Categories
Kata Hikmah Rencana

Jadikanlah Allah Keutamaan Dalam Hati

Benarlah seperti yang dikatakan, seorang nampak tenang bukan kerana tidak mempunyai masalah yang berat tetapi kerana dia pandai menyembunyikan kesusahannya. Dipendam kepahitan dengan senyuman. Dipadam kerunsingan dengan gurauan.

Minggu lepas, minggu yang penuh peristiwa. Aku bertemu pelbagai ragam manusia. Daripada sahabat rapat, saudara terdekat dan kenalan dikalangan pembaca tulisan-tulisan ku. Mereka meluahkan masalah, kesusahan dan derita yang mereka sedang hadapi, tanpa mereka sedari bahawa aku juga sedang dan pernah melalui kesukaran yang sama.

Ada di antara mereka, yang sejak dulu ku kagumi ketenangannya. Namun, bila didekati mereka juga rupa-rupanya sedang menghadapi ujian yang tidak kurang getirnya. Ujian sakit, karenah isteri, sikap negatif anak-anak, dipulau rakan sekerja, tanggapan negatif ssnsk-saudara serta macam-macam ujian lagi.

Aku tersenyum pahit. Pelangi selalu kelihatan di atas kepala orang lain. Maksudnya, kesenangan dan keindahan kita rasakan hanya dimiliki oleh orang lain. Tanpa kita sedari mereka juga hakikatnya punya ‘perang’ tersendiri. Seperti kita, mereka juga sebenarnya sedang berhempas pulas mendepaninya.

Akhirnya, aku mendapat satu kesimpulan bahawa: Bukan soal masalah itu ada atau tidak, masalah itu berat atau ringan, tetapi sejauh mana iman di dalam diri untuk menanggungnya. Semua orang ada masalah, dan itu bukan masalahnya, tetapi yang penting ialah bagaimana pergantungan hati seseorang kepada Allah.

Ya, Allah lebih besar daripada masalah kita. Jika Allah besar di hati, segala masalah menjadi kecil dan mudah dihadapi. Tetapi jika Allah kecil di hati, masalah yang kecil pun menjadi besar untuk ditangani.

Justeru, jika kau melihat insan lain tersenyum, jangan kau cemburui senyumannya, tetapi cemburuilah iman yang ada di hatinya. Sehingga dengan itu mereka masih mampu tersenyum walaupun ada perang di dalam hatinya.

Ya, mungkin sahaja perang yang mereka hadapi lebih besar daripada perang yang kau hadapinya… tetapi iman mereka lebih besar daripada iman mu ketika menanggung dan menghadapinya!

Ustaz Pahrol Mohamad Juoi

Categories
Kata Hikmah

Kata Hikmah: CINTA

Cinta itu adalah perasaan yang mesti ada pada tiap-tiap diri manusia, ia laksana setitis embun yang turun dari langit,bersih dan suci. Cuma tanahnyalah yang berlain-lainan menerimanya. Jika ia jatuh ke tanah yang tandus,tumbuhlah oleh kerana embun itu kedurjanaan, kedustaan, penipu, langkah serong dan lain-lain perkara yang tercela. Tetapi jika ia jatuh kepada tanah yang subur,di sana akan tumbuh kesuciaan hati, keikhlasan, setia budi pekerti yang tinggi dan lain-lain perangai yang terpuji. -HAMKA-

Jika tiada cinta, peradaban dunia akan membeku. Cinta adalah penaka lautan. luas dan dalam, seluas dan sedalam daya jelajah hati nurani manusia itu sendiri. Cintalah yang semestinya menjadi asas utama bagi hubungan antara manusia, kebudayaan, bangsa dan sistem. -Jalaludin Rumi-

Cinta bukan melemahkan hati, bukan membawa putus asa, bukan menimbulkan tangis sali sedan. Tetapi cinta menghidupkan penghargaan, menguatkan hati dalam perjuangan menempuh onak dan duri kehidupan. -HAMKA-

Cinta tidak pernah meminta, ia sentiasa memberi, cinta membawa penderitaan, tetapi tidak pernah berdendam, tak pernah membalas dendam. Di mana ada cinta di situ ada kehidupan; manakala kebencian membawa kepada kemusnahan. -Mahatma Ghandi-

Sedikit kata-kata Hikmah yang saya cukup tertarik maksudnya…