Archive for December, 2008

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan mangkat

credit to Malaysiakini.com

credit to Malaysiakini.com

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan mangkat

Dec 27, 08 1:12pm

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Jaafar Tuanku Abdul Rahman mangkat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) pada kira-kira pukul 11.45 pagi ini. Baginda berusia 86 tahun.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Norzam Mohd Nor yang membuat pengumuman itu di HTJ berkata Almarhum baginda berada dalam keadaan tidak sihat pagi ini selepas mengadu sakit kepala dan tidak selesa.   

“Baginda mengadu kurang sihat dan sakit kepala pada pukul 8.10 pagi dan pihak HTJ telah dihubungi dan dua Pakar Perunding Kanan HTJ, Datuk Dr Tarmizi Thayaparan dan Datuk Dr K. Sree Raman telah bergegas ke Istana Hinggap di Seremban untuk memberikan rawatan kepada Tuanku,’ kata beliau dalam sidang akhbar khas mengumumkan kemangkatan baginda di Bilik VIP HTJ hari ini, lapor Bernama. 

Turut hadir ialah anggota kerabat diraja Negeri Sembilan, Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh dan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Zainal Arifin Omar.

Norzam berkata ketika dua pakar itu tiba di Istana Hinggap pada jam 8.25 pagi, keadaan baginda terlalu lemah walaupun sedar dan selepas melihat keadaan itu, dua pakar berkenaan mengesyorkan supaya baginda di bawa ke HTJ untuk rawatan segera.  

“Berdasarkan itu, baginda telah dibawa ke HTJ dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan pelbagai usaha telah dilakukan oleh doktor pakar termasuklah memberi rawatan kecemasan.

“Saya ingin memaklumkan di sini bahawa Tuanku Ja’afar telah mangkat pada pukul 11.45 pagi di HTJ,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa jenazah Almarhum baginda akan dibawa pulang ke Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah petang ini untuk majlis penghormatan terakhir serta menunggu kepulangan anakanda baginda yang masih berada di luar negara.

Berkabung 40 hari

Katanya jenazah Almarhum baginda akan ditempatkan di Dewan Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah untuk penghormatan terakhir daripada kerabat Diraja, pemimpin dan orang ramai.  Istiadat pengebumian jenazah Almarhum baginda akan diadakan pada hari Isnin selepas solat asar.

Sehubungan itu, Norzam berkata tempoh berkabung berikutan kemangkatan baginda ialah selama 40 hari, bermula hari ini.

“Semua premis termasuk pejabat kerajaan dan bangunan hendaklah mengibarkan bendera negeri separuh tiang dalam tempoh tersebut. Dalam tempoh berkabung itu juga, semua kakitangan kerajaan dikehendaki memakai songkok berlilit putih manakala wanita memakai lilitan putih di lengan.

“Semua majlis rasmi kerajaan akan ditangguh dalam tempoh tujuh hari. Premis pusat hiburan dan aktiviti keraian juga hendaklah ditangguhkan selama tujuh hari bermula hari ini,’ katanya.

Katanya Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan yang kini bercuti di London telah dimaklumkan mengenai kemangkatan Tuanku Ja’afar pagi ini dan dijangka tiba di sini pada jam 10 pagi esok. 

sumber: http://www.malaysiakini.com/news/95497  (27/12/2008)

p/s: Baginda juga merupakan Canselor UKM. Bermakna saya kehilangan Boss Besar – Al-Fatihah…

Berbasikal

Hmmm… Kebelakangan ni, My Boss asyik dok ajak join geng Berbasikal dia. Memang berminat jugak tapi pelbagai macma halangan menanti. Ya lah, saya dah cukup padat dengan jadual nak menyelit lagi dengan hobi baru ni.

Bila Boss selalu sebut basikal ni teringat nostalgia waktu kecik dulu. Saya memang tak dapat dipisahkan dengan basikal. Bermula sejak darjah dua saya dah mula berbasikal ke sekolah dan merata ceruk Kota Setar. Dari rumah saya ke Istana, ke Kuala Kedah dan banyak lagi destinasi.

Lepas tu, rajin jugak dok teroka mana-mana short cut untuk ke mana-mana destinasi. Pi Pekan pun naik basikal dan ke mana-mana pun naik basikal. Dari dok up basikal, naik basikal tanpa pegang handle dan lain-lain lagi skill yang dok explore.

Waktu tu cuma Basikal Rally sahaja tapi cukup lama tahannya. Pagi-pagi pi sekolah dok race dengan member dan kadang kala dengan ayah member siapa yang sampai dulu ke sekolah. Hehehe…

Bila masuk tingkatan 4 saya mula naik Mountain Bike hadiah dari Tok Wan saya bernilai RM120. Ada gear dan memang saya beli di Pendang dan dari Pendang saya cuma berbasikal ja balik rumah. Balik kampung pun kadang kadang naik basikal ja.

Jarak ke Sekolah lebih kurang 10km. Setiap hari saya berbasikal lebih kurang 20km. Kalau ada program di sekolah akan jadi sampai 40km kayuhan sehari dan kadang kala sampai 60km kayuhan sehari. Boleh baca dalam diari lama saya bab kayuhan ke sekolah ni.

Selalunya kalau jarak 10km saya akan ambil masa lebih kurang 15 minit dengan kayuhan saya. Dulu masuk sekolah jam 7.30 pagi. Saya selalu akan bertolak selepas tengok berita sukan TV1 yang habis jam 7.15 pagi. Tapi bila sampai sekolah memang berpeluh sakanlah. Hehehe…

Apa pun, saya tetap berhasrat untuk kembali berbasikal suatu hari nanti. Harap ia tercapai, InsyaAllah…