Categories
Diari

Covid-19: Perspektifku

Hmmm… Kita tidak pernah tahu apa yang akan berlaku. Kadangkala kita cuma meramal, mengagak berdasarkan ilmu manusia yang teramat cetek. Kita tidak pernah menjangka ia akan berlaku sebegini. Apa pun ia sudah menjadi satu sejarah yang jika hidup kita panjang, dapat kita ceritakan kepada generasi akan datang.

Pandemik Covid19 merupakan satu titik perubahan dalam ketamadunan manusia zaman moden ini. Saya terfikir apakah selepas ini, budaya akrab sesama kita akan terus pupus ditelan zaman atau dapat kembali kita suburkan.

Saya setiap hari melayari https://www.worldometers.info/coronavirus/ yang banyak menyalurkan maklumat terkini berkenaan dengan Covid19. Ketika awal pagi 03 April 2020, ia sudah mencecah sejuta orang dan kematian yang melebihi 50000 nyawa. Alangkah sedihnya dengan apa yang berlaku.

Ada yang hidup dalam ketakutan yang amat sangat. Ramai yang perlukan kaunseling kerana ia telah mengubah banyak gaya hidup kita. Segalanya berubah dalam sekelip mata. Ia terlalu pantas berlaku. Bagi saya hanya selepas vaksin ditemui, barulah ketakutan itu akan hilang secara beransur ansur tetapi ia tak akan sama seperti sebelumnya. Trauma masih ada terutamanya terhadap mereka yang terjejas.

Walaupun saya bertugas di hospital bukan di barisan hadapan, ia tetap menimbulkan sedikit kerisauan namun demi tugas untuk membantu masyarakat, ia perlu diteruskan.

Ekonomi perlu kembali dipulihkan kerana ia dengan dahsyatnya telah membuatkan ekonomi dunia terjunam dalam lembah suram. Kita semua harus bangkit dan berjuang untuk survival kehidupan. Semangat tidak harus patah.

Cuma yang jelas, ia adalah salah satu peringatan Allah. Semakin ramai yang mula kembali berfikir tentang tujuan hidup. Kemabli mendekati ilahi ketika kita semua terlalu alpa dengan kenikmatan dunia.

Teringat saya pada satu tazkirah:

Ibnul Jauzi rahimahullah berkata,

“Sesungguhnnya keletihan kerana melakukan ketaatan akan hilang, dan tinggallah pahalanya. Dan kenikmatan melakukan maksiat akan hilang dan tinggallah hukumannya.”

Covid-19 ini mengajak kita kembali menginsafi diri kita. InsyaAllah jika kita kembali kepada-Nya, segalanya akan dipermudahkan dan suasana suram ketika ini akan bertukar indah.

Elok juga diamalkan Doa Nabi Yunus ketika terperangkap dalam perut ikan nun

Akhir kata, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Jika kita lihat dari sisi negatif, maka tempias negatif yang akan kita dapat. Jika kita lihat dari sisi positif, maka kita akan dapat hasil yang positif. Mudah mudahan ada manfaatnya untuk kita semua, InsyaAllah

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.