Categories
Diari

FOKUS

Waktu tengah banyak perkara yang perlu diselesaikan dapat kisah teladan ini dari seorang sahabat. Sedikit sebanyak membantu…

“FOKUS”

Ada seorang anak yang setiap hari rajin solat ke masjid, lalu suatu hari ia berkata kepada ayahnya,
“Ayah mulai hari ini saya tidak mau ke masjid lagi”

“Laaa kenapa?” Tanya si ayah.

“Kerana di masjid saya menemukan orang² yang kelihatan beragama tapi sebenarnya tidak, ada yang sibuk dengan gadgetnya, sementara yang lain membicarakan tentang keburukan orang lain”.

Si ayah pun berpikir sejenak dan berkata, “Baiklah kalau begitu, tapi ada satu syarat yang harus kamu lakukan setelah itu terpulang kepada kamu”.

“Apa dia ayah?”

“Ambillah air satu gelas penuh, lalu bawa keliling masjid, ingat jangan sampai ada air yang tumpah”.

Si anak pun membawa segelas air mengelilingi masjid dengan hati², hingga tak ada setitis air pun yang jatuh.

Sesampai di rumah sang ayah bertanya, “Bagaimana sudah kamu bawa air itu keliling masjid?”,

“Sudah ayah”.

“Apakah ada yang tumpah?”

“Tidak”.

“Apakah di masjid tadi ada orang yang sibuk dengan gadgetnya?”.

“Saya tidak tahu kerana pandangan saya hanya tertumpu pada gelas ini”, jawab si anak.

“Apakah di masjid tadi ada orang² yang membicarakan keburukan orang lain?”, tanya si ayah lagi.

“Saya pun tidak mendengar kerana saya hanya fokus menjaga air dalam gelas”.

Si ayah pun tersenyum lalu berkata, “Begitulah hidup anakku, jika kamu fokus pada tujuan hidupmu, kamu tidak akan ada waktu untuk menilai keburukan orang lain. Jangan sampai kesibukanmu menilai kualiti orang lain membuatmu lupa akan kualiti dirimu”.

Marilah kita fokus pada diri sendiri dalam beribadah, bekerja dan untuk terus menjadikan hidup ini positif.

Semoga kita menjadi lebih baik dan lebih bermanfaat.

Categories
Diari

Moto Kehidupan – Keredhaan Allah & Ketenangan Hati: Impian Abadi

Saya pernah terangkan dalam posting posting saya sebelum ini tentang moto kehidupan saya iaitu Keredhaan Allah & Ketenangan Hati: Impian Abadi

Sejak dari kecil, saya banyak berhadapan dengan pelbagai rencam kehidupan sama ada yang saya sendiri lalui atau pun yang berlaku di sekeliling saya. Banyak yang berlaku sehingga kadang kala saya memberontak untuk mendapatkan apa yang saya fikir saya berhak dapat sehingga lah Allah takdirkan pelbagai peristiwa yang membuka mata hati saya untuk mentafsir segalanya.

Paling saya terkesan adalah apabila saya sentiasa berdamping dengan Arwah Tok Wan saya (Al-Fatihah). Keperibadian arwah banyak mengajar saya erti kehidupan. Walaupun mempunyai banyak wang, tetapi betapa zuhudnya kepada kehidupan banyak membentuk diri saya. Setiap kali cuti sekolah, saya memang akan balik kampung di Pendang. Apabila saya balik kampung, saya lah driver Tok Wan saya. Saya lah yang akan bawa Tok Wan pergi kenduri, ziarah kawan kawan Tok Wan dan juga bantu selesaikan urusan Tok Wan.

Ada ketika saya rasa seperti marah apabila ada orang ambil kesempatan ke atas Tok Wan tetapi Tok Wan sentiasa tenang. Tok Wan selalu kata, ” biarlah orang nak buat apa pun kat kita tetapi kita jangan buat balik kat orang, nanti lama lama, depa sedaq lah, Allah ada”. Saya rasa terpukul. Mungkin darah muda ketika itu. Saya belajar. Apatah lagi apabila saya sering bersama Tok Wan dengan kawan kawan Tok Wan.

Sejak itu, saya sematkan dalam diri saya apa pun yang berlaku dalam hidup, kita perlu dapatkan redha Allah dan hati yang tenang. Jika itu saya dapat kecapi, InsyaAllah apa jua cabaran dalam dunia akan dapat kita lalui.

Hidup kita pun bukannya lama sangat. Pejam celik pejam celik dan besar dah anak anak. Bila keluar pun, orang dah panggil Pakcik. Hehehe… Tak perlu untuk kita utamakan dunia yang penuh dengan fatamorgana ini. Kehidupan selepas mati adalah lebih panjang berbanding hidup di bumi.

Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);

Al-Mulk, Ayat 2

KEREDHAAN ALLAH & KETENANGAN HATI: IMPIAN ABADI

Categories
Diari

Terima Kasih Sahabat

Sepanjang perjalanan menelusuri kehidupan ini, saya amat amat berterima kasih kepada semua sahabat dan juga yang pernah hadir dalam hidup saya. Semuanya didatangkan Allah ada pengertian dan pengajaran yang boleh saya ambil iktibar.

Saya amat bersyukur di kelilingi oleh ramai sahabat yang berjaya. Ada yang juga yang biasa biasa dan ada juga yang masih berjuang dalam kehidupan. Saya tetap bangga dengan sahabat sahabat saya hatta yang kini mungkin merasakan mereka berada dalam fasa terburuk kehidupan mereka. Ketahuilah bahawa anda semua tetap sahabat saya.

Dari yang yang kemuncak kejayaan sehingga ada yang sedang menanti hukuman gantung di penjara sepi, anda semua tetap memberi makna dalam kehidupan saya.

Mungkin ada yang tersungkur kerana sebab sebab tertentu yang kita sendiri tidak tahu mengapa kerana mereka sendiri yang menempuhnya tetapi banyak pengajaran yang saya boleh ambil. Begitu juga yang telah berjaya dalam kehidupan… Susah dan perit sebelum mengecap kejayaan itu menjadikan mereka sesuai pada kedudukan mereka kini.

Ada juga yang masih bertungkus lumus berjuang membina impian walaupun sudah lama mereka berusaha. Yakinlah bahawa Allah akan membantu kita. Yakinlah bahawa ALLAH SAYANG KITA dan apa yang Allah berikan adalah ujian untuk kita terus berusaha dan pasti akan ada ganjarannya.

Saya tak mahu kelaskan siapa yang perlu saya berkawan dan saya akan berkawan dengan semua. Jika saya mampu untuk bantu saya akan bantu sedaya mungkin. Tetapi saya tetap akan berterima kasih kepada semua sahabat yang hadir dalam hidup saya. Anda semua adalah inspirasi hidup saya. TERIMA KASIH!

Categories
Tazkirah

Tazkirah: Salehuddin Al Ayyubi

Dulu saya pernah diajar agar membaca sejarah yang menang, fokus lebih kepada yang baik-baik berbanding pada yang kalah dan yang menyedihkan.

Jika ‘membaca’ pada diri seorang figur Islam yang hebat, jangan sekali-kali mencari kesempurnaan. Hati kita akan terguris.

Justeru, kata Hamka, semakin sempurna gading semakin ketaralah retaknya. Tambahnya lagi, jika hati belum bersedia, jangan terlalu hampir dengan ulama. Mereka manusia bukan malaikat.

Sejarah bukan untuk dibaca realitinya sahaja, tetapi perlu dibaca dengan berstrategi. Agar dengan ini kita bersemangat untuk mencipta kemenangan baru, bukan untuk jatuh sekali lagi dalam lubang yang sama. Wallahua’lam.

Dengan pendekatan itulah saya menulis sajak Salehuddin Al Ayubi ini. Bila digubah menjadi nasyid, saya berharap khalayak dapat membaca ‘rasa’ daripada sejarah bukan hanya faktanya.

SALEHUDDIN AL AYUBI

Malammu disinar solat munajat
Siangmu dihias lonjakan jihad
Pembela insan yang miskin dan lara
Kemelut yang menyelubungi
Dalam sirah ummah
Kau ungkai dengan fatwa nubuwwah

Pernah kembara bagai pelarian
Akhirnya bertakhta penuh kemuliaan
Berkurung dendam demi keamanan
Bergemalah bumi Anbia
Takbir kemenangan
Menjulang iman hapus kemungkaran

Walaupun seisi dunia
Melutut di tapak kakimu
Tetapi kau pergi
tanpa sisanya untuk diwarisi

Quran Hadith terpasak di kalbumu
Syair puisi pelembut rasamu
Tinta senjata lakaran mindamu
Darah juga airmatamu
Dakwat yang mewarna
Lembaran agung insan terulung

Jasamu Salahuddin
Bagai kasturi mewangi
Harumannya melewati
Baitul Maqdis
Walaupun jasadmu tiada
Semangatmu tetap menyala
Kekal menjadi aspirasi
Mujahid kini dan selamanya

Malammu disinar solat munajat
Siangmu dihias lonjakan jihad
Pembela insan yang miskin dan lara
Kemelut yang menyelubungi
Dalam sirah ummah
Kau ungkai dengan fatwa nubuwwah

Kaulah satria, kaulah perwira Fisabilillah

Nukilan: Ustaz Pahrol Mohd Juoi

Anda boleh membaca lebih lanjut di Laman Web Ustaz Pahrol Mohd Juoi di Genta Rasa.

Categories
Uncategorized

Kembara Ilmu: UMT

Dah lama saya tak naik bas dalam perjalanan yang jauh. Hari ini saya ke Kuala Terengganu dari Kuala Lumpur. Kali terakhir saya ke Kuala Terengganu ialah pada tahun19989 iaitu 20 tahun lepas. Ke rumah sahabat saya Khairu Farhan di Kg. Sungai Atas Tol. La ni dah jadi PTD hebat dah 🙂

Sesekali apabila jadi penumpang ni, terasa rileks sikit. Perjalanan panjang dengan pemandangan luas dapatlah memberi saya sedikit ruang untuk bermuhasabah diri. Melihat semula apa yang telah saya lakukan selama ini.

Juga dalam musafir kembara ilmu ini, saya tak lepaskan peluang untuk berdoa kerana salah satu waktu disarankan berdoa adalah ketika bermusafir. Mintalah apa sahaja dari Allah. Allah yang akan memperkenankan permintaan kita. Allah jua tempat ku berserah.

Alhamdulillah diberi kesempatan menyertai kembara ilmu ini. Sekian nukilan pendek saya kali ini.

Categories
Uncategorized

Sesekali Teringat: Mesin Rumput

Tiba tiba teringat… Dulu apabila cuti sekolah, saya memang suka balik kampung. Di rumah Tok Wan saya waktu tu ada mesin rumput yang menggunakan mata besi.

Saya suka gunakannya untuk mesin rumput di tepi rumah Tok Wan. Yang bestnya, saya pakai selipar sahaja sambil mesin rumput. Hehehe…

Lepas tu, saya ke hospital dan ada kes yang kaki terkena mata besi yang pecah terkena batu. Aduh ngerinya! Itu pun Mesin guna mata besi tu, la ni dah pakai mata tali… Yang cedera tu pun guna but getah tapi saya selamba ja guna selipar!

Ngerinya bila teringat balik!

Categories
Tazkirah

Tazkirah: Antara Agama dan Akhlak

Sheikh ada sebut 1 hadis mengenai seorang wanita yang ingin memilih calon suami. “Apabila kamu redha dengan agamanya dan akhlaknya…”

Lalu sheikh tanya, “kenapa nabi sebut agama dengan akhlak itu diasingkan dan tak disebut salah 1 darinya. Apa ada perbezaan antara agama dan akhlak…?”

“Adakah orang berakhlak itu tidak beragama…?”
Adakah orang beragama itu tidak berakhlak ?”

Kami semua terdiam seketika sambil memikirkan jawaban, dan termenung panjang, kesudahan tak ada seorang pun mampu beri jawaban.

Akhirnya, sheikh kata..

Ya memang ada perbezaan antara akhlak dan agama. Orang yang beragama tidak semestinya dia tu berakhlak dan orang berakhlak sudah pastinya dia beragama.

Sheikh pun senyum.
Dia sambung lagi dengan memberi contoh.

Contoh begini mudah. Kamu seorang yang rajin solat, rajin pergi jemaah di masjid. Kamu seorang yang bab agama memang mantap. Ilmu penuh di dada. Kelas pengajian semua kamu hadir. Tak ada ketinggalan langsung..
tapi bila sebut bab akhlak kamu tak setaraf dengan agama yang ada di dada kamu..

Bila bercakap tinggi suara. Bila lambat sikit kamu marah2. Bila tak puas hati sikit kamu lepaskan dengan pukul sana pukul sini. Semua hati yang ada disekeliling kamu jadi terguris.
Jika tak kena dengan kehendak kamu, kamu menghina, mengherdik sampai dapat apa yang kamu nak. Kamu hempas tangan kamu di meja tak puas hati dengan orang lain.

Kami semua terdiam, fokus dan cuba memahami.. Sambil muhasabah, aku termasuk juga ke dalam tu.

Sheikh sambung lagi.
Kali ni dengan nada yang lembut sedikit..
Beza dengan orang berakhlak. Mereka ni, sangat baik. Bila bercakap lemah lembut. Bila tak puas hati tak marah2.. tapi mudah memaafkan. Tak mudah naik angin dan tak mudah marah2..

Terus aku teringat 1 hadis lain. “Sebaik baik manusia adalah yang paling baik akhlaknya…”

Dan aku juga terfikir mengapa ada ayat al-Quran yang menyebut ALLAH mengutuskan nabi itu kerana nak menyempurnakan akhlak.

Mungkin jawaban sheikh tu telah menjawab semua soalan difikiran..

Orang Arab adalah contoh. Mereka sangat titikberatkan bab solat awal waktu, agama mereka hebat. Kebanyakkan mereka hafiz 30 juz. Hatta’ yang berseluar jeans pun, tetap seorang hafiz al-Quran.

Tapi bila sebut bab akhlak, mereka kurang. Bila sebut siapa yang mudah melenting marah. Kasar suara pada orang lain.. mereka lah yang terkehadapan.

Dan itulah juga sebabnya ALLAH mengutuskan nabi di tanah Arab, kerana nak perbaiki akhlak mereka. Mana takmudah marah2.. cuaca panas..
Maka angin dalaman pun mudah naik. Suhu kereta mana tak naik kalau tiada penyejuk dengan air. Air itu adalah akhlak..

Agama adalah enjin dalam kehidupan. Kalau tak ada enjin kita tak boleh bergerak. Begitulah juga akhlak.

Kalau tak ada akhlak. Maka kita adalah insan yang lemah dan mudah marah.

Sehinggakan ada hadis nabi sebut ringkas bab marah. Bila ada seorang sahabat minta nasihat dari nabi. Nabi Muhammad sebut ringkas.

“Laa Taghdob..!”

“Jangan lah kamu marah.” 3 kali nabi ulang ayat tersebut.

Maka bagi wanita di luar sana…yang berkenan dengan seorang lelaki,
di-nasihatkan kalian kena perhati betul2… Jika baik akhlak dan agamanya maka terimalah. Walaupun muka tidak seindah pelakon sinetron idaman kalian.

Berapa ramai yang bercerai setelah menikah kerana menilik lelaki itu ada gaya ustaz, ada serban di kepala. Ada rida’ di bahu, ada ilmu, boleh baca kitab arab padu..
Tapi akhlak ke laut, tak boleh dibuat suami..

Semoga kita semua dapat memperbaiki akhlak dan agama dari hari ke hari sebelum kita menghadap ALLAH..

Nak ulang sebut hadis
Rasulullah bersabda..

إذا جاءكم من ترضون دينه وخلقه فزوجوه إلا تفعلوه تكن فتنة في الأرض وفساد كبير

“Jika datang kepada kalian seorang lelaki yang kalian redhai agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah ia. Jika tidak, maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan kerosakan yang besar…” (HR. Tirmidzi.

Manusia akan menjadi hina apabila ia merosakkan sifat, pembawaan dan keadaan dalam jiwanya. ALLAH Subhanahuwa Ta‘ala berfirman..

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمۡۗ

Sesungguhnya ALLAH tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri..

(Surah Ar-Ra’d: 11)

Sumber: WA Group

Categories
Uncategorized

Perancangan Allah Sebaik baik Perancangan

Pagi tadi, saya berbual dengan seorang sahabat perempuan yang cukup saya kagumi (ada satu kualiti dalam dirinya yang amat saya kagumi). Tiba tiba perbualan terheret kepada doa.

Saya ceritakan yang saya dahulu pernah sangat berdoa untuk mendapatkan sesuatu dari Allah tetapi tidak diperkenankan. Mulanya terdapat sedikit kekecewaan tetapi selepas terdengar satu ceramah yang mengumpamakan kita ni macam budak budak. Mak kita nak bagi kita ketulan emas tetapi kita nak jugak gula gula sedangkan kalau kita ambil ketulan emas tu, boleh beli kilang gula gula tu. Kerana apa? Kerana kita tidak tahu menilai sesuatu…

Apabila Allah beri, Allah tahu yang terbaik buat Hamba-Nya.

Manusia merancang. ALLAH merancangan dan perancangan ALLAH adalah sebaik aik perancangan.

Bersyukurlah atas apa sahaja yang ALLAH berikan walau sekecil kecil nikmat…

Categories
Uncategorized

Kala Subuh Yang Bening

Ketika ini 4.30 pagi. Biasanya saya akan bangun lebih kurang jam 5 pagi tetapi pagi ini terasa tidak dapat lelapkan mata sangat. Entah apa yang saya teringatkan. Macam orang sedang bercinta pulak. Hehehe

Dari balkoni penginapan saya ini dapat saya lihat cahaya rembulan yang menyinari pantai. Sungguh cantik ditambah pula dengan angin yang agak kencang.

Kalau seorang abid, sudah pasti sedang bertahajud. Saya pula termenung menghadap pantai sambil memikirkan banyak perkara terutamanya perjalanan diri nanti. Kita tak tahu apa yang akan berlaku hatta lima minit lagi pun kita tak tahu apa akan terjadi.

Segalanya perlukan perancangan yang lebih rapi tetapi yang paling penting ialah saya perlu komited terhadap pelaksanaannya. Hidup ini pun bukannya lama sangat, jadi amat penting untuk kita manfaatkan segalanya dengan sebaik mungkin. Niat harus betul agar mendapat leredhaan Allah.

Banyak azam yang melayang layang dalam tempurung kepala ini. Harapnya dapat dicapai. Elok jugak percutian kali ini kerana sedikit sebanyak dapat merehatkan minda dan mencari idea baru. Walaupun sebenarnya cuti tetapi tetap jua terselit dengan kerja yang saya lakukan dari tempat saya menginap.

Alamak, banyak pulak saya menulis bulan ini tetapi tak mengapa, sesekali bila saya rasa seperti hilang pedoman, saya akan baca semula tulisan tulisan saya ini sebagai penguat azam untuk bangkit. Untuk hadapi cabaran kehidupan ini, Jiwa Mesti Kental!

Categories
Diari

2020

Ketika ini saya sedang bercuti di Port Dickson. Suasana awal pagi ini amat mendamaikan. Dari jendela kamar sewa saya ini terpampang rembulan penuh yang cukup indah. Cukup puas mata memandang dan diselangi dengan kapal kapal terbang yang mendarat dan berlepas dari KLIA yang tak jauh dari sini. Bumi sedikit ditimpa rintik rintik hujan. Bayu malam pulak agak kencang. Tambah mendamaikan ialah desiran ombak yang cukup memberi rasa yang sukar diungkap.

Sudah lama saya inginkan suasana setenang ini. Dihurung dengan hiruk pikuk kotaraya yang tidak berkesudahan serta urusan kerja yang tidak tahu untuk berhenti. Dapatlah saya merenung sejenak 2019 sehingga kini.

Alhamdulillah sehingga suku terakhir 2019, saya mula mendapat apa yang saya hajati walaupun tidak sepenuhnya. Alhamdulillah. Untuk yang masih belum saya kecapi, saya harus berjuang seperti seorang perwira yang gagah. InsyaAllah akan saya kecapi jua.

Si sebalik kejayaan, ramai yang tidak tahu betapa peritnya sebuah pengorbanan. Banyak perit jerih yang harus dilalui sebelum menjelmanya kejayaan. Tetapi itu lah resam untuk mengapai kejayaan. Ia tidak hadir dengan mudah.

Saya harus sentiasa positif dan dalam masa yang sama meminta dari Allah agar segala usaha yang saya usahakan diizinkan Allah untuk saya dapat.

Apa yang kita rasakan teramat sukar atau mustahil adalah teramat mudah bagi Allah. Justeru, pengharapan kita harus diharapkan sepenuhnya kepada Allah.

Untuk 2020, saya sudah mensasarkan beberapa matlamat yang harus saya capai. Saya harus berusaha keras tetapi akhir sekali kepada Allah jua tempat saya memohon agar apa yang saya usahakan berjaya.

Selamat Tahun 2020 in advanced