Jujur saya katakan, saya tidak begitu mengenali beliau dan tidak pernah mencari dan mengkaji latar belakang beliau. Namun saya cukup mengkagumi karya-karyanya yang begitu dekat dengan hati saya. Paling saya minati adalah puisi “Perbandingan Bahasa”

Perbandingan Bahasa

Amat sukar memahami bahasa ombak,
Sesekali menampar dengan ramah dan manis,
Melontarkan sepasang kekasih ke alam mimpi,
Kadangkala bengis dan gemuruh,
Memecahkan batu serta terumbu karang,
Atau membanting serta menenggelamkan,
Ribuan kapal dan perahu,
Sehingga ini mungkin hanya si burung camar saja,
Yang tahu dan mengerti apa yang tersembunyi,
Di balik alun riaknya

Namun lebih sukar lagi hendak memahami
Bahasa manusia kerana mereka amat bijak
Berselindung di sebalik seribu pepatah dan
Perumpamaan, penuh kias ibarat serta puisi,
Kadangkala meski pada lahir kedengaran
Lembut dan lunak beralun tapi dalam hati
Tak siapa yang tahu kesumat yang terpendam,
Daripada pertuturan bahasa tidak terkawal
Entah berapa banyak hati yang berdarah terluka,
Ikatan muhibah menjadi roboh binasa,
Akibat tajam dan pedihnya kata-kata,
Kerana itu sabda nabi:
“Adapun orang terbaik antara kamu ialah Muslim yang dapat menyelamatkan Muslim yang lain daripada angkara jahat oleh perbuatan tangan dan lidahnya”.

Marilah kita berbahasa sebaik mungkin,
Kerana bahasa jiwa bangsa,
Marilah kita bertutur seindah mungkin,
kerana jika mata pedang itu tajam,
Tapi tajam lagi kata-kata

ZAHARI HASIB
KUALA LUMPUR

 

Akan tetapi ketika menyelak halaman akhbar Berita Harian hari ini saya terbaca satu tajuk berita “Zahari Meninggal Ketika Azan”. Memang cukup mengejutkan diri saya apatah lagi seperti yang saya katakan, saya tidak pernah cuba mencari siapa sebenarnya Zahari Hasib. Cuma meminati karyanya sahaja. Kini ia sedikit menjadikan diri saya terkilan.

Apa pun terima kasih Zahari Hasib. Al-Fatihah dan doa kukirimkan dari depan komputer ini.

Al-Fatihah…

Terima kasih
kepada pagi
yang menantang angin lembut
segar serta nyaman

Terima kasih
kepada mentari
yang membawa sinar terang
hingga boleh membaca
serta mencatat ilham
untuk menulis beberapa rangkap puisi

Terima kasih
dan selaut kesyukuran
kepada tuhan
yang telah membenarkan aku
hidup sehari lagi
pada hari ini!

ZAHARI HASIB
Teluk Intan, Perak

Pautan tambahan… http://karyawanpk.blogspot.com/2012/02/zahari-hasib-meninggal-dunia.html / http://www.angelfire.com/on4/saifulazrul/PPuisi3.htm