Categories
Kata Hikmah Rencana

Jadikanlah Allah Keutamaan Dalam Hati

Benarlah seperti yang dikatakan, seorang nampak tenang bukan kerana tidak mempunyai masalah yang berat tetapi kerana dia pandai menyembunyikan kesusahannya. Dipendam kepahitan dengan senyuman. Dipadam kerunsingan dengan gurauan.

Minggu lepas, minggu yang penuh peristiwa. Aku bertemu pelbagai ragam manusia. Daripada sahabat rapat, saudara terdekat dan kenalan dikalangan pembaca tulisan-tulisan ku. Mereka meluahkan masalah, kesusahan dan derita yang mereka sedang hadapi, tanpa mereka sedari bahawa aku juga sedang dan pernah melalui kesukaran yang sama.

Ada di antara mereka, yang sejak dulu ku kagumi ketenangannya. Namun, bila didekati mereka juga rupa-rupanya sedang menghadapi ujian yang tidak kurang getirnya. Ujian sakit, karenah isteri, sikap negatif anak-anak, dipulau rakan sekerja, tanggapan negatif ssnsk-saudara serta macam-macam ujian lagi.

Aku tersenyum pahit. Pelangi selalu kelihatan di atas kepala orang lain. Maksudnya, kesenangan dan keindahan kita rasakan hanya dimiliki oleh orang lain. Tanpa kita sedari mereka juga hakikatnya punya ‘perang’ tersendiri. Seperti kita, mereka juga sebenarnya sedang berhempas pulas mendepaninya.

Akhirnya, aku mendapat satu kesimpulan bahawa: Bukan soal masalah itu ada atau tidak, masalah itu berat atau ringan, tetapi sejauh mana iman di dalam diri untuk menanggungnya. Semua orang ada masalah, dan itu bukan masalahnya, tetapi yang penting ialah bagaimana pergantungan hati seseorang kepada Allah.

Ya, Allah lebih besar daripada masalah kita. Jika Allah besar di hati, segala masalah menjadi kecil dan mudah dihadapi. Tetapi jika Allah kecil di hati, masalah yang kecil pun menjadi besar untuk ditangani.

Justeru, jika kau melihat insan lain tersenyum, jangan kau cemburui senyumannya, tetapi cemburuilah iman yang ada di hatinya. Sehingga dengan itu mereka masih mampu tersenyum walaupun ada perang di dalam hatinya.

Ya, mungkin sahaja perang yang mereka hadapi lebih besar daripada perang yang kau hadapinya… tetapi iman mereka lebih besar daripada iman mu ketika menanggung dan menghadapinya!

Ustaz Pahrol Mohamad Juoi

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.