Categories
Diari

Muhasabah Diri

Sedikit masa lagi tahun 2020 akan menginjak datang. Jika dipanjangkan umur, saya akan berusia 40 tahun. Semakin berusia, semakin banyak muhasabah diri yang perlu saya lakukan. Kita manusia yang sentiasa terlupa dan terleka. Kita terlalu alpa dalam belaian dunia hingga kita asyik terlupa tujuan hidup kita.

Kita perlu sentiasa bermuhasabah diri. Memikirkan kealpaan yang pernah dilakukan, terasa bertapa kesalnya kita terhadap apa yang pernah kita lakukan. Menitis air mata mengenangkan betapa jauhnya kita dari Allah yang sentiasa dekat pada kita.

Bagaimana solat kita, perlu kita kembali renung sedangkan macam saya ada kekuatan untuk berlari dan menghanyun raket di gelanggang badminton tetapi adakah kita kuat untuk mengangkat takbiratul ihram dan mengangkat selimut dalam lena tidur pada subuh yang bening? Dekatkah kita dengan Al Quran sedangkan setiap hari kita tidak boleh terlepas memegang telefon bimbit menghadap facebook dan instagram serta bermacam lagi media sosial? Banyak persoalan kehidupan yang perlu kita renung kembali terutama tujuan hidup kita.

Adakah kita adil terhadap semua perkara? Adil ialah meletakkan sesuatu pada tempat yang betul. Adil kepada ibu bapa, anak, isteri, rakan rakan, masyarakat, alam sekeliling dan juga diri sendiri. Kita perlu kembali fikirkan.

Tanggungjawab yang kita pikul terutamanya saya yang mempunyai seorang isteri dan enam anak dan mungkin bertambah (kalau tambah lagi. Hehehe), pastinya semakin berat kerana sebagai seorang ketua keluarga, saya perlu memastikan kesmeua ahli keluarga saya sama sama ke syurga di akhirat kelak. Segalanya harus saya fikirkan dengan semakin mendalam.

Saya doakan agar kita semua dapat kembali bermuhasabah, memikirkan tujuan kehidupan kita. Dari Allah kita datang kepada Allah kita akan kembali. SYARAT UNTUK MATI ITU BUKAN TUA TETAPI HIDUP! marilah bermuhasabah diri. Satu peringatan buat diriku yang sentiasa terleka.

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.