Categories
Diari

Keseorangan

Ketika ini, isteri dan anak-anak saya berada di Kedah. Tinggallah saya keseorangan di KL. Apakan daya, demi tugas, saya perlu kembali dan laksanakan. Bila balik rumah memang terasa sungguh sunyi. Kalau tidak ada gelak hilai dan keletah Syasya, tapi kini hanya komputer jadi peneman. TV saya tak tengok sangat melainkan berita dan sukan.

Bila telefon rumah di Kedah, dan bila terdengar suara Syasya menangis nak mai kat saya, terasa cukup indah pulak walaupun bercampur sayu. Nanti Walid balik tau Syasya. Lepas tu dengar suara Syafi yang nak susu, rasa rugi pulak tak dapat tatap wajahnya sebab waktu kecik ni cepat berubah perkembangan bayi.

Bila tengok rumah yang berserabut, teringat betapa tekunnya isteri saya kemaskan. La ni kalau dia balik rumah, mesti habis saya kena bebel. Hehehe… Memang berselerak. Tak tahulah macam mana nak kemas. Saya rasa dah kemas dah tapi kalau isteri saya buat, sekejap ja dah nampak kemas. Hmmm…

Alhamdulillah dalam tempoh seminggu saya dah sempat buat Akikah untuk Syafi. Seperti Syasya, saya laksanakan Akikah di Kemboja melalui Al-Ameen. Alhamdulilah kerana ia dilaksanakan dalam Bulan Ramadhan dan akikah itu dilaksanakan untuk saudara kita di Kemboja berbuka puasa.

Kalau di Malaysia, kita buat Akikah, kadang kala bila saya tengok rasa macam membazir sebab banyak yang terbuang dan satu lagi sikap orang kita kalau ambik tu banyak-banyak tetapi makannya seciput ja. Last sekali banyak sisa yang dibuang begitu sahaja. Berbeza dengan saudara kita di Kemboja yang begitu daif. Saya difahamkan, apabila ada Akikah dilakukan di sana, ia pasti habis licin. Bagi mereka, nak daging itu adalah makanan yang cukup mewah. Apa pun, yang paling penting sebenarnya niat di hati kita.

Alhamdulillah juga kerana sejak awal lagi balik Kedah tempoh hari, saya terus tunaikan Zakat Fitrah bersama tambahan tanggunggan saya yang baru iaitu Syafi Hana. Terasa lega bila semua kewajiban itu dilaksanakan.

Kini Syafi sudah pun botak. Botak setelah dicukur kepalanya. Memang disunatkan bercukur kerana salah satu faedahnya ialah ia dapat membersihkan kekotoran yang mungkin terlekat pada rambut bayi yang mungkin sukar untuk ditanggalkan. Ada yang salah faham dengan hanya menggunting dua tiga helai rambut ketika bercukur bayi. Apa pun Alhamdulillah ia telah dilaksanakan.

Syafi Hana Selepas Bercukur
Syafi Hana Selepas Bercukur

Dan bila mengingatkan semua itu, saya terasa cukup sunyi bila di rumah berseorangan. Mujurlah begitu banyak tugas (macam nak kerja banyak ja. Hehehe) yang perlu diselesaikan. Banyak dateline yang perlu dipatuhi membuatkan masa berlalu begitu pantas dan berjaya mengisi kekosongan itu.

InsyaAllah esok malam, saya akan bergerak ke kampung untuk kembali bersama insan-insan yang amat bermakna dalam hidup saya. Moga kesunyian ini akan berakhir, InsyaAllah…

p/s: Bila dah ada dua anak, terbayang macam nak lagi tetapi bila terfikir tentang amanah yang harus dipertanggungjawabkan, terasa gerun dan amat mencabar…