Categories
Diari

Lulus

Alhamdulillah, tengahari tadi dapat perkhabaran dari wife menyatakan beliau berjaya Lulus ujian memandu. Hmmm… Sekali ambil test ja. Tak aci ni! Saya dulu pun dua kali baru lulus. Hehehe…

Dulu kisah saya ambil test ada dalam blog lama saya. Rajin-rajinlah selak kalau nak cari. Dalam Diari Saiful hujung tahun 2001 ka 2002 macam tu.

Tahniah Sayang!

Categories
Diari

Batuk

Rasanya dah 2 minggu saya batuk berterusan. Hmmm… Kalau dalam sehari dua ni tak pulih jugak, saya kena pi jumpa Doktor la. Selalunya kalau batuk saya memang jenis tak ambik ubat sebab dalam masa sua tiga hari akan lega sendiri. Konon konon ada immune la. Hehehe… Kali ni minggu pertama saya fikir ok lagi.

Tapi masuk minggu kedua, saya mula ambik ubat. Dah lepas berapa hari ambik ubat still tak lega-lega lagi lalu wife saya tegur cara saya ambik ubat salah. Saya selalu ambik ubat batuk dengan air suam. Wife saya kata terus ja minum ubat batuk tu tak perlu dengan air. Hasilnya agak memberangsangkan dan batuk tu dah makin berkurang.

Cuma bila waktu rehat tenghari saya ambik, bila saya masuk bekerja semula rasa mengantuk sangat. Kesan ubat batuk memang agak kuat. Hmmm… Moga-moga sembuh dalam masa terdekat ni. InsyaAllah…

Categories
Diari

Sakit Gigi

Malam tadi, ketika melawak dengan anak saya, Syasya Hana, dia melompat-lompat atas badan saya. Ketika itu saya berbaring. Jenuh melayan kerenahnya yang cukup hiperaktif. Kalau ada orang secara automatik dia akan jadi ayu. Hehehe…

Nak jadi cerita sekali tu waktu dia melompat atas badan saya dia terjatuh dan kepala (dahi) dia terhantuk kepada dua batang gigi saya. Aduh sakitnya gigi! Rasa macam nak longgar nak tercabut gigi tu. Berdenyut denyut urat kat gusi tu. Adoi! Memang perit. 

Syasya pulak menangis dan lekat bekas gigi saya di dahinya. Hmmm… Bila saya kata gigi longgar, terus wife saya gelak membayangkan saya dengan tak ada dua batang gigi depan (atas). Saya pulak kalau sakit gigi terus pi beli susu 1 liter. Selalunya memang macam tu, saya akan habiskan susu 1 liter untuk atasi masalah sakit gigi.

Alhamdulillah, hari ni dah ok banyak…

Syasya oh Syasya! Nasib baik gigi Walid tak patah/kena cabut!

Categories
Diari

Selamat Berjaya Sayang

Sekejap lagi, wife saya akan ambil Ujian Memandu untuk dapatkan Lesen. Hmmm… Berdebar-debar jugak saya walaupun yang nak ambik lesen tu adalah isteri saya.

Kalau dah dapat lesen, ringan sikit tugas saya. Hehehe… 

Semoga Berjaya Sayang, Abang doakan Berjaya, InsyaAllah…

Categories
Diari

Ngeri

Ketika pulang ke kampung minggu lepas, saya teringat kisah saya sewaktu bulan Ramadhan yang lalu di Lebuhraya Utara Selatan selepas Terowong Menora. Sesiapa yang biasa drive di situ pasti sedar laluan itu agak berbahaya. Selepas Solat Subuh di Tapah, saya meneruskan perjalanan ke Penang dan selepas Terowong Menora tu, saya just main brek sahaja kerana laluan menuruni bukit.

Tapi walaupun hanya main brek, kelajuan mencecah 80/90 kmj! Pedal minyak langsung saya tak tekan. Dah lah menuruni bukit jalannya pulak bengkang bengkok. Tapi sampai satu ketika saya terpaksa ambil laluan sebelah kanan kerana bas yang menuruni bukit bergerak terlalu perlahan.

Yang cukup menyeramkan saya ialah ketika saya menuruni bukit tersebut saya melalui jalan yang bengkang bengkok tiba-tiba ada sebuah kon sempat segi melintang di tengah jalan! Kalau jalan lurus dari jauh dah boleh nampak tapi kalau bengkang bengkok, memang berderau darah jadinya.

Waktu tu kelajuan dalam 90kmj. Pada laluan kanan ada kon 4 segi. Laluan kiri ada sebuah lori tangki berada dekat kon 4 segi tersebut. Terus saya kepak stereng kereta saya ke kiri dan perbetulkan agar ia lurus pada laluan kiri dan ketika melepasi kon 4 segi tu, saya hampir merempuh lori tangki tersebut dan saya dengan pantas kepak stereng ke kanan dan dalam kelajuan yang sukar dikawal itu saya hampir merempuh pembahagi jalan simen di sebelah kanan tetapi saya sempat kawal stereng agar kembali lurus. 

Alhamdulillah, saya berjaya. Ia berlaku sekelip mata dan selepas saya berjaya kawal kenderaan seperti biasa, saya rasa macam jantung saya berhenti berdegup! Terlalu pantas. Wife saya tanya, “Awat, Abang?” sebab dia rasa kereta melelong manakala adik ipar saya yang sedang tidur langsung tak sedar apa-apa.

Saya rasa kon itu melintang di tengah jalan kerana ada yang terlanggar hingga menyebabkan ia melintang di tengah jalan. Memang bahaya! Mujurlah ketika itu saya baru sahaja servis kereta termasuk tukar 4 tayar, minyak brek, brek, Spring, alllignment and balancing dll yang memakan kos lebih kurang RM1.5K.

Alhamdulillah semuanya selamat, tapi setiap kali saya lalui laluan tu, memang hati saya berdebar-debar… Kena sentiasa beringat di jalan raya.

Categories
Diari

Kesabaran

Hmmmm… Saya kadangkala terlalu inginkan cepat capai sesuatu hasil. Ini yang harus saya kawal. Contohnya macam bila buat coding, nak tengok hasil secepat mungkin dan nak siap cepat sedangkan ia memerlukan ketelitian sebelum dapat kita lihat hasilnya. Hehehe…

Selalu saya didik diri saya agar bersabar dulu dan tunggu hasilnya kemudian. Memang inilah yang harus dilakukan untuk capai kejayaan. Kejayaan bermula dari langkah pertama, kemudian kedua, ketiga dan seterusnya sampai ke destinasi tapi kadang kala dalam diri saya macam nak lompat terus ke destinasi untuk terus berjaya. Hehehe…

Saya just tulis ini untuk ingatkan diri saya, kalau nak berjaya ia bermula dari langkah pertama dan ia memerlukan kesabaran.

Doakan saya berjaya, InsyaAllah… Terima Kasih

Categories
Diari

Training

Hmmm… Ketika ini kakak dan abang ipar saya terpaksa bertungkus lumus menjaga anak bongsu mereka yang dimasukkan ke wad akibat jangkitan kuman. Jadi anak sulung dna kedua mereka tiada siapa yang dapat uruskan dan saya serta isteri volunteer untuk membantu. Sekurang-kurangnya Syasya taklah sunyi di rumah.

Ni tidak, kalau time cuti sekolah, Syasya dok kat rumah dengan isteri saya ja. Bila sahaja saya kuak pintu balik kerja, Syasya akan terus terpa memeluk saya sambil berkata, “Walid Balik”. Nampak sangat tahap keboringan dia. Kalau saya ajak jalan-jalan, dia dengan pantas terus ke muka pintu memakai kasut tanpa mengira sama ada dah pakai baju atau pun tidak. Hehehe…

Sekarang bila ada along dan angah, Syasya tak menunjukkan reaksi yang sama. Bila saya balik ja, dia dah tak sambut, leka bermain. huh! Tak aci ni. Hehehe…

Teringat sewaktu nak balik ke KL dari Sungai Bakap, wife saya dok pening kepala sebab semua buat kelaku sampai dia kata, “Penaing aih kepala!”

Lantas saya jawab, “TRAINING!”

“TRAINING, nanti bila anak banyak boleh handle semua ni. Hehehe…”, sambung saya lagi.

Bila dah sampai KL. Saya sedang kelam kabut pasang LCD TV Toshiba Regza 32′ yang baru saya beli, depa semua dok kelam kabut main hingga terganggu kosentrasi saya untuk proses instalasi LCD TV tersebut. Adoi. Bayangkan tengah nak pasang skru, tiba-tiba depa berlari dan hampir terjatuh ke atas TV tu! Ada sekali dok kayuh basikal laju laju macam nak rempuh TV tu waktu saya tengah pasang skru. Nasib baik sempat saya tepis. Adoi, memang dugaan.

“TRAINING!” Tegur wife saya sambil perli saya semula. Hehehe…

Hmmm… Memang la ni tengah testing ragam bila beranak ramai. Kena ingatkan bila nak kencing dll. Sekarang saya baru ada Syasya dah kelam kabut. Tahun depan dok plan nak tambah seorang lagi, memang eloklah Training ni. Hehehe…

Apa pun, teringat kembali zaman saya kecik-kecik dulu, ada yang nak kena angkatlah bila dah tidur dalam kereta, ada yang terkencing depan pintu tandas la dll. Kali ni saya merasainya dan perlu berlatih meski dihambat kesibukan tugas!

Categories
Diari

Tazkirah: Syaitan janjikan manusia kepapaan, kesesatan

 

IBLIS dan syaitan adalah musuh nyata manusia. Kedua-duanya termasuk kaum jin yang dijadikan daripada api sangat panas dan tergolong dalam spesies makhluk ghaib, iaitu tidak kelihatan dengan mata kasar manusia biasa, kecuali apabila ia menjelma dalam bentuk tertentu.

Syaitan dan iblis mempunyai empayar kerajaan yang besar, malah ada pihak mendakwa nisbah seorang manusia 99 jin, manakala satu jin 99 malaikat, menunjukkan banyaknya makhluk terbabit yang mempunyai tugas masing-masing.

Antara tugas syaitan ialah:

1. Menghasut manusia untuk melakukan kejahatan. Sebab itu Allah mengingati manusia supaya berwaspada dengan hasutan terbabit. 

“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara yang keji, dan menyuruh kamu berkata dusta terhadap Allah, apa yang kamu tidak ketahui.” (al-Baqarah:168-169)

2. Menakut-nakutkan manusia. Syaitan juga bekerja menakutkan dan membimbangkan manusia, terutama berdepan persoalan rezeki, dengan hidup miskin dan susah. 

“Syaitan itu menjanjikan kamu dengan kemiskinan dan kepapaan, dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji; sedangkan Allah menjanjikan kamu keampunan daripada-Nya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi Maha Mengetahui.” (al-Baqarah:268)

3. Menyesatkan manusia. “Tidakkah engkau melihat orang yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya ingkar kepada taghut itu. Dan syaitan hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya.” (an-Nisa’:60)

4. Menimbulkan permusuhan sesama manusia. Cara syaitan ialah menimbulkan syak wasangka, hasad dengki dan kebencian. “Sesungguhnya syaitan itu berkehendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan arak dan judi…” (al-Maidah:91)

5. Melalaikan dan menghalang manusia daripada mengingati Allah. “…dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat. Oleh itu, mahukah kamu berhenti?” (al-Maidah: 91)

6. Mencari calon penghuni neraka. “Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagimu, maka jadikanlah dia musuh; sebenarnya dia hanya menyeru golongannya supaya menjadi penduduk Neraka.” (Fathir:6)

7. Berusaha merayu manusia supaya mencintai dan memujanya. “Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata bagimu!” (Yasin: 60)

8. Disebabkan tidak senang dengan ketenangan manusia, syaitan mengada-adakan pelbagai onar, termasuk membisikkan sesuatu ke telinga dan hati manusia. 

“Dari kejahatan pembisik, penghasut yang timbul tenggelam. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. Dari kalangan jin dan manusia.” (an-Nas: 4-6)

sumber: http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/AdDin/20081205095655/Article/indexv_html (12/12/2008)

Categories
Berita

Cuti untuk kakitangan awam baru dikurangkan

 

KUALA LUMPUR 11 Dis. — Mulai 1 Januari kelayakan cuti tahunan bagi kakitangan awam baru, kecuali polis, tentera, penguatkuasa maritim dan pegawai pelajaran, akan dikurangkan lima hari.

Pada masa ini, kakitangan awam menikmati kelayakan cuti tahun sebanyak 30 hari.

Bagaimanapun, mengikut undang-undang, semua kakitangan awam yang sedang berkhidmat akan diberikan opsyen untuk mengekalkan kelayakan mereka atau memilih kelayakan baru yang dikurangkan itu, kata Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam.

“Borang opsyen akan dikeluarkan secepat mungkin kerana hari terakhir bagi membuat opsyen itu ialah 31 Disember.

“Mereka yang tidak mengembalikan borang opsyen itu menjelang tarikh itu akan dianggap memilih kelayakan sekarang,” katanya kepada Bernama hari ini. – Bernama

source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_18.htm (11/12/2008)

Categories
Diari

Risiko Seorang Penjaga Gol

Saya teringat sewaktu di kampus dulu. Setiap petang saya sering menghabiskan masa bermain bolasepak. Dalam saiz padang yang cuma lebih kurang separuh padang biasa, saya bermain dengan rakan-rakan dan saya selalu bertindak sebagai seorang penyerang.

Saya bukanlah pandai sangat main bola, cuma saya selalu dapat jaringkan gol sebab saya jenis sukakan corak permainan Shearer dan Nistelrooy dan terkini Fadly Baharom. Saya akan cuba hidu peluang sebaik mungkin.

Oleh kerana saya selalu jaringkan gol, seorang rakan yang main bahagian defend bertekad nak halang saya daripada menjaringkan gol dan dia maklumkan kepada saya sebelum perlawanan. 

Akhirnya hari tu, pasukan saya menang 1-0 hasil jaringan saya. Dia memuji saya lantas saya menafikan dan menyatakan bahawa yang lebih layak dipuji adalah beliau (pemain pertahanan tersebut).

Dia bertanya, “mengapa?”

Saya menjawab, “Cuba lihat tadi, saya membuat sepuluh gerakan cuma satu sahaja yang masuk gol. Tugas awak ialah mengekang serangan dan dari sepuluh kekangan awak berjaya kekang sembilan!”.

“Tapi bolasepak itu tidak dikira. Yang dikira adalah jaringan”, Balas beliau.

“Sebab itu ada yang kata Bolasepak itu kejam!” Tambah saya.

Kisah itu sebenarnya mengingatkan saya kepada kesilapan Penjaga gol Malaysia, Helmi Eliza Elias ketika perlawanan bertemu Vietnam tiga hari lepas.

Bolasepak adalah satu permainan yang cukup unik dan kadangkala dilihat amat kejam. Jika seorang penyerang melakukan banyak kesilapan, ia tidak begitu dikritik tetapi apabila seorang penjaga gawang melakukan cuma satu kesilapan, ia sudah cukup untuk menghadirkan hamburan kata-kata kesat dan cacian.

Saya berasa cukup simpati dengan Helmi Eliza dan berharap ia mampu memberikan satu pengajaran berguna kepada beliau agar lebih matang dan berwaspada selepas ini.

Tapi…

Saya juga tertarik dengan ulasan seorang forumers HKC yang cukup terkenal dalam HKC tentang isu Helmi Eliza Elias. 

Geylang Si Paku Geylang

Sewaktu England bertemu Brazil di dalam pertandingan bolasepak Piala Dunia 1970, Gordon Banks telah menyelamatkan pintu gol England dari dibolosi melalui satu gerakan akrobatik yang sungguh menakjubkan. Banks berada dalam situasi yang begitu sukar tetapi masih mampu untuk melayangkan badan serta menepis tandukan Pele yang begitu mengelirukan.

Pele hampir tidak percaya. Penyokong fanatik Brazil yang sudah pun bangun untuk meraikan ‘jaringan yang hampir pasti’ tersebut, jadi termangu. Dan seluruh dunia turut terpaku menyaksikan aksi hebat yang ditampilkan oleh penjaga gol lagenda itu.

Tetapi keajaiban yang dipertontonkan Banks tenggelam di sebalik populariti Pele yang turut membantu Brazil menjulang Piala Dunia dalam tahun yang sama. Banks dilupai, tidak sebagaimana Pele yang menggila dirai.

Di dalam bolasepak, penjaga gol adalah merupakan benteng terakhir yang bertanggung jawab bagi memastikan samada bola membolosi mencecah jaring yang dikawal atau pun tidak. Dan jika ada klasifikasi pemain yang amat mudah dituding untuk dijatuhkan hukuman terhadap sedikit kealpaan yang dilakukan, penjaga gol adalah orangnya.

Kesilapan pemain di posisi lain sering dimaafkan begitu sahaja tetapi bagi penjaga gol, tidak sama sekali. Kadang kala penjaga gawang boleh berubah menjadi manusia paling malang di atas padang. Itulah yang dinamakan ‘kasta’ yang sengaja dibikin di dalam sukan bolasepak!

Di pentas tempatan, buat waktu terdekat ini, Helmi Eliza penjaga gol yang berasal dari Kedah akan sentiasa disebut-sebut. Peminat-peminat akan terus memperkatakan tentang kesilapan yang dilakukan Helmi di dalam kejohanan Piala AFF Suzuki baru-baru ini.

Malahan ada yang melabelnya sebagai petualang yang menyebabkan Malaysia ‘dikorbankan’ oleh Vietnam dalam saingan peringkat kumpulan, sekaligus menyebabkan skuad kebangsaan terpaksa bersedia untuk berkemas awal bagi berangkat pulang.

Menoleh kembali kebelakang, sewaktu pertandingan Pestabola Merdeka beberapa bulan terdahulu, Helmi telah disanjung serta dipuja kerana prestasi memuncaknya. Tetapi kini segala sanjungan menggunung yang pernah diterimanya sebelum ini telah pun bertukar dalam sekelip mata malahan tohmahan yang terbeban di bahunya kini lebih menjurus ke bentuk penghinaan, termasuklah yang datang dari jurulatih pasukan sendiri!

Bolasepak adalah sebuah permainan berpasukan. Itu benar. Maka adalah tidak adil jika kita menyalahkan atau menyanjung seseorang pemain tertentu tatkala pasukan kita tewas atau pun menang.

Hanya ‘budak genius’ Maradona dari Argentina sahaja yang telah berjaya menterbalikkan definasi bolasepak yang sudah termaktub sebagai sebuah permainan berpasukan. Maradona pernah melakukannya dengan penuh bergaya.

Menyingkap sejarah silam, seorang pemain licik seperti Maradona sudah cukup untuk memporak perandakan pasukan England, juga di dalam kempen Piala Dunia 1986 di mana dia telah mengelecek seramai 5 orang pemain pasukan lawan sebelum menyepak bola menerjah jaring. Dia jugalah yang telah menjadi dalang di dalam insiden ‘Hand of God’ yang tidak mungkin akan dilupakan oleh penjaga gol Peter Shilton sampai bila-bila.

Tidak dapat disangkal, kekuatan atau kelemahan sesebuah pasukan bolasepak yang dibentuk, sebenarnya bergantung juga kepada kemampuan seseorang jurulatih yang dilantik. Jurulatih yang berkaliber mestilah memiliki daya imaginasi yang tinggi untuk memacu pasukan yang dibimbingnya kemercu kejayaan.

Pemilihan pemain-pemain untuk menyarung jersi negara bagi menghadapi kejuaraan Piala AFF Suzuki, adalah sebagai contoh ketara yang menyerlahkan keterbatasan idea pengendali kita Sathianathan. Saya tidak nampak di manakah rasionalnya beliau mengekalkan pemain-pemain yang bolehlah diibaratkan sebagai ‘sebungkus ubat yang sudah tamat tempoh’ untuk terus beraksi di gelanggang. Ada juga segelintir pemain yang telah mempamirkan aksi kurang memberangsangkan ketika bermain di liga tempatan, tetapi terus dipanggil untuk menganggotai skuad kebangsaan.

Secara peribadi, saya merasa agak kecewa apabila seorang pemain berkebolehan seperti Ashaari Shamsuddin sebagai contoh, disisihkan pada saat-saat akhir. Pada hemat saya Ashaari merupakan seorang pemain yang mahir sewaktu perebutan bola di udara. Beliau yang sering menjaringkan gol menerusi tandukan berbisanya akan mampu muncul untuk menjadi seorang pemain bersifat ‘utiliti’ jika kebolehan yang ada pada dirinya benar-benar digilap serta diasuh dengan sempurna.

Tetapi Sathia menafsir sebaliknya. Ashaari disingkirkan. Prestasi yang dipersembahkan oleh pengganti Ashaari pula amat mengecewakan, tidak setaraf dengan bentuk pengalaman yang pernah ditimba di luar negara. Kita merasa tertipu.

Pasukan manakah yang akan menjulang Piala AFF kali ini?

Jika itulah persoalan yang ingin anda lontarkan, saya tidak mampu untuk memberikan jawaban yang tepat. Tetapi apa yang pasti bukanlah negara kita Malaysia, Kemboja atau pun Laos yang akan muncul sebagai juara. Pasukan-pasukan tersebut bolehlah dianggap sebagai ’melukut di tepi gantang’ malahan sudah pun tersingkir awal dari saingan.

Tetapi sebenarnya pasukan mana pun yang akan menjuarai kejohanan kali ini, pasukan itu bukanlah benar-benar handal. Percayalah, pasukan tersebut hanya cuma mampu ’berkokok’ berderai-derai di peringkat Asia Tenggara sahaja, tidak lebih dari itu.

Apatah lagi di rantau sebelah sini, saingan yang dihadapi tidaklah segetir mana. Mereka hanyalah bersaing sesama sendiri. Jika bermain di pentas yang lebih terbuka, mereka akan dibelasah.

Walau bagaimana pun, salah satu daripada pasukan yang dianggap ’favourites’, akan diangkat untuk ditabal selaku juara Piala AFF tahun ini. Mereka akan mendabik dada sambil mendakwa sebagai sebuah pasukan yang amat hebat.

Saya mungkin ketinggalan zaman, oleh itu izinkan saya untuk menyoal anda : apakah ada pasukan-pasukan yang dianggap kuat ketika ini di rantau ini seperti Thailand, Indonesia atau pun Singapura pernah mengalahkan ’kuasa besar’ bolasepak Asia yang datang dari negara Timur Tengah, Jepun atau pun Korea Selatan dalam satu pertandingan besar yang diiktiraf oleh FIFA?

Tidak! Tidak sama sekali. Itu adalah sesuatu yang agak mustahil untuk berlaku!

Sekali lagi ingin saya tekankan, sesiapa sahaja yang menjadi juara Piala AFF, mereka tidaklah segagah mana. Corak permainan yang dipersembahkan masih statik lagi hambar serta tidak pernah berkembang.

Cuma kitalah yang memilih untuk menjadi semakin lemah, sesuatu yang tidak pernah terfikirkan oleh kita semua termasuklah pemain lagenda seperti Soh Chin Aun sewaktu dia dan rakan-rakannya rakus ‘membuli’ Thailand, Indonesia atau pun Singapura suatu ketika dahulu.

Piala AFF Suzuki akan melabuhkan tirainya. Phuket bukanlah destinasi yang menjanjikan kejayaan manis buat pasukan bolasepak Malaysia.

Sebagaimana diduga, hari Rabu lalu Thailand telah melengkapkan kedukaan kita dengan menghadiahkan kekalahan yang sebenarnya ingin dielakkan walaupun kita para peminat sudah menjangkakan. Sekali lagi kita berputih mata!

Geylang sipaku Geylang
geylang sirama-rama
pulang marilah pulang
marilah pulang bersama-sama

Ketika ini saya ingin meramalkan, tiada sesiapa pun yang ingin menerkam untuk ’memeluk’ Sathianathan sebagaimana dahulu. Cukuplah sekali. Pelukan yang pernah diterimanya sejurus selepas Pestabola Merdeka tamat suatu ketika dahulu adalah yang pertama malahan mungkin juga yang terakhir buat dirinya. Dia dan anak-anak buahnya tentunya sudah pun melangkah longlai sambil berkemas untuk berangkat pulang.

Dan lagu di atas sekali lagi akan kedengaran bergema dari bilik penginapan, berlarutan sehinggalah menuju ke lapangan terbang. Kita mungkin sudah muak mendengarnya, tetapi mereka akan terus menyanyikannya.

Kejohanan apa pula yang akan pasukan bolasepak kebangsaan kita sertai selepas ini?

Tetapi realitinya : tidak kira di dalam apa juga kejohanan, samada di kandang sendiri mahu pun di laman orang, kita para peminat bolasepak tempatan akan terus ‘dihiburkan’ dengan dendangan lagu yang sama, sebaik sahaja wisel panjang bergema! 

source: http://fakurpunyasampah.blogspot.com/2008/12/geylang-sipaku-geylang.html (11/12/2008)