan hadir dalam kehidupan Takeshi yang menggugat percintaan mereka sehinggalah tiba alam remaja, Hikaru dipinang oleh beberapa lelaki untuk dijadikan isteri, namun Hikaru berkeras untuk tidak menerima pinangan lelaki lain ketika itu sehinggalah berlaku kegawatan ekonomi di mana DeneEmon terpaksa berusaha keras untuk menyelamatkan perniagaan beliau.

Ketika itu seorang lelaki, Yusaku yang berminat kepada Hikaru masuk campur. Beliau sanggup membantu DeneEmon dengan syarat Hikaru menjadi isteri beliau. Hikaru sememangnya langsung tidak berminat dengan Yusaku telah pun menolak tawaran tersebut walaupun dipaksa oleh keluarganya. Lalu beliau berpakat dengan Takeshi untuk melarikan diri dan hidup bersama di tempat lain namun belum sempat mereka melarikan diri, mereka telah ditangkap.

Akhirnya Hikaru terpaksa dikahwinkan dengan Yusaku bagi menyelamatkan perniagaan keluarga dan Takeshi terus kekal bersama DeneEmon walaupun dalam perasaan yang begitu menyedihkan. Disebabkan pelbagai kesedihan dan ketidaktentuan, DeneEmon telah mengambil tindakan drastik membunuh diri. Sesuatu yang cukup mengejutkan semua dan Takeshi terpaksa untuk mengambilalih tanggungjawab untuk menjaga keluarga Saegusa.

Lebih pedih, Takeshi ketika itu terpaksa dikerahkan untuk menjadi tentera Jepun untuk berperang dalam Perang Dunia kedua dan kemudian Takeshi diberitakan terbunuh dalam peperangan tersebut. Hikaru yang mendengar berita tersebut menjadi begitu sebak. Hikaru ketika itu berkhidmat sebagai pekerja syarikat Yusaku.

Saya masih ingat ketika itu rancangan ini disiarkan setiap Isnin dan Selasa jam 4 petang di RTM1.

Kemudian apabila saya menjejak tingkatan 5, Sekolah saya telah dipilih untuk menjadi perintis kepada projek persekolahan Satu Sesi di mana, kami akan memulakan kelas jam 08 pagi dan tamat jam 04 petang. Jadi habislah terus peluang saya untuk menonton kesudahan kisah ini. Seingat saya ketika itu, Fumihiko terserempak dengan Takeshi di sebuah bar selepas perang berakhir dan ia mengejutkan semua kerana Takeshi masih hidup. Ketika itu Hikaru datang berjumpa pada malam hari untuk berbincang soal perniagaan tetapi kenangan lalu tetap tersimpul indah. Selepas menari bersama, Hikaru dijadikan tawanan oleh penjahat yang cuba merompak bar Takeshi dan Takeshi berjaya menyelamatkan Hikaru namun tercedera. HANYA SETAKAT ITU!!!

Saya tercari cari apa kisah berikutnya dan pengakhirannya.

Saya tertanya tanya apa akhirnya. Biasalah kalau kita dah biasa mengikut cerita bersiri, pasti teruja untuk mengikuti episod seterusnya.

Sehinggalah saya berusaha untuk menulis surat kepada RTM untuk minta diulang siar drama ini. Namun saya tidak mendapat apa apa jawapan.

Kemudian ketika zaman Internet bermula, saya cuba mencari pautan cerita ini namun hampa. Mungkin kerana ia dalam Bahasa Jepun dan menyukarkan carian saya.

Sehinggalah pada Disember 2014, saya terjumpa semula pautan ini (http://raredoramas.info/page/ai-no-arashi-1986). Terdapat kesemua siri dari episod 1-69. Hampir 20 tahun barulah saya dapat ketahui kesudahannya. Memang saya betul betul teruja dan tontoni semula sejak dari episod pertama hinggakan isteri saya kehairanan melihatkan saya begitu tekun menonton drama tersebut walaupun tanpa sarikata. Hehehe…

Di You tube pun ada diupload dari siri 01-69.

Cuma sekarang saya sedang menonton sekuel tambahan kisah ini yang dilakonkan pada tahun 2002.

Kesudahannya? Tontonlah sendiri 😉 Baru dapat menjiwai kisah ini…

Lanjut boleh ke pautan ini.. https://translate.google.com/translate?sl=ja&tl=ms&js=y&prev=_t&hl=en&ie=UTF-8&u=http%3A%2F%2Fhome.att.ne.jp%2Fzeta%2Fmucho_gusto%2Faiara.html&edit-text=

Nota: Untuk paparan terbaik, lebih baik tonton daripada pautan muat turun berbanding youtube.

Lirik Lagu

Mrs. Merankorī
ano otoko (hito) wa ima mo
shōnen no
yōna manazashi

Mrs. Merankorī
kurikaesu koi wa
anata o
wasurenai sei*

1) hitohamina ashita e isogu tabibito
ayumi o yamereba
kako wa azayaka
on’na ni wa saisho no koi ga furusato

modotte yukenai
michi ga
moete iru*

2) shiawase no kaori o matō anata no kokoro
ni fukukaze
daremoshiranai kikinareta
kutsuoto doa ni hibikeba
anata wa itsumo no kao ni kaeru hazu chū:

* 1)* 2) Wa dorama-jō de no kashi no junjodesu.

愛の嵐

Categories
Diari

Wajah Paling Cantik Isteriku

Alhamdulillah 28 Julai yang lalu, isteri saya selamat melahirkan anak kelima. Alhamdulillah… Seperti tidak percaya sudah memiliki lima orang anak pada ketika ini. Amanah Allah yang sungguh berharga. Terima kasih sayang. Dan berita gembira berganda kerana saya mendapat satu lagi perkhabaran gembira pada hari yang sama. Alhamdulillah.

Cuma, apa yang saya perasan, wajah isteri saya paling cantik adalah ketika saat saat melahirkan anak. Itulah saat yang paling cantik saya lihat wajah isteri saya (Lepas ni kena bersalin lagi la na . Hehehe  )

Apa pun Alhamdulillah atas kurniaan Allah yang cukup bermakna.

Syasya Hana
Syafi Hana
Syaza Hana
Muhammad Hafie Sidqi
Muhammad Hadif Sidqi

Categories
Tazkirah

Tazkirah: Kelebihan Istigfar

Pada satu hari, Imam Ahmad Hanbal (pengasas mazhab Hanbali) bermusafir dan singgah di sebuah tempat yang ramai tidak mengenalinya. Ketika itu sudah larut malam dan Imam Ahmad merasa letih dan ingin tidur di dalam sebuah masjid. Tapi niatnya tidak kesampaian kerana penjaga masjid tersebut melarang Imam Ahmad untuk tidur di kawasan masjid. Penjaga itu kemudian menolak Imam Ahmad dari masjid tersebut apabila Imam Ahmad ingin tidur di luar masjid.

Perkara itu dilihat oleh seorang pembuat roti yang kebetulan melalui kawasan tersebut. Beliau mempelawa Imam Ahmad untuk bermalam di rumahnya. Imam Ahmad menerima pelawaan tersebut. Ketika Imam Ahmad hendak tidur, dia terdengar zikir pembuat roti yang sedang sedang sibuk menguli rotinya untuk dijual keesokkan harinya. Setelah diteliti, pembuat roti tersebut berzikir istighfar sepanjang malam.

Imam Ahmad bertanya kepada si pembuat roti tersebut kenapa beliau sentiasa beristigfar.

Beliau menjawab “Setakat ini segala doa saya dikabulkan Allah bila saya beristighfar. Semua yang saya mahu dalam hidup telah saya perolehi dengan mengamalkan istighfar melainkan satu perkara sahaja belum dimakbulkan lagi”.

Imam Ahmad bertanya “Apakah doa kamu yang belum di perkenankan oleh Allah itu?“.

Jawab lelaki itu “Saya berdoa agar dipertemukan dengan Imam Ahmad bin Hanbal sebelum saya mati”.

Imam Ahmad sangat terkejut dan memperkenalkan bahawa beliaulah Imam Ahmad Hanbal. Allah telah menunjukkan jalan kepadanya untuk bertemu si pembuat roti tersebut dan mengabulkan permintaannya. Berkat Istighfar yang sentiasa dilakukan dengan hati yang ikhlas, Allah telah memakbulkan doa si pembuat roti tersebut.

Categories
Berita

MH17 Sekalung Takziah

Malaysia-Airlines-crash

Berita pesawat MH17 yang ditembak di sempadan Ukraine/Russia ternyata memberi kejutan buat kita semua apatah lagi misteri kehilangan MH370 masih lagi belum terungkai. Adalah amat malang sekiranya benar ia ditembak jatuh dan tindakan terhadap dalang yang bertanggungjawab seharusnya diambil walau apa pun cara.

MAS1Itulah natijahnya peperangan. Peperangan wujud hasil daripada sikap tamak manusia sehingga mencipta kemusnahan di bumi sendiri. Pergolakan dunia berlaku saban hari menyaksikan kita begitu resah menyaksikan kesan kesan yang telah/sedang dan akan berlaku. Namun masih ramai yang sedang leka dalam hiburan yang melampau sehinggakan tidak dapat merasai apa yang berlaku di sekeliling dunia.

Dan sudah pasti apabila tumpuan dunia beralih ke MH17, Israel Zionis pula semakin rancak menyerang warga Palestin. Terbaru melalui darat menggempur Gaza yang sememangnya sudah terkepung. Sama-sama kita doakan rejim Yahudi Laknatullah ini tewas dalam kebangkitan rakyat Palestin untuk menuntut hak mereka.

Hasbunallahu Wa ni’imal wakeel…

Sesungguhnya Allah tempat kita berserah

MAS2MAS3(Gambar gambar adalah daripada Mirror UK)

Kembali kepada MH17, sama samalah kita memanjatkan doa agar kejadian ini adalah yang terakhir dalam sejarah penerbangan dunia. Pihak yang tidak terlibat dalam perang tidak seharusnya dijadikan mangsa. Peperangan di seluruh dunia seharusnya tidak berlaku lagi (walaupun memang mustahil).

Al-Fatihah dan Salam Takziah dari saya.

#Pray4MH17

Categories
Berita

Putar Belit Israel

IsraelCodeAlertIsraelCodeAlert2

Di saat kita meratapi dan bersedih melihat kekejaman Israel terhadap warga Palestin di Semenanjung Gaza, Israel yang sudah menguasai media antarabangsa memainkan isu ini dari sudut pandang yang lain. Atas sebab itu sokongan masyarakat dunia terhadap Israel tetap ada dan ramai warga dunia yang melihat isu ini bertentangan dengan apa yang kita lihat.

Israel2Israel3

Israel5

Mereka (warga dunia) terus menyalahkan Palestin atas kekejaman yang kononnya dilakukan hingga menimbulkan ketakutan di kalangan rakyat awam Israel. Menerusi media media yang mereka kuasai, mereka terus mencanangkan detik detik cemas warga Israel hingga menimbulkan rasa simpati warga dunia. Tidak hairanlah mengapa ramai yang mengisytiharkan sokongan padu kepada Israel.

Israel4

Israel1

Itu mudah dilakukan apabila media media di bawah penguasaan Yahudi Zionis telah melalaikan umat manusia dengan pelbagai hiburan yang mengasyikkan hingga langsung tidak menyedari hakikat sebenar suatu isu terutamanya isu Israel Palestin.

Lalu ketakutan itu diputarkan sepanjang masa sehingga warga dunia melihatnya sebagai benar. Itulah putar belit Israel.

Justeru apabila kita lihat ramai yang menyuarakan sokongan terhadap Israel, Jangan Hairan tetapi Semaklah diri kita!

Categories
Diari

Piala Dunia 2014: Brazil 1 Jerman 7

Sebagai seorang peminat bolasepak Brazil, memang saya cukup terkejut dan hampir tidak percaya dengan keputusan yang terpapar pada layar stadium. Untuk Piala Dunia kali ini memang Jerman adalah pasukan kedua saya tetapi saya langsung tidak menyangka kekalahan Brazil sebegitu teruk.

Ketiadaan Neymar dan Thiago Silva nyata memberi kesan mendalam. Kesan bukan dari segi kemahiran tetapi dari segi moral dan psikologi. Kelihatan tiada siapa yang mampu berwatak jeneral serta menjadi seorang yang boleh menukar corak perlawanan. Kebergantungan yang begitu besar terhadap individu menjadikan impaknya begitu ketara apabila berhadapan dengan pasukan sehebat Jerman.

Jerman cukup mantap dan kunci utamanya ialah team work yang cukup jitu hingga menenggelamkan kelebihan individu Brazil. Pemain Brazil rata rata masih muda dan gagal menangani harapan menggunung rakyat Brazil kali ini manakala Jerman pula telah mata setelah pengalaman pahit 2010. Sudah tentu ini juga menjadi kelebihan yang membuatkan keputusan sebegitu rupa.

Cukuplah ulasan ringkas melayan kekecewaan 🙂

Source AFP

(Gambar adalah sumber AFP)

p/s: Apa pun jangan lupa di Bumi Palestin, Israel cukup rancak ‘memusnahkan’ Palestin tatkala kemuncak Piala Dunia semakin menghampiri ke penghujungnya. Sama sama kita membantu dan melakukan apa yang patut serta tidak hanyut terus dalam demam bola kita.

Categories
Sesekali Teringat

Sesekali Teringat: Tok Wan

Saya dalam perjalanan menghantar adik kelima ke LRT Bandar Tasik Selatan. Hari itu Sabtu 02 November 2013. Jam lebih kurang 08.30 pagi. Sambil memandu saya terdengar deringan telefon tetapi tidak dapat menyambutnya disebabkan sedang memandu. Kemudian berdering pula telefon adik saya dan berita duka yang saya dengar, Tok Wan sudah pergi buat selama-lamanya…

Sukar untuk saya kata apa apa. Terdiam dan terasa begitu sedih lalu saya katakan pada Adik saya, “Awie, jom kita balik kampung”. Adik saya menjawab,”ya” lalu dia terus hubungi rakannya memaklumkan tidak jadi berjumpa.

Sesampainya di rumah, terus saya maklumkan kepada isteri. Tanpa berlengah terus mengemas beg dan lebih kurang jam 10 pagi saya terus bertolak ke Pendang dari Kuala Lumpur.

Perjalanan tidak begitu lancar. Kereta begitu banyak berduyun duyun bergerak ke arah utara. Hari itu cuti umum sempena Deepavali. Saya ingatkan ramai yang dah bertolak awal malam tadi untuk balik ke kampung. Sepanjang perjalanan, saya teringat suka duka bersama Tok Wan. Seorang lelaki yang cukup saya kagumi. Kesabaran dan ketenangan beliau cukup memberi inspirasi kepada saya. Boleh dikatakan sayalah cucu yang paling rapat dengan arwah. Ketika membesar, setiap kali cuti, saya akan balik sendiri ke kampung dan menemani Tok Wan. Saya belajar banyak perkara tentang kehidupan menerusi Tok Wan. Saya menulis sebuah Novel ketika di sekolah menengah berdasarkan penglaman saya dengan Tok Wan. Apa yang saya pelajari untuk mendalami sebuah makna kehidupan. Ia tidak akan dapat dicari dalam kelas, bilik darjah atau dewan kuliah. Ia hanya dapat diperolehi dengan mengalami sendiri denyut nadi kehidupan.

TokWan2Tok Wan bercerita tentang kisah pada zaman Jepun, pada zaman dahulu dan juga pengalaman lalu. Saya selalu menemankan Tok Wan ke kenduri kendara di sekitar Pendang menaiki motor (Saya tak ada lesen lagi waktu awal sekolah menengah tetapi saya menggunakan short cut jalan kampung yang polis trafik memang tak ganggu). Setiap kali cuti sekolah, memang saya akan bersama Tok Wan.

Bahagian yang paling saya suka ialah bila saya nak balik, Tok Wan akan bagi duit kepada saya. Ini membuatkan yang lain cemburu dengan saya dan perli “cucu emas”. Hehehe… Tetapi bagi saya Tok Wan perlukan peneman. Tok Wan kesunyian. Dan cukup sedih apabila, saya memenuhi hasrat Tok Wan untuk berjumpa rakan-rakan lamanya yang uzur, tak berapa lama kemudian rakan rakan lamanya meninggal. Terpancar wajah sedih pada raut wajah Tok Wan.

Kemudian, Tok Wan hadiahkan saya basikal Mountain Bike ketika saya di Tingkatan 4 untuk memudahkan saya ke sekolah dan saya jugaTokWan3 mengayuh basikal dari Alor Setar ke Pendang. Dan apabila saya cukup umur untuk ambil lesen motor, Tok Wan beri sedikit wang untuk tujuan itu dan apabila saya dah ada lesen motor, memang Tok Wan cukup gembira. Lebih jauh dapat saya bawa Tok Wan. Dan apabila cuti sekolah, lebih jauh lokasi kenduri dapat saya temankan Tok Wan. Tok Wan begitu gembira dapat bertemu rakan rakan lama. Tok Wan memang tak tahu menunggang motorsikal. Ke mana pun Tok Wan pergi hanya dengan basikal tua yang berpuluh puluh tahun usianya. Maybe dari zaman Jepun lagi.

Apabila saya terpaksa berhijrah ke Kota metropolitan ini, saya semakin jarang bertemu Tok Wan. Tok Wan keseorangan di kampung. Di dalam kota besar ini, memang saya sering teringatkan Tok Wan. Saya pernah berjanji nak bawa Tok Wan ke Kuala Lumpur. Saya masih ingat lagi reaksi Tok Wan apabila saya menceritakan tentang betapa banyaknya lorong jalan di Kuala Lumpur berbanding Pendang. Begitu juga bagaimana kehidupan warga kota. Tok Wan teruja tetapi lembu dan kerbau Tok Wan menjadi penghalang. Tok Wan cukup risaukan lembu dan kerbaunya.

Ketika saya bawa Tok Wan ke Langkawi pun, selepas sehari Tok Wan dah resah. Tok Wan teringat lembu dan kerbaunya. Apatah lagi apabila saya katakan pada Tok Wan yang rumah saya bertingkat tingkat. Terus Tok Wan kata gayat dan susah kalau tak dapat pijak tanah. Apabila balik Kedah sahaja, saya memang akan ada acara wajib iaitu menziarahi Tok Wan. Bawa cicit cicit berjumpa Tok Wan. Sebab itu bila saya ada, Tok Wan akan bertambah selera makannya.

Untuk hilangkan kerinduan kepada Tok Wan, saya setkan Wallpaper pada PC saya di pejabat. Sekurang kurangnya saya akan sentiasa dapat menatap wajah yang saya sayangi ini.

Bila Tok Wan sakit, saya lah yang selalu memujuknya ke klinik. Memang jenis Tok Wan tak suka ke klinik dan hospital. Tetapi apabila saya bercerita tentang penyakit dan ubat, Tok Wan akan ikut saya ke klinik ambil ubat. Tok Wan akan ikut cakap saya tentang ubat. Namun apabila Tok Wan sakit teruk, saya rasa cukup sedih. Tok Wan dah tak dapat bangun.

TokWan4

Akhirnya pada aidilfitri 2012, saya balik kampung dan Tok Wan boleh berjalan sedikit sedikit. Terus saya ajak Tok Wan ke seberang kampung untuk menziarahi adik beradiknya yang terlantar sakit. Tok Wan cukup gembira. Saya rasa cukup puas hati. Kemudian selepas habis raya, saya kembali ke Kota. Saya terima berita Tok Wan kembali sakit dan tak dapat bangun. Sukar saya nak gambarkan perasaan saya. Hanya doa yang mampu diutuskan.

TokWan

Kemudian kesihatan Tok Wan turun naik hinggalah saya diberitahu pemergian Tok Wan pada usia 94 tahun.

Akhirnya saya tiba di Kampung Tanjung Radin, Pendang jam 5 petang ketika Tok Wan hendak dimasukkan ke dalam keranda. Sempat saya kucup wajah Tok Wan yang kelihatan cukup tenang dan berseri. Alhamdulillah. Memang wajah Tok Wan nampak cukup tenang setenang tenangnya.

Al Fatihah buat Haji Ahmad bin Taib (1919-2013)

Categories
Sesekali Teringat

Sesekali Teringat: Berita Kepada Kawan

Bila teringat kenangan bersama kawan kawan, tiba tiba saya teringat lagu ini.

Sahabat tetap sahabat selamanya… Dunia dan Akhirat

Mudah mudahan begitu, InsyaAllah,,,

 

 

Perjalanan ini
Terasa sangat menyedihkan
Sayang engkau tak duduk
Disampingku kawan

Banyak cerita
Yang mestinya kau saksikan
Di tanah kering bebatuan

Tubuhku terguncang
Dihempas batu jalanan
Hati tergetar menatap
kering rerumputan

Perjalanan ini pun
Seperti jadi saksi
Gembala kecil
Menangis sedih …

Kawan coba dengar apa jawabnya
Ketika di kutanya mengapa
Bapak ibunya tlah lama mati
Ditelan bencana tanah ini

Sesampainya di laut
Kukabarkan semuanya
Kepada karang kepada ombak
Kepada matahari

Tetapi semua diam
Tetapi semua bisu
Tinggal aku sendiri
Terpaku menatap langit

Barangkali di sana
ada jawabnya
Mengapa di tanahku terjadi bencana

Mungkin Tuhan mulai bosan
Melihat tingkah kita
Yang selalu salah dan bangga
dengan dosa-dosa
Atau alam mulai enggan
Bersahabat dengan kita
Coba kita bertanya pada
Rumput yang bergoyang

Ebiet G. Ade

Categories
Berita

Al-Fatihah…

TunkuAnuar

KENYATAAN MEDIA

Teks Pengumuman Kemangkatan Yang Teramat Mulia Tunku Bendahara Kedah oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah Darul Aman

Bismillah Hirrahmanirrohim

Bahawa dengan sedih dan dukacitanya dimaklumkan Yang Teramat Mulia Dato’ Seri Utama Tan Sri Tunku Annuar Alhaj Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tunku Bendahara Kedah, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, telah mangkat di Hospital Pantai Ipoh, Perak pada pukul 12.20 pagi, hari Rabu, 21 haribulan Mei 2014 Masihi, bersamaan 21 Rejab 1435 Hijriah.

Jenazah Almarhum Yang Teramat Mulia Tunku akan disemayamkan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit, Alor Setar bagi maksud penghormatan terakhir pada sebelah pagi oleh para pembesar dan orang kenamaan, manakala oleh orang ramai mulai pukul 1 petang hingga 3 petang.

Jenazah Almarhum Yang Teramat Mulia Tunku Bendahara Kedah, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah akan dimakamkan di Makam Di Raja Langgar selepas solat Asar pada hari ini, Rabu, 21 Mei 2014 Masehi, bersamaan 21 Rejab 1435 Hijriah.

Bendera Negeri, Persekutuan dan lain-lain hendaklah dikibarkan pada separuh tiang selama tiga hari mulai 21 Mei 2014. Tempoh perkabungan adalah selama tiga hari mulai 21 Mei 2014 sehingga 23 Mei 2014. Sepanjang tempoh tersebut, semua bentuk hiburan, keramaian dan perayaan adalah dibatalkan.

Sebagai penghormatan ke atas kemangkatan Yang Teramat Mulia Tunku Bendahara Kedah, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, hari ini, Rabu, 21 Mei 2014, diisytiharkan sebagai hari cuti peristiwa bagi seluruh Negeri Kedah Darul Aman.

Marilah sama-sama kita berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, semoga roh Almarhum Yang Teramat Mulia Tunku Bendahara Kedah, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama para syuhadah dan solihin.

DATO’ SERI HAJI MUKHRIZ TUN MAHATHIR
Menteri Besar Kedah Darul Aman

Tarikh : 21 Mei 2014