Categories
Puisi Pilihan

Puisi Pilihan: Kalah Atas Sejadah

KALAH DI ATAS SEJADAH

Di atas sejadah
Sedang mengadap Allah
Dan
Fikiranmu menerawang tanpa arah.

Gila!
Engkau bagai tidak tahu engkau sedang berdepan dengan siapa
Dia Tuhan!
Bukan raja!
Bukan sultan!
Dari Dia engkau diciptakan
Kepada Dia engkau akan dikembalikan.

Dia al-Qahar!
Dia berhak buat hidupmu menderita
Dia boleh buat matimu begitu azab lagi terseksa
Dia berkuasa mencampakkanmu ke neraka dengan darjah penyeksaan yang sentiasa bertambah berlipat ganda!

Sayang sekali!
Kadang engkau lupa dia ar-Rahman
Engkau tidak pandai mengambil kesempatan
Tidak pandai meminta belas kasihan
Tidak pandai merayu sedangkan Dia tertunggu-tunggu permintaanmu
Engkau menuntut kebahagiaan dari makhluk sedangkan Dialah yang berkuasa menghantarkan kebahagiaan dalam pelbagai bentuk!

Justeru
Begitulah
Jangan kau hairan andai hidupmu resah gelisah
Jangan kau persoalkan mengapa hidupmu terbelenggu masalah juga musibah lalu tak henti-hentinya engkau berkeluh kesah.
Engkau tahu kenapa?
Kerana engkau telah kalah di atas sejadah!

-Bonda Nor

*Nota: dipetik dari sebaran whatsapp

Categories
Puisi Pilihan

Puisi Pilihan: Duri Dan Api

Entah mengapa tiba-tiba sahaja saya teringat Sajak Usman Awang ini. Mungkin sebab ada banyak perkara yang berlaku beberapa hari ini… Menarik bila saya renung kembali dengan menukarkannya dalam konteks diri saya…

Duri Dan Api

 

Kawan-kawanku yang dikasihi
semalam kita bertemu kembali memadu
ketika matari tersangkut di bumbung Utusan
kita tidak menerima apa yang ada
yang dinyanyikan dari hati berani
dengan tangan erat pada keyakinan terpahat.

Lagu kita telah mulai terpancar
ah, anak-anak manisnya menjenguk keluar
di luar udara basah dalam matari bersinar
semua antara kita lagunya seluruh sedar.

Apakah ini derita diri dalam mimpi
atau kenyataan pahit menjepit
pada lena yang membunuh kehidupan manusia
sama-sama kita rangkul menguji diri.

Kawan-kawanku yang dikasihi
di belakang duri di depan api
kita tidak bisa undur lagi
duri dan api, tajam panasnya kita hadapi.

Semalam dan hari ini kita diukir sejarah
di mana air mata tidak akan menitik tumpah
sebab kebulatan ikrar tak akan berubah
apa saja kita tidak akan menyerah.

Oleh: Usman Awang.

 

Categories
Puisi Pilihan

Puisi Pilihan: Maknawi sebuah Kehidupan

Memoir Sebuah Maknawi
(Buat Seorang Kawan)

Lima Belas Oktober yang hening,
Ku dengar kau dinobatkan di puncak cita,
Sedang aku masih bagai air,
Mengalir ke muara buih jadinya,
Kugenggam sebaris catatan,
Semerah Padi dan penghuninya,
Pengertian rakan dan taulan,
Namun dedaun hari berguguran,
Bersama gugurnya nostalgia budi,
Kini Semerah Padi tiada lagi,
Namun aku terus menetap di sini,
Di persimpangan tak menentu,
Dan memoir bersama doa,
Mengiringimu,
Bertakhta di singgahsana berdaulat.

Di senja yang sama,
Aku terus berkelana,
Di perantauan menyusur takdir,
Maknawi sebuah kehidupan,

Benarlah katamu:
Amat pahit mengenang segalanya,
seindahnya jangan diingat. Dikenang pun jangan,
Kerana siapalah aku,
Sekadar setitis embun. Pastinya,
Kering bersama sinar mentari.

ISMAS SARING
BALI-LOMBOK
OKTOBER 1995

Inilah adalah koleksi puisi yang cukup membekas di hati saya. InsyaAllah, saya akan publish lagi puisi-puisi yang saya minati…

Categories
Diari Puisi Pilihan

Puisi Pilihan: Di Sebalik Bukit Itu

Tika senja menjelma,
Bukit itu sentiasa menarik perhatianku,
Aku menatap tajam,
Mungkinkah ada rahsia di sebalik Bukit itu?

Setiap kali senja,
Aku mengadap bukit itu,
Seolah sedang memikir jawapan sebuah teka teki,
Hingga aku cuba menafsir segala kemungkinan.

Mungkin ketika itu aku tidak faham apa di sebalik bukit itu,
Waktu menginjak pergi,
Sesekali aku teringatkan bukit itu walau ketika itu aku berada jauh dari bukit itu,
Aku masih cuba mencari jawapan terhadap persoalanku,

Suatu ketika,
Aku merasakan aku sudah hampir menemui jawapannya,
Hatiku membuak gembira,
jiwaku mekar mewangi,
Memikir jawapan sudah hampir terbongkar.

Namun ia semakin sukar untuk aku memahami,
Punah jiwaku apabila jawapan yang kusangka rupanya cuma halangan pedih,
Kuterus mencari,

Suatu ketika aku berasa tiada apa di sebalik bukit itu,
Aku berkelana,
Melupakan bukit itu,
Melupakan jawapan yang aku cari,
Melupakan istimewanya bukit itu.

Tanpa disangka,
Setelah lama aku melupakannya,
Jawapan yang dicari menjelma di depan mata,
Betapa syahdunya saat itu,
Terkenang persoalan yang sentiasa bermain.

Kini, di sebalik bukit itu,
Tersedia sebuah mahligai indah,
Terjelma detik indah ,
Tercipta hamparan kebahagiaan,
Tersembul harapan indah.

Kini aku mula mengerti,
Di sebalik bukit itu,
Terselit bermacam pengajaran yang harus aku titip dalam hidupku,
Kesabaran, Pengharapan, Keabadian, Keredhaan, Ketekunan adalah antara ‘chapter‘ yang harus dibaca dan diamalkan serta dihayati.

Aku terus meniti kehidupan,
Peristiwa di sebalik Bukit itu akan kuabadikan dalam diari perjalanan hidupku,
Moga suatu masa nanti, aku akan tiba di destinasi yang aku impi bersama memori di Sebalik Bukit Itu!

 

SAIFUL AZRUL CHE LAH