Categories
Diari

Moto Kehidupan – Keredhaan Allah & Ketenangan Hati: Impian Abadi

Saya pernah terangkan dalam posting posting saya sebelum ini tentang moto kehidupan saya iaitu Keredhaan Allah & Ketenangan Hati: Impian Abadi

Sejak dari kecil, saya banyak berhadapan dengan pelbagai rencam kehidupan sama ada yang saya sendiri lalui atau pun yang berlaku di sekeliling saya. Banyak yang berlaku sehingga kadang kala saya memberontak untuk mendapatkan apa yang saya fikir saya berhak dapat sehingga lah Allah takdirkan pelbagai peristiwa yang membuka mata hati saya untuk mentafsir segalanya.

Paling saya terkesan adalah apabila saya sentiasa berdamping dengan Arwah Tok Wan saya (Al-Fatihah). Keperibadian arwah banyak mengajar saya erti kehidupan. Walaupun mempunyai banyak wang, tetapi betapa zuhudnya kepada kehidupan banyak membentuk diri saya. Setiap kali cuti sekolah, saya memang akan balik kampung di Pendang. Apabila saya balik kampung, saya lah driver Tok Wan saya. Saya lah yang akan bawa Tok Wan pergi kenduri, ziarah kawan kawan Tok Wan dan juga bantu selesaikan urusan Tok Wan.

Ada ketika saya rasa seperti marah apabila ada orang ambil kesempatan ke atas Tok Wan tetapi Tok Wan sentiasa tenang. Tok Wan selalu kata, ” biarlah orang nak buat apa pun kat kita tetapi kita jangan buat balik kat orang, nanti lama lama, depa sedaq lah, Allah ada”. Saya rasa terpukul. Mungkin darah muda ketika itu. Saya belajar. Apatah lagi apabila saya sering bersama Tok Wan dengan kawan kawan Tok Wan.

Sejak itu, saya sematkan dalam diri saya apa pun yang berlaku dalam hidup, kita perlu dapatkan redha Allah dan hati yang tenang. Jika itu saya dapat kecapi, InsyaAllah apa jua cabaran dalam dunia akan dapat kita lalui.

Hidup kita pun bukannya lama sangat. Pejam celik pejam celik dan besar dah anak anak. Bila keluar pun, orang dah panggil Pakcik. Hehehe… Tak perlu untuk kita utamakan dunia yang penuh dengan fatamorgana ini. Kehidupan selepas mati adalah lebih panjang berbanding hidup di bumi.

Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);

Al-Mulk, Ayat 2

KEREDHAAN ALLAH & KETENANGAN HATI: IMPIAN ABADI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *