Categories
Diari

Keluarga, Kerjaya, Sosial dan Lain-lain

Kalau diibaratkan sebuah rumah, jika lama tidak dibersihkan, sudah pasti akan dipenuhi debu dan sawang. Pasti juga orang tidak akan berkunjung. Begitu juga dengan blog saya ini. Agak lama tidak dikemaskini. Semakin suram jadinya. Sememangnya ada hasrat di hati untuk sentiasa mengemaskini dan banyak perkara yang saya nak kongsikan bersama namun keterbatasan waktu menjadikan ia sepi ditinggalkan.

Apa yang saya ingin nukilkan ada juga kaitan dengan mengapa blog ini jarnag dikemaskini…

Menempuh ranjau kehidupan bukanlah suatu yang mudah. Penuh dengan dugaan dan cabaran. Setiap insan akan berhadapan dengan dugaan tersendiri. Kalau dulu dalam kesibukan, saya masih sempat untuk mengemaskini blog ini setiap hari namun kini apabila saya menempuh alam kerjaya, saya ternyata gagal melakukannya.

Cabaran yang dirasakan ialah beban tugas kerjaya yang begitu menekan dan mendesak. Saya perlu selenggarakan sistem Fasa 1 dan dalam masa yang sama perlu membangunkan sistem Fasa 2 dan sistem perakaunan pesakit. Itu tidak termasuk tugas-tugas pentadbiran yang lain dan tugas-tugas khas. Bertugas di sebuah institusi perubatan memerlukan saya memahami juga serba sedikit selok belok displin perubatan. Dalam menyelami selok belok itu, saya juga terpaksa mengikut arus dunia perubatan. Sebagaimana rentak seorang doktor yang terpaksa berhempas pulas mengerah keringat demi nyawa seorang insan hinggakan jadual hidup seorang doktor itu hanya berkisar tentang kerja.

Kerja yang jika diabaikan mungkin akan mengakibatkan kehilangan nyawa. Hinggakan hidup seorang doktor itu kebanyakkannya adalah di hospital dan pesakitnya silih berganti. Rentak kehidupan doktor itu juga terpaksa saya ikuti. Saya tidak kisah andai begitu banyak tugasan tetapi jika jangka waktunya amat singkat, ternyata ia cukup membebankan. Kesibukan tugas benar-benar mencengkam hinggakan terbawa-bawa dalam tidur.

Apa pun prioriti saya adalah keluarga, namun saya kasihankan keluarga yang memang dahagakan masa saya bersama mereka. Saya mahu lebih luangkan masa bersama keluarga. Anak-anak yang perlukan belaian seorang bapa dan isteri yang memerlukan perhatian seorang suami. Dalam masa yang sama selepas waktu kerja, saya juga ada aktiviti sosial yang lain yang juga memerlukan saya membahagikan masa secukupnya. Contohnya saya juga banyak terbabit dengan kelab penyokong dan pada hujung minggu saya juga akan terlibat dengan pertandingan sama ada bolasepak, futsal atau pun badminton.

Kalau saya tidak bersukan, badan akan rasa tidak selesa dan mudah sakit. Sukarnya dirasakan untuk membahagikan waktu. Begitu juga dengan minat membaca saya yang banyak tidak kesampaian. Kalau saya membaca, saya memerlukan kosentrasi yang mendalam. Tetapi kalau di rumah, memang saya tak dapat melakukannya kerana saya perlu juga melayani keletah dua anak yang begitu aktif. Kadang kala saya terfikir bagaimana seorang yang berjaya dapat mengatasi semua itu.

Saya lihat pakar-pakar akademik kebanyakkan masanya di pejabat dan kemudian saban hujung minggu sibuk berseminar, bersidang, berkursus dan aktiviti akademik yang lain. Bagaimana mereka menguruskan keluarga mereka. Sedang saya terpaksa berkejar nak mengambil dan menghantar anak dari tadika pun dah cukup membataskan banyak benda. Kalau saya pinta isteri lakukan, kasihan pula melihat tubuh kecil isteri saya menguruskan semuanya dan dalam masa yang sama saya perlu melaksanakan komitmen saya terhadap tugas.

Contohnya hujung bulan ini, saya terpaksa berkursus selama lima hari di luar kawasan, saya tak dapat bayangkan bagaimana serabutnya isteri saya terpaksa menguruskan kedua-dua anak saya dengan menghantar mereka ke tadika dan rumah pengasuh. Di tambah pula dengan rungutan saya tentang isu sekolah sessi petang yang saya tulis baru-baru ini. Isteri saya juga ada komitmen terhadap tugasnya sebagai seorang guru.

Kalau nak suruh isteri saya jadi seorang surirumah sepenuh masa, memang saya tak termampu menanggung kos hidup di kota kosmopolitan ini. Ia memang cukup mencengkam. Itu masih belum masuk soal kejiranan lagi. Saya tetap cuba setakat yang mampu dalam soal kejiranan dan sebab itu hidup di kota ini, bab kejiranan cukup menyedihkan. Belum masuk soal keluarga lagi.

Apa pun, saya akur dan harus lebih berusaha dengan kesemuanya. Saya sentiasa mendidik hati saya berfikiran positif, Mungkin ada hikmahnya cabaran sebegini. Kalau kita fikir kita susah ada yang lebih susah sebenarnya. Saya perlu lebih bijak menongkah arus ini. Mungkin sahabat-sahabat sekalian ada nasihat untuk saya. Saya amat mengalu-alukannya. Saya perlu hadapi kesibukan ini, cuma yang saya takut kesibukan ini menyebabkan saya lupa tentang dunia di takah berikutnya… Nauzubillah…

p/s: Banyak lagi yang hendak saya coretkan, namun saya punya masa yang singkat…

Categories
Diari

Permulaan 2010 Yang Mencabar

2010 ini menghadirkan satu cabran yang amat besar buat saya. Permulaannya penuh dengan cabaran yang berliku yang harus saya tempuh dengan penuh kesabaran. Kalau diikutkan hati terasa cukup tertekan namun apa yang paling penting ialah menghadapi cabaran itu dengan penuh kebijaksanaan.

Dari segi aktiviti, memang cukup padat apatah lagi saya sudah menanam azam untuk kembali ke gelanggang badminton. Jadi selepas waktu kerja, saya terpaksa bergegas mengambil Syasya dan terus ke gelanggang latihan. Setelah dilanyak dengan latihan, barulah saya dan Syasya sampai ke rumah. Itu pun selepas solat Maghrib di surau tepi gelanggang latihan.

Bila malam, badan sudah jadi begitu letih dan tak bermaya. Tambahan pula kalau ada sessi futsal. Sudah pasti lebih letih. Namun yang cukup melegakan apabila kembali dapat bermain, terasa minda lebih segar dan lebih mudah menghadapi tekanan kerja dan lain-lain. Cuma cabarannya ialah masa untuk keluarga.

Satu aspek lagi ialah dari segi tekanan kerja. Dalam tahun ini sudah ditetapkan KPI untuk tugasan saya dan pasukan. Dengan soal penyelenggaraan Fasa 1, pembangunan Fasa 2, modul akaun pesakit dan beberapa tugasan lain, ia ternyata begitu padat dan tempoh yang ada dirasakan begitu singkat. Apa tidaknya dengan pelbagai halangan yang ada menjadikan ia lebih sukar. Apa nak buat, itu sudah menjadi tanggungjawab yang harus diselesaikan. Nak tak nak, kena cari jalan mencapainya. Kadang kala terasa cemburu melihat rakan sejawatan lain yang menerima gaji yang sama tetapi beban tugas mereka tidaklah begitu menekan. Yang penting berkat!

Soal wang memang menjadi cabaran paling besar pada permulaan 2010 ini. Saya mengharapkan ia hanya bersifat sementara. Yuran sekolah Syasya, baiki kereta, deposit api / air rumah baru, persediaan masuk rumah baru, insurans/cukai jalan kereta dan lain-lain bayaran yang perlu dijelaskan pada awal tahun ini amat mencengkam hinggakan ada suatu ketika Syasya nakkan biskut tetapi dalam poket saya cuma ada RM1 sahaja.

Terpaksa ikhtiar dengan isteri bagaimana nak jimatkan perbelanjaan dan mencari sumber lain. Yang menjadikan keadaan bertambah buruk ialah saya terpaksa membayar ansuran untuk rumah sewa sebanyak RM650 dan juga ansuran rumah yang bakal saya duduki sebanyak lebih kurang RM1250. Masalahnya rumah masih belum siap tetapi sudah dipotong bayaran ansurannya! Itu belum termasuk ansuran kereta dan keperluan lain lagi. Tambah parah, jumlah yang berhutang dengan saya dan isteri agak tinggi pula. Bagi yang memang dalam kesusahan, memang saya tak kisah sangat tetapi bagi yang berhutang tetapi dalam masa yang sama mampu pula pergi bercuti dan membayar sewa hotel! Aik! Bila minta, jawapannya tiada duit lagi. Ada juga yang berhutang tetapi bila diminta, senyap begitu sahaja dan setelah dua tiga kali minta, tetap senyap malah boleh lagi mempamerkan gaya hidup yang mewah dalam laman sosialnya! Geram juga dibuatnya tetapi tak lah membuatkan saya putus sahabat dengan beberapa kerat insan yang saya maksudkan. Mungkin suatu masa mereka akan sedar. Kalau depa tak mahu bayar pun, biarlah. Saya halalkanlah dan anggap bukan hak dan rezeki saya.

Hmmm… Saya tak mahu anggap wang sebagai masalah. Saya tetap percaya, ada jalan dan sumber di hadapan cuma permulaan 2010 ini memang cukup mencabar. Saya perlu lebih berfikir tentang bagaimana hendak merancang kewangan dengan lebih baik lagi. InsyaAllah, kalau kita berusaha, Allah akan beri ganjaran yang setimpal.

Apa pun, kehadiran 2010 ini dimulakan dengan pelbagai rencah cabaran yang memerlukan saya bertindak dengan penuh bijaksana dan hikmah. InsyaAllah kelak lama kelamaan cabaran ini akan bertukar dengan kemanisan.

Categories
Diari

Peristiwa di Subuh Hari

Subuh tadi ketika isteri saya sedang Solat Subuh dan saya sedang melayan Syafi yang nak bangun pagi tiba-tiba terdengar suara orang meminta tolong. Saya ingatkan kanak-kanak di bawah rumah yang selalu main dan jerit tolong waktu petang hari rupa-rupanya ia memang sesuatu yang benar-benar berlaku apabila isteri saya mengatakan ada sepasang kekasih (rasanya) sedang bergaduh.

Si lelaki membelasah si perempuan dan menjerit-jerit marah tetapi selepas itu dia mungkin perasan yang ramai orang di atas apartmen sedang melihat kejadian tersebut lalu keadaan menjadi sedikit tenang.

Kemudiannya, lelaki tersebut terus mengekori perempuan tadi hingga ke hadapan JPJ Sri Permaisuri dan di situ keadaan agak gelap dan kelihatan si lelaki tadi menendang perempuan tadi beberapa kali sambil memarahi perempuan tersebut. Perempuan tersebut cuba lari namun lelaki tersebut berjaya menangkap perempuan terbabit.

Lalu betul-betul di kaki lima JPJ Sri Permaisuri, si lelaki terus galak membelasah si perempuan tadi dan kelihatan seperti mencekik perempuan tersebut. Akhirnya, perempuan tersebut kelihatan rebah. Saya dan isteri yang menyaksikannya tidak pasti apa yang berlaku dan kelihatan lelaki tersebut panik dan menjerit, “Tolonglah aku!”

Kemudian datang seorang lelaki seperti seorang Cina dan pekerja-pekerja kedai mamak dan kedai cuci kereta berhampiran membantu membawa si perempuan tersebut ke Klinik Mediviron yang terletak selang beberapa buah kedai. Hmmm… Lepas tu, saya dah tak tahu apa yang berlaku. Cuma saya dah maklumkan kepada seorang rakan yang juga wartawan sebuah akhbar. Mungkin depa akan buat laporan kalau ada nilai berita bagi mereka.

Memang tidak patut seorang lelaki yang kuat membelasah seorang perempuan yang lemah. Banyak pengajarannya di sini.

Macam mana mak bapa budak perempuan tersebut membiarkan anak gadusnya keluar sehingga lewat pagi?

Risau pula apabila saya berbual dengan seorang pengawal keselamatan selepas kejadian yang menceritakan tentang betapa seriusnya gejala sosial yang melibatkan gadis Melayu di apartmen saya dan kondo sebelah. Risau apabila mengenangkan saya dah ada dua anak perempuan dan kalau persekitaran terus tidak memberangsangkan, sudah tentu cabarannya amat hebat.

Sebab itu kini, cukup ramai Polis bertugas di sini, namun perkara-perkara jenayah masih berlaku dan terus menakutkan. Hmmm… Bila lah keadaan nak berubah?

Categories
Diari

Harga Barang Naik

Hmmm… Berita yang tidak gembira di Tahun baru ini.

Tadi ketika saya membeli gula dan roti, penjual tu habaq, “Bang, tengah malam sat lagi bukan harga gula ja naik, harga roti pun naik!”

“Berapa naik?” Tanya saya
“Tak pastilah berapa tetapi memang naik”
“ok,” kata saya sambil melihat harga roti tu.

Lepas ni kena banyak berjimat. Yang bagusnya ni lah masa terbaik untuk kurangkan penggunaan gula. Saya pun dah dapat info yang harga gula akan dinaikkan dan saya pun dah beli untuk simpanan terlebih awal sebelum ni.

Kenaikan ini juga akan menjadi satu alasan peniaga makanan untuk menaikkan harga makanan dan minuman. Cuma anehnya ada minuman yang kurang gula tetapi harganya lebih mahal. Secara logiknya patut lebih murah sebab ramuannya berkurang. Hmmm…

Apa pun kenalah pandai menyesuaikan diri dan mencari jalan terbaik menjimatkan kos…

SELAMAT TAHUN BARU 2010

Categories
Diari

Selamat Hari Lahir

Lagi entri Hari Lahir.

Selang sehari ja dengan isteri saya, hari ni hari lahir adik bongsu saya pulak. Selamat Hari Lahir buat Adik Din. Moga dapat buat yang terbaik dalam pengajian. Kena rajin belajaq. Jangan dok malas-malas. Dah besaq dah. Dah nak kahwin dah tak lama lagi…

Semoga panjang umur dan murah rezeki, InsyaAllah…

Categories
Diari

Selamat Hari Lahir Sayang

Categories
Diari

Selamat Hari Lahir

Saya rangkumkan sekali ucapan Selamat Hari Lahir buat adik-adik saya yang lahir pada bulan November iaitu Mohd Shaukhi 12 Nov, Mohd Fazli 24 Nov dan Mohd Faizol 25 Nov.

Semoga panjang umur dan murah rezeki… InsyaAllah…

p/s: Kira bila Kak Huda belanja Radix Fried Chicken tu, kira dah buat sambutan lah… Hehehe…

Categories
Diari

Selamat Hari Raya Aidil Qurban 1430H

Categories
Diari

Saya Tak Suka Sekolah Sessi Petang!

Sewaktu saya kecil dulu, cuma sekali saya bersekolah pada sessi petang iaitu ketika darjah dua. Memang saya benci dengan sistem sebegini. Banyak perkara yang terhad. Saya lebih suka waktu pagi untuk belajar kerana ketika itu masih lagi segar untuk belajar. Apabila tiba waktu tengahari kesegaran itu semakin pudar.

Alhamdulillah saya cuma laluinya untuk setahun persekolahan.

Kini apabila sudah dewasa, saya terjebak lagi dengan sekolah sessi petang. Bukan saya yang belajar atau terpaksa mengajar tetapi isteri saya. Impaknya banyak perkara yang cukup sukar untuk saya sesuaikan. Terus terang, saya kehilangan sesuatu yang cukup saya minat dalam hidup iaitu masa bermain (bersenam) pada waktu petang. Saya memang cukup obses dengan sukan. tetapi sejak isteri saya terpaksa mengajar petang, saya terpaksa ‘berkorban’. Saya cuba mencari alternatif lain iaitu bermain pada waktu malam.

Amat sukar jadinya… Amat amat sukar. Nak cari rakan yang main badminton pada waktu malam secara regular amat sukar. Kesemuanya main pada waktu petang. Dan apabila saya bermain pada waktu malam, terasa begitu penat untuk menghadapi tekanan kerja pada keesokan paginya. Jadi selama dua tahun ini saya terpaksa ‘bercuti’ dari latihan badminton. Bila berhenti bermain memang jadi tertekan. Saya kehilangan aktiviti yang saya minati selama ini.

Bersukan bagi saya bukan sekadar untuk kesihatan tetapi untuk melepaskan tekanan kerja dan lain-lain di samping mengeratkan ukhwah dengan rakan-rakan dan lawan. Saya juga aktif menyertai pelbagai pertandingan sebelum ini, namun kini, saya hanya mampu melihat rakan-rakan sepasukan berjuang dalam setiap pertandingan.

Bila dah balik lewat petang, isteri saya juga jadi amat letih apatah lagi fizikalnya agak kecil. Sukar nak cari masa berkualiti dalam keadaan sebegini. Kalau sekolah sessi pagi, isteri dapat berehat seketika dan kemudian bila saya balik kerja, dapatlah isteri saya siapkan secawan teh atau sejemput kuih. Redalah sedikit kepenatan sehari bertugas. Mengapa masih lagi wujud persekolahan sessi petang? (soalan orang tension!)

Memang pada  kalau bertugas pada sessi pagi kadangkala kena hadir juga pada sessi petang untuk aktivit kokurikulum atau ada mesyuarat tertentu tetapi bukan selalu. Apa yang berlaku di sekolah isteri saya, dah lah sessi petang, hari Sabtu pun kena kacau. Sudah enam minggu berturut-turut hari Sabtu, para guru wajib hadir ke sekolah. Bertambah terhadlah masa bersama isteri dan juga masa untuk saya beriadah pada hari Sabtu jika ada pertandingan. Akhirnya banyak aktiviti yang perlu dilakukan pada hari Ahad. Akhirnya bila tiba hari Isnin, ia jadi amat penat.

Jadi saya terus minta isteri saya apply mengajar sessi pagi. Namun tadi hasilnya gagal! Memang cukup mengecewakan… Perancangan untuk mengurangkan belanja pun jadi semakin rumit. Contohnya kalau isteri saya mengajar pagi, maka cukup sekadar bayaran tadika Syasya. Tengahari dah boleh ambil dan jimat belanja  daycare apatah lagi kiraan belanja untuk Syafi pun kena diambilkira. Memang memeningkan kepala.

Ketika ini, selepas waktu pejabat saya terpaksa ambil Syasya dari daycare. Itu masih lagi ok kerana memang tanggungjawab saya tetapi masa untuk saya bersukan terhenti kerana isteri saya masih lagi belum balik dari sekolah yang selalunya sekitar jam tujuh petang baru sampai rumah. Masa latihan saya dah hampir tamat ketika itu.

Pernah saya cuba hanya hadir latihan dengan pasukan saya cuma sejam sahaja tetapi agak sukar kerana perlu juga berhenti awal kerana waktu Maghrib yang singkat. Segalanya tidak memihak kepada saya. Akhirnya saya terpaksa memohon kepada pengurus pasukan dan jurulatih untuk ‘bercuti’. Janji saya tahun depan, saya akan kembali tetapi nampaknya semakin sukar.

Entahlah… Saya kena bincang lagi dengan isteri. Mungkin pinta beliau buat rayuan untuk mengajar pagi atau terpaksa terus ‘berkorban’. Hmmm… Apa lagi pilihan yang ada?

p/s: Maaf kerana selepas lama tidak update entri tiba-tiba hadir entri ‘melepas geram’ ini…

Categories
Diari

Kesian Syasya

Hmmm… Dah lama saya tak update…

Kali ini saya ingin berkongsi tentang kisah Syasya… Selepas menghantar emak, ayah, adik saya Shaukhi beserta isterinya Azira dan anaknya Irdina Qasrina ke LCCT petang tadi, saya terus bergegas pulang kerana Syasya tidur dalam kereta. Nak parking pun agak jauh sambil nak kena dukung Syasya pulak. Lagi pun dah nak check in.

Kemudian sampai di Petronas tidak jauh dari situ, saya memberhentikan kereta dan saya toleh belakang, saya lihat Syasya menghisap jari sambil menangis. Lalu saya bertanya, “Awat Syasya?”

“Syasya sedih”
“Sedih kenapa?”

“Syasya tak dak kawan. Tok Wan tak dak”

Sedihlah pulak saya tengok gelagat Syasya yang semakin kuat tangisannya. Lalu saya pun telefonlah adik saya Shaukhi dan minta ayah bercakap dengan Syasya, tiba-tiba Syasya jadi pemalu pulak!

Ceritanya begini, dua hari lepas mak, ayah adik saya dan isterinya beserta anaknya datang ke rumah saya. Jadi dalam tempoh dua hari tersebut, rumah saya yang biasnaya agak sunyi menjadi riuh rendah dengan gelak tawa dan keletah Syasya, Dina dan Syafi.

Syasya pula memang suka bermain dan dalam tempoh yang sama sempat jugak ke Zoo negara dan beriadah di Tasik Permaisuri. Tempoh dua hari yang cukup menggembirakan Syasya. Apa tidaknya ramai orang yang melayan dia.

Kini, depa semua dah balik, jadi rumah dah kembali sunyi. Syasya nak main dengan adik Syafi pun, adik Syafi masih kecil. Jadi Syasya jadi bosan. Hmmm… La ni waktu saya tengah mengembara dalam dunia web, saya lihat Syasya tidur di atas cungit cungit adiknya sambil menonton kartun keseorangan. Nampak sangat Syasya bosan…

Kesianlah pulak tengok.

Tak pa, nanti raya Haji kalau ada rezeki, kita balik rumah Tok Wan, InsyaAllah…