Categories
Rencana

Mengapa Manusia Ada Dua Telinga?

Saya pernah terbaca persoalan itu yang diungkap secara berfalsafah.” Mengapa Manusia Ada Dua Telinga?”. Ia lantas menarik perhatian saya untuk terus mencuba jawapannya. Saya terfikir dan tertanya-tanya mengapa? Antara yang bermain dalam fikiran saya ialah Allah memang sudah tetapkan sebegitu sejak azali lagi.

Saya tidak ingat di mana saya baca artikel ringkas itu tetapi seingat saya di dalam sebuah novel rasanya. Kemudian, saya terus membaca untuk mendapatkan jawapannya lalu tertulis lebih kurang begini, “Supaya Manusia Mendengar Dari Kedua-Dua Belah Pihak”.

Kemudian ada lagi pertanyaan “Mengapa Mulut Terletak di bawah, telinga dan mata di atas”. Ia terus menarik perhatian saya untuk sekali lagi meneka. Kali ini saya sudah dapat mengagak jawapannya iaitu, “Kerana Kita perlu melihat dan mendengar dahulu sebelum bercakap dan sebab itu mata dan telinga berada lebih dekat dengan otak!” Begitulah antara yang dapat saya ingat.

Mesejnya mudah, setiap kejadian Allah sudah pasti ada hikmah dan simboliknya untuk kita berfikir. Begitu juga dengan apa yang ingin saya huraikan kali ini. Saya ingin menarik perhatian saudara pembaca diari saya tentang isu semasa kini. 

Apakah kita mendengar dari kedua-dua belah pihak? Adalah tidak adil kitamembuat kesimpulan hanya setelah mendengar dari sebelah pihak sahaja. Sebab itu simboliknya kita ada dua telinga satu di sebelah kanan dan satu di sebelah kiri untuk kita menilai dari kedua-dua pihak dan kemudian kita lihat dan fikirkan dengan akal sebelum kita ungkapkan dengan kata-kata.

Trend terkini terutamanya menerusi media massa yang hanya memberikan liputan kepada sebelah pihak sahaja, menyebabkan lahirnya generasi masyarakat yang gagal berfikir secara kritis dan kreatif. Ketuntasan dalam berfikir amat perlu jika kita mahu terus meningkatkan kualiti kita kepada sebuah masyarakat bertamadun dan berminda kelas pertama.

Jika trend sebegini berterusan, saya bimbang dengan apa yang bakal terjadi kepada masyarakat kita pada masa depan. Sebab itu lahir mentaliti kelas ketiga, vandalisma dan kekurangan kesedaran sivik. Dan atas sebab itu juga, lahirnya kecenderungan ramai untuk mendapatkan maklumat dari dunia siber yang ruang lingkupnya lebih luas.

Ia dianggap sebagai media baru yang lebih berpengaruh kerana setiap yang dikemukakan bebas boleh dicabar, dibincangkan dan dipersetujui lantas mencerminkan ketelusan yang diidamkan oleh khalayak ramai. Ia menjadikan ramai yang sudah muak dengan media massa yang begitu ghairah memberi ruang kepada sebelah pihak sahaja.

Ketidaksamaan ini sebenarnya boleh mendatangkan pelbagai impak negatif terutamanya kepada pihak yang terlalu emosi hingga ia boleh membahayakan kesejahteraan masyarakat. Sebab itu, saya menarik perhatian anda kepada tajuk diari saya hari ini agar kita dapat berfikir di luar kotak secara kritis. Fikir-fikirkanlah…

Categories
Jenaka

Jenaka: Suami Yang Taat

Kisah Kasih Suami Pada Isteri Pak Mat adalah seorang penduduk sebuah pondok di Selatan Thailand. Pada pertengahan bulan Mei yang lalu isterinya yang bernama Maznah telah meninggal dunia kerana diserang penyakit jantung.

Pak Mat yang berusia menjangkau empat puluhan telah diperhatikan oleh jiran-jirannya agak luar biasa iaitu beliau telah pergi ke kubur isterinya sebanyak tiga kali sehari. Pak Mat pergi pada waktu pagi, tengah hari dan petang untuk menyiram kubur isterinya lebih dari dua minggu secara berterusan. Ada setengah dari jiran dan penduduk tempatan beranggapan Pak Mat begitu cintakan isterinya.

Seorang saudaranya yang terdekat telah berkata, “Awak ni terlalu sangat cintakan isteri sehingga sanggup berbuat demikian, yang mana tak ada siapa lagi di kampung ini buat begitu.” Pak Mat menjawab, “sebenarnya sebelum Maznah hendak menghembuskan nafas yang terakhirnya, beliau telah berpesan kepada saya, kalau hendak kahwin pun tunggulah sehingga rumput di kuburnya tumbuh dahulu.” ” Oleh yang demikian saya terpaksa siram kuburnya supaya rumput cepat tumbuh……”