Categories
Al-Fatihah Diari

Chot… Engkau Pergi Dahulu

Sebak untuk saya kenangkan…

Chot

Perginya seorang rakan pada 13 Februari 2013 cukup memberi kesan kepada hati ini. Seorang sahabat yang cukup disenangi ramai dan sentiasa menceriakan keadaan iaitu Mahadzir Haji Azmi yang saya lebih mesra dengan gelaran Chot.

Sejak awal perkenalan saya dengannya menerusi Kelab Penyokong Hijaukuning (HKC), Chot cukup mesra dengan saya apatah lagi saiz badan kami lebih kurang sama sehingga kami membentuk satu pasukan futsal American Football.

Chot12

Sebagai salah seorang penyokong tegar Kedah, Chot banyak membantu saya menggerakkan HKC. Dari segi sokongan, konvoi, pasukan drum, futsal, bolasepak padang dan sebagainya sudah cukup menceritakan betapa komitednya beliau.

Pemergian beliau agak mengejutkan kerana tiada apa-apa amaran penyakit yang dihadapi. Setelah demam lebih kurang seminggu, beliau lebih awal dijemput meninggalkan dunia yang fana ini.

Apabila ada sebarang aktiviti HKC, saya biasanya akan bawa anak sulung saya Syasya Hana. Syasya memang selalu Chot dukung dan layan dengan cukup mesra. Apabila saya habaq kepada Syasya yang Uncle Chot dah meninggal, Syasya terus menangis hinggakan dia berkeras untuk mengikut saya menatap Arwah Chot buat kali terakhir di rumah mertuanya di Kampung Jiboi, Negeri Sembilan walaupun sehingga tengah malam. Syasya menangis dalam kereta dan bertanya saya mengapa Uncle Chot meninggal dunia awal? Sukar saya nak jawab dalam keadaan beremosi ketika itu apatah lagi dalam kepala sarat dengan kenangan manis pahit bersama arwah. Sukar nak digambarkan perasaan sebenar dalam diri ini ketika itu.

withchot
Salah satu kenangan bersama Chot

Chot… Damailah engkau di sana. Doaku akan sentiasa mengiringimu. Yang pasti semua tetap akan ke sana cuma masanya berbeza. Allah lebih menyayangimu. Engkau pergi dengan memori indah dan amal baik dengan semua sahabat. Pemergian yang cukup mengejutkan semua, namun semuanya adalah ketentuan Allah. Redha dengan segalanya…

Al-Fatihah…

Categories
Al-Fatihah Berita

Al-Fatihah…. Dr. Lo’lo’ Ghazali meninggal

Al-Fatihah…

Dr. Lo’lo’ Ghazali meninggal dunia sebentar tadi di Hospital Selayang jam 10.13 malam tadi. Al-Fatihah…

Mudah-mudahan roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan insan yang beriman dan beramal soleh, InsyaAllah…

Lanjut

MP Titiwangsa Dr. Lo’lo’ Meninggal Dunia.

Titiwangsa MP Dr. Lo’lo’ Dies.

Categories
Al-Fatihah

Al-Fatihah: Ustaz Asri Rabbani

pergitakkembaliasrirabbani“Apabila telah datang ajal mereka, tidak akan dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak (pula) mendahulukannya. ” (Q.S. Yunus:49)

Apabila habis mesyuarat jam 12.45 tengahari semalam, saya terbaca dalam utusan Online yang memaklumkan bahawa Ustaz Asri Rabbani telah kembali ke Rahmatullah. Tergamam saya membacanya dan kemudian saya cuba cari dari sumber berita yang lain, memang Sah!

Begitulah lumrah kehidupan. Apabila ada pertemuan, pasti akan ada perpisahan. Apabila ada yang muda pasti ada yang tua. Begitu juga kehidupan suatu detik nanti, pasti kita akan pergi menghadap Allah. Hakikat yang perlu sentiasa kita ingati.

Saya sememangnya cukup meminati Ustaz Asri Rabbani sejak zaman Nadamurni lagi. Paling saya suka ialah Nasyid Zikir Munajat yang begitu memberi kesan. Memang banyak nasyid beliau yang terkesan di jiwa. Medium hiburan dijadikan sebagai satu wahana untuk berdakwah dan Ustaz Asri berjaya menmberi suatu alternatif kepada penggemar hiburan.

Ketika musim perayaan Hari Raya, pasti akan berkumandang alunan takbir Ustaz Asri yang begitu menyentuh perasaan. Ustaz Asri memang cukup istimewa dengan suaranya yang cukup unik dan bacaan ayat Al-Quraan beliau memang cukup merdu didengar. Kalau tidak silap saya beliau mempunyai kelulusan dalam bidang tarannum dari sebuah Universiti di Madinah. Dan sememangnya dalam bidang Tarannum, beliau cukup pakar.

Akhirnya Ustaz Asri dipanggil awal menghadap Allah. Semoga jasamu terus mekar dan menyinari. Tenang dan damailah dikau di sana. Dari ruang hati yang paling dalam kukirimkan Al-Fatihah.

Al-Fatihah (Ustaz Asri Rabbani 03.08.1969-13.08.2009)

Categories
Al-Fatihah

Al-Fatihah – Pelakon Nasir Ali meninggal dunia kerana kencing manis

31/10/2008 4:07pm

Oleh ABD. AZIZ ITAR

KUALA LUMPUR 31 Okt. – Pelakon teater, drama dan filem yang terkenal dengan watak jahat, Nasir Ali meninggal dunia kerana penyakit kencing manis di kediamannya di Bandar Sri Permaisuri di sini pada pukul 3.45 pagi tadi.

Menurut isteri Allahyarham, Kadariyah Yup, 55, suaminya menghembuskan nafas terakhir selepas mengalami demam pada awal pagi tadi ekoran penyakit yang dideritainya itu sejak empat tahun lalu.

Allahyarham yang berusia 55 tahun dan berasal dari Taiping dan dibesarkan di Butterworth itu menghidap kencing manis yang serius.

Nasir juga pernah dinasihati oleh doktor agar memotong ibu jari kaki kirinya bagi mengelakkan ia merebak.

“Pada 13 Oktober lalu, arwah telah dibawa ke HUKM (Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia) di Cheras kerana penyakit yang dihidapinya itu. Doktor mencadangkan agar ibu jari kaki kirinya dipotong supaya penyakitnya tidak merebak.

“Tetapi Allahyarham enggan dan keesokan harinya dibenarkan keluar dari hospital tersebut. Sejak saat itu, beliau lebih banyak berehat dan berpantang di rumah,’’ katanya ketika ditemui di kediamannya di Apartmen Cemara di sini.

Jelas Kadariyah, awal pagi tadi, kesihatan Allahyarham yang mempunyai empat orang anak dan dua orang cucu itu semakin tenat apabila keadaan suhu badannya panas menyebabkan beliau menghubungi ambulans.

Kata isteri pelakon yang mempunyai ijazah seni lakonan dari National University of Dramatic Arts, Sydney, Australia pada tahun 1994 itu, beliau sempat membacakan surah Yassin sebelum Allahyarham meninggal dunia.

“Selepas saya habis membacakan surah Yassin di sisinya, suami saya kelihatan diam tanpa berkata apa-apa, tetapi saya melihat air matanya mengalir. Tidak lama selepas itu barulah beliau meninggal dunia,’’ ujarnya.

Allahyarham yang dilahirkan pada 17 Januari 1953 sewaktu hayatnya terkenal sebagai aktivis teater dan merupakan Presiden Grup Teater Arts Kreatif yang ditubuhkannya pada 1989 dengan aktif berlakon serta mengarahkan teater.

Antara teater lakonan dan arahan beliau berjudul Jebat, Orliana, The Three Sister, Mac Back, Konvensyen Gila, Pran, Bus Stop dan Orang-Orang Kecil, selain turut berlakon filem seperti Mekanik, Hingga Hujung Nyawa dan Senario The Movie.

Tambah Kadariyah lagi, sepanjang karier sebagai pelakon, antara kejayaan Allahyarham ialah beliau pernah diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik pada Anugerah Seri Angkasa menerusi drama Kurnia pada tahun 1995 dan Esah Swinger (1996).

Malah, Allahyarham juga pernah mengungguli anugerah Pengarah dan Pelakon Teater Terbaik pada 1987 menerusi teater berjudul Pran.

Nasir Ali atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Ali memulakan kerjayanya sebagai pelakon teater pada tahun 1974 dan Liku-Liku Hidup merupakan teater pertama lakonannya yang dipentaskan di Kompleks Budaya Negara (sekarang dikenali sebagai Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan) di Padang Merbok, Kuala Lumpur.

Drama terbaru lakonan Allahyarham berjudul Alahai Anak Omak dan Kepadamu Kekasih telah menjalani penggambarannya sebelum bulan Ramadan lalu dan ia akan ditayangkan di televisyen tidak lama lagi.

source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1031&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_14.htm (31/10/2008)

 

http://ayahandazul.blogspot.com/2008/10/kekanda-nasir-ali-sakit-kencing-manis.html
Credit to: http://ayahandazul.blogspot.com/2008/10/kekanda-nasir-ali-sakit-kencing-manis.html

Arwah adalah seapartment dengan saya. Saya di tingkat 12, Arwah di tingkat 2. Mula dulu saya ingatkan beliau adalah Z Lokman rupanya Nasir Ali. Saya taklah kenal rapat dengan Arwah, cuma tegur macam tu ja la. Pagi tadi saya bersiap awal untuk ke Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di DECTAR, UKM dan saya perasan macam ada something berlaku di apartmen saya. Oleh kerana saya pun tak berapa sihat saya just ignore.

Lepas Majlis kira-kira jam 12 tengahari saya terus kembali ke Apartmen dan nampak di surau ramai dengan orang dan ada van jenazah. Saya tak menjenguk pulak sebab dok pening kepala lagi. Last sekali bila balik ke ofis selepas Solat Jumaat, saya terbaca online news memaklumkan berita sedih tersebut.

Teringat last kenangan saya dengan Arwah ialah ketika beliau hampir terlanggar saya. Ketika itu saya tak perasan ada kereta, saya terus nak belok nasib baik saya sempat brek. Arwah pun macam kaget jugak waktu tu. Tu last sekali kira-kira dua bulan lepas kot.

Lepas tu dah lama tak bertembung dengan beliau dah hinggalah dapat news tadi.

Al-Fatihah…