Pemerdagangan Manusia

4 09 2010

Suatu ketika, saya di pasar malam dan lihat seorang lelaki yang kudung tangannya. Terdetik rasa simpati dan kasihan lalu saya beri Syasya RM1 untuk diserahkan kepada lelaki tersebut. Syasya pun apabila melihat keadaan itu, tak berkelip matanya mungkin kerana pertama kali Syasya menyaksikan situasi sedemikian hingga Syasya asyik melaungkan rasa kasihannya terhadap lelaki tersebut.

Apabila kembali ke rumah, saya terdetik semula rasa tentang lelaki tersebut. Saya merasakan ada kesilapan yang saya lakukan kerana memberikan wang kepada lelaki tersebut kerana pada perkiraan saya, wang tersebut tidak akan dikecapi oleh lelaki tersebut sebaliknya sindiket yang mengeksploitasi lelaki tersebut. Tapi tak apalah yang penting pengajaran buat Syasya ketika itu amat tinggi nilainya.

Kemudian minggu selepas itu, apabila saya ke pasar malam, saya mengubah taktik. Daripada memberi wang, saya mengubah memberinya air minuman. Barulah lelaki tersebut dapat menikmatinya berbanding wang yang akan masuk ke poket ssindiket. Sekurang-kurangnya sedikit kelegaan buat lelaki tersebut. Selepas saya berlalu, saya dapat menyaksikan betapa gembiranya lelaki itu dan meminum dengan penuh kepuasan. Mungkin di tempat ‘kurungan’ nya, segalanya dicatu.

Saya berlalu lagi dan melihat kelibat bayi yang comel putih melepak sedang disusukan oleh ibunya. Yang membuatkan saya rasa kehairanan ialah jauh sungguh perbezaan warna kulit bayi tersebut dengan ibunya. Entah-entah bayi ini diculik dan digunakan sebagai penarik simpati orang ramai menderma. Saya menyaksikan dalam bekas sedekah wanita itu ada beberapa keping wang syiling. Bila ada wang kertas didermakan terus disimpan di dalam beg. Nampak agak kembung beg tersebut. Mungkin sudah begitu banyak hasil. Saya menjangka ia juga akan masuk ke dalam poket sindiket.

Saya terfikir, apakah langsung tiada rasa simpati dalam hati sindiket tersebut menjadikan ia sebagai mata pendapatan mereka?

Sebenarnya, apabila ada yang datang minta sedekah, saya lebih mengesyakki ia adalah sindiket. Atas sebab itu saya jarang memberikan sedekah dengan cara itu. Pengalaman ayah saya sebagai seorang polis memang banyak mengajar saya. Apatah lagi ada yang berani datang dari rumah ke rumah meminta sedekah untuk itu dan ini.

Kalau sampai di rumah saya, ayah akan pelawa masuk dan kemudiannya ayah akan soal siasat. Memang kantoi! Akhirnya tembelang mereka pecah. Surat palsu sebenarnya yang mereka bawa dan bila disiasat lebih lanjut memang sah palsu. Ia jelas dari keterangan mereka yang berterabur apabila disoal ayah. Saya sendiri ada pada ketika itu menyaksikannya. Bukan sekali tetapi beberapa kali.

Dalam kes di pasar malam ini, seorang rakan saya mengaku terlihat kelibat sindiket berkenaan menurunkan kesemua mangsa ini dan memberi arahan tertentu. Kemudian, mereka berkeliaran di kawasan pasar malam itu untuk mendapatkan sedekah dan meraih simpati warga kita yang sememangnya murah hati.

Kadangkala saya terfikir, apakah kecacatan mereka itu dari kemalangan atau sejak lahir atau sengaja dilakukan oleh sindiket tersebut untuk tujuan keji itu. Hmmm… Mungkin ada… Sebab itu, saya cukup risau dengan keletah Syasya di pusat membeli belah. Cukup hiperaktif! Lari sana sini dan sembunyi sana sini. Sindiket ini cukup pantas, biasanya apabila mereka dapat mangsa, dengan segera mereka akan mengubah rupa bentuk mangsa terutamanya anak kecil seperti membotakkan kepala. Memang menjadi kerisauan yang amat sangat bagi saya. Sebab itu, saya lebih rela Syasya menangis di depan saya dan isteri daripada Syasya menangis dalam tawanan mereka.

Dari dulu sehingga sekarang, sindiket ini terus bermaharajalela. Mereka menjadikan kesusahan orang sebagai kesenangan hidup mereka. Kasihan sungguh kepada yang menjadi mangsa. hidup mereka diperah seboleh mungkin dan hasilnya menjadi nikmat kepada orang lain.

Bayangkan dalam sehari mereka boleh mengutip sehingga RM100! Sebab itu pemerdagangan manusia ini menjadi isu besar di negara kita. Itu baru satu cabang pemerdangan manusia. Ada banyak lagi yang menjurus kepada pelacuran dan jenayah lain.

Dalam kes minta sedekah, kalau saya didatangi oleh mereka, saya selalu mengelak hatta yang mendakwa untuk membina Masjid. Biasanya kalau yang nak bina Masjid, surau, anak-anak yatim saya lebih selesa meminta no akaun bank organisasi mereka dan menderma secara atas talian (online). Bagi saya ini lebih selamat dan meyakinkan.

Juga dengan cara wang pos… Kalau anda pengguna CIMB Clicks, ada kemudahan khusus untuk menderma. CIMB Cares. Di situ dah disenaraikan banyak organisasi untuk menderma. Jika anda ada organisasi yang hendak dicadangkan, mintalah pihak organisasi itu berhubung dengan CIMB. Lebih mudah, pantas, selamat dan menjimatkan!

Akhir sekali… bagi yang hendak menderma kepada sebuah Pusat Tahfiz, saya alu-alukan… Boleh merujuk kepada Institut Pendidikan Islam dan Tahfiz Al-Quran (ABADA). Yang ini saya terima surat rayuan derma daripada mereka dan saya rasa baik saya panjangkan di ruangan ini seperti mana yang rakan saya Sufri lakukan.

Apa pun yang paling utama dalam memberi sedekah adalah niat!


Lilypie - Personal pictureLilypie Fourth Birthday tickers Lilypie - Personal pictureLilypie First Birthday tickers

Celaka Israel! 2 syahid & 30 cedera

31 05 2010

Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa kini ada sebuah kapal yang sarat dengan makanan dan ubat-ubatan untuk membantu saudara kita di Gaza, Palestine. Dengan tanpa membawa apa-apa senjata cuma untuk misi kemanusiaan, ia dihalang dengan penuh biadap oleh tentera Israel Laknatullah!

Segala perancangan oleh pihak pengendali misi kemanusiaan untuk mengalih tumpuan dunia kepada misi mereka semakin berjaya dan dunia kini memerhatikan mereka namun, Israel terus bongkak dan biadap. Terkini saya petik dari laman palestinekini ialah:

Maklumat terkini; 2 syahid & 30 cedera atas kapal penumpang utama Mavi Marmara. Tentera Israel sudah mula menaiki kapal. ayuh kita doakan mereka antara 2 kemenangan; SYAHID atau MENANG DAN SAMPAI KE TEMPAT TUJUAN!

Lanjut boleh layari: http://www.palestinkini.info.


Lilypie - Personal pictureLilypie Fourth Birthday tickers Lilypie - Personal pictureLilypie First Birthday tickers

Palestine Dihurung Kesusahan

6 04 2010

Mungkin tidak ramai yang menyedari ketika ini, saudara kita di palestine sedang menghadapi liku-liku kesukaran yang amat mencengkam terutamanya di Semenanjung Gaza dan juga di sekitar Masjidil Al-Aqsa. Mungkin kita terlalu asyik dibuai dengan kenikmatan hingga seringkali terlupa saudara kita di sana yang sedang bertarung nyawa mempertahankan kedaulatan negara mereka dan juga kedaulatan Islam daripada diperonyok oleh zionis laknatullah.

Tambah menyedihkan apabila kebanyakan negera Islam, hanya membisu tanpa melakukan tindakan konkrit malah ada yang tidak segan silu bersekongkol menambah penderitaan mereka. Mesir umpamanya menyekat keperluan asas penduduk Gaza yang terkepung secara geografi oleh Israel apabila pelampau Yahudi sedikit demi sedikit merampas tanah-tanah milik penduduk Palestine.

Kini Masjid Al-Aqsa pula menjadi sasaran. Mereka mahu membina sebuah kuil suci kebanggaan Israel pada jarak kira-kira 200 meter dan ia juga merangkumi kawasan bawah tanah Masjid Al-Aqsa! Sanggupkah kita melihat pencabulan sebegitu dilakukan. Mengapa media-media kita tidak begitu memfokuskan kepada situasi terkini ini? Akhirnya ramai antara kita yang hanyut dibuai fantasi kehidupan. Jika ia diteruskan kemungkinan ia akan memberi kesan kepada Masjid ketiga paling suci dalam agama kita.

Pencerobohan yang berlaku ke atas Masjid Al-Aqsa memberikan gambaran jelas betapa, keadaan Masjid Al-Aqsa berada dalam keadaan kritikal. Sedikit demi sedikit, Israel akan melakukan apa yang terdaya untuk menghancurkan Islam.

Kesilapan rakyat Palestine ialah mereka tidak bersatu pada. Terpecah kepada Fatah dan Hamas. Fatah  dilihat lebih menurut kehendak Israel dan barat amnakala Hamas lebih konsisten dalam perjuangan mereka sungguhpun ditekan kiri dan kanan. Jika rakyat Palestine bersatu padu, Israel akan menghadapi kesukaran memecah benteng Palestine.

Kadangkala rakyat Palestine sendiri apabila berada jauh dari negara mereka, mereka pula bersikap endah tak endah dan melampau. Ini adalah berdasarkan pengalaman saya dengan beberapa pelajar Palestine beberapa tahun lalu ketika saya bekerja di sebuah kafe Internet. Dengan selamba dan rasa seronok mereka melayari laman web porno dan tidak serik ditegur pulak tu. Dari segi perlakuan pula, memang mereka nampak agak biadap. Mungkin juga tanggapan saya tidak mewakili kepada keseluruhan warga Palestine kerana saya hanya melihat beberapa pelajar Palestine sahaja tetapi ia melambangkan betapa mereka tidak menghhayati perjuangan saudara mereka di negara mereka.

Di peringkat yang lebih luas, sudah pasti perpecahan Umat Islam menjadikan Israel begitu bermaharajalela. Obama? Saya pernah menulis tentang Obama. Memang jelas, seperti apa yang saya agak, Obama akan mengikut telunjuk Yahudi walaupun terdapat sedikit perubahan dalam beberapa tindakan yang melibatkan dengan hubungan negara Islam tetapi secara dasarnya tetap sama.

Agak-agaknya kalau Masjidil Aqsa dirobohkan apa reaksi dan tindakan kita?


Lilypie - Personal pictureLilypie Fourth Birthday tickers Lilypie - Personal pictureLilypie First Birthday tickers

Daulat Tuanku… Dirgahayu Tuanku…

17 01 2010
Hari Keputeraan KDYMM Tuanku Sultan Kedah yang ke-82

Daulat Tuanku

Patik Merafak Sembah Setinggi-tinggi Tahniah Sempena  Hari Keputeraan

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Sultan Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mua’dzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah

Pada hari Ahad, 17 Januari 2010, bersamaan 01 Safar 1431 H

D.K., D.K.H., D.K.M., D.M.N., D.U.K., D.M.K., D.K. (Kelantan), D.K. (Pahang), D.K. (Selangor), D.K. (Perlis), D.K. (Negeri Sembilan), D.K. (Johor), D.K. (Terengganu), D.K. (Perak), D.K. (Brunei), D.P. (Sarawak), D.U.N.M., S.P.M.K., S.S.D.K., D.H.M.S., D.G.M.K., Grand Cordon of The Order of the Rising Sun of Japan, Bintang Maha Putra Adiprana (Indonesia), Order of the Rammata Thailand, Honourable Knight Grand Cross Order of the Bath of U.K., Asso. Knight Order of St. John.

SULTAN NEGERI KEDAH DARUL AMAN

Semoga Allah SWT lanjutkan usia Tuanku

Ikhlas dari Patik Rakyat Negeri Kedah Darulaman…


Lilypie - Personal pictureLilypie Fourth Birthday tickers Lilypie - Personal pictureLilypie First Birthday tickers

Photofunia

23 04 2009

Anda nak lakukan kesan grafik pada gambar anda tetapi, anda tidak tahu menggunakan perisian seperti Adobe Photoshop?

Lihat contoh gambar di bawah:-

atau pun ini…

atau ini

Sebenarnya, hasil di atas saya lakukan dalam masa kurang satu minit.

Bagaimana?

Dengan bantuan photofunia.com.

Anda cuma perlu layari website photofunia. Kemudian anda pilih mana-mana artwork yang anda suka dan kemudian, anda uploadkan gambar anda ke photofunia.com.

Photofunia akan menggunakan face detection technology. Jadi setiap gambar yang anda upload, sistem photofunia akan mengesan wajah anda dan digabungkan dengan artwork yang anda pilih.

Setelah selesai, ia akan memaparkan hasilnya dan akan disimpan selama dua jam dalam server Photofunia sebelum dibuang dari server. Apa lagi? Cepat-cepatlah save hasilnya dalam PC anda !

Mudahkan?

Selamat mencuba !


Lilypie - Personal pictureLilypie Fourth Birthday tickers Lilypie - Personal pictureLilypie First Birthday tickers

Gelanggang Yang Tidak Sama Rata

8 04 2009

Anda menyaksikan sebuah pertarungan antara seorang lelaki dengan seorang lelaki yang lain. Seorang lelaki ini bebas bergerak dan lawannya dengan kaki dan tangan terikat. Akhirnya lelaki yang bebas itu membelasah lelaki yang terikat itu dengan teruknya.

Anda menyaksikan pertarungan itu.

Apa pandangan anda?

Kemudian, lelaki yang tidak terikat itu mengatakan dirinya adalah juara.

Adakah anda mengiktiraf kejuaraannya?

Selepas lelaki yang mendakwa dirinya menang beredar,  adakah anda akan cuba membantu lelaki yang dibelasah tadi?

Kalau anda berjiwa murni, sudah pasti anda akan memberi pertolongan dan mendekati lelaki yang dibelasah tadi dan membantunya membuat laporan polis. Kemudian anda sanggup menjadi saksi atas kejadian tersebut dan dibicarakan di mahkamah. Dengan bantuan anda lelaki yang dibelasah tadi menang bicara di mahkamah.

Hmmm…

Pertarungan Yang Tidak Adil tadi = Liputan Media Konvensional Yang Berat Sebelah
Anda = Pengundi
Perbicaraan Mahkamah = Pilihanraya

Itu kesimpulan mudah saya bagi keputusan Pilihanraya malam tadi. Selepas keputusan Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu diumumkan, saya sudah menulis tentang Kuasa Medium Baru. Nampaknya ada pihak yang masih belum benar-benar menyelami kekuatan media baru hingga akhirnya terkeluarlah ungkapan berikut, “Itu boleh diambil (daripada) gambar lama” apabila media bertanya tentang klip video suatu insiden di PRK Bukit Gantang.

Fikir-fikirkan…


Lilypie - Personal pictureLilypie Fourth Birthday tickers Lilypie - Personal pictureLilypie First Birthday tickers

7 Alasan Mengapa Saintis Percaya Akan Adanya Tuhan Siri 2

11 03 2009

Keempat: manusia mempunyai lebih lagi dari naluri kehaiwanan – keupayaan untuk berlogika. Tiada haiwan yang berkebolehan untuk mengira dari 1 hingga 10 atau untuk memahami pengertian nombor-nombor itu. Di mana naluri ini adalah seumpama nota tunggal kepada seruling, indah tetapi terhad, otak manusia mempunyai kesemua nota-nota untuk semua peralatan dalam sebuah orkestra. Tidak perlu untuk menerangkan lebih lanjut tentang alasan yang keempat ini, terima kasih kepada manusia, logika ini menyebabkan manusia seperti manusia yang ada sekarang yang menerima secebis atau sedikit cetusan dari kebijaksanaan universal yang maha bijaksana.

Kelima: Kewujudan semua benda bernyawa adalah hasil dari fenomena yang diketahui pada masa ini dan tidak pada masa Darwin – keajaiban gen. Terlalu penting bagi gen yang bertanggungjawab terhadap semua manusia hidup di dalam dunia ini jika dikumpulkan di dalam suatu tempat,ruangan yang akan diambil oleh mereka tidak akan lebih dari ruangan yang diambil oleh satu jari manusia. Namun begitu, mikroskopik gen ini dan yang sebangsa dengannya kromosom, tinggal di dalam setiap sel hidup dan merupakan kunci kepada semua ciri-ciri manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Satu ruangan jari manusia adalah ruangan yang kecil untuk memenuhi kesemua ciri-ciri manusia seramai dua billion orang. Walau bagaimanapun, fakta ini tidak boleh dipersoalkan lagi. Lantas bagaimanakah gen ini mengunci ciri-ciri warisan manusia dari berbagai peringkat generasi manusia dan mengekalkan psikologi setiap individu di dalam suatu ruangan yang agak kecil?. Di sini evolusi benar-benar bermula dari satu sel yang entitinya mewarisi dan membawa gen-gen. Bagaimana beberapa juta atom, terkunci sebagai mkiroskopik lampau, boleh menguasai dunia dan ianya merupakan contoh ciri-ciri yang berasal dari Kebijaksanaan Maha Agung – hipotesis dari mana lagikah yang mampu membuat ciptaan yang sedemikian rupa?

Keenam: Melalui ciri-ciri ekonomikal, kita terpaksa mengakui bahawa hanya dengan kebijaksanaan yang tidak terbatas telah melihat dan menyediakan satu sistem pengurusan sumber yang maha bijaksana. Beberapa tahun lampau satu spesis kaktus telah ditanam di Australia sebagai pagar-pagar penghalang.

Oleh kerana tidak mempunyai serangga pemusuh di Australia, pokok-pokok kaktus ini kemudiannya membiak dengan kadar yang amat tinggi sehinggakan tumbuhan ini telah memenuhi kawasan sepanjang dan sebesar England, menghalau inhabitan ke Bandar-bandar dan perkampungan, dan memusnahkan ladang-ladang. Sebagai usaha perlindungan, pakar tumbuhan dan serangga telah menjumpai sejenis serangga yang hanya semata-mata memakan pokok kaktus ini.Ianya membiak secara bebas dan tidak mempunya musuh di Australia. Serangga ini kemudiannya menguasai tumbuhan ini dan bahaya kemaraan pohonan kaktus telah berjaya dikawal hanya dengan menggunakan serangga mampu untuk mengawal pohonan kaktus untuk selamanya. Ciri-ciri kawal dan periksa (check and balance) telah lama wujud pada alam maya ini.

Mengapakah tidak ada serangga yang pantas memakan menguasai dunia ini? Ini adalah kerana meraka tidak memempunyai paru-paru seperti yang ada pada manusia, mereka bernafas melalui tiub-tiub pernafasan. Bila serangga bertambah besar, tiub-tiub pernafasan mereka tidak membesar dengan nisbah pembesaran tumbuh mereka. Oleh kerana itu, tidak pernah ada serangga yang mempunyai tubuh yang besar dimana had-had pembesaran ini telah mengekang mereka semuanya di dalam kawalan. Jika ciri-ciri pengawalan ini tidak tersedia, manusia tidak akan wujud, bayangkan kita bertemu dengan serangga yang sebesar singa!

Ketujuh: Kenyataan manusia menerima konsep kepercayaan kepada tuhan itu sendiri adalah bukti yang paling unik. Konsep ketuhanan terhasil dari tahap-tahap manusia itu sendiri, tahap yang dipanggil sebagai pemikiran.

Dengan kekuatan daya ini, manusia dan hanya manusia mampu untuk mencari bukti perkara-perkara yang ghaib. Kekuatan ini telah mengungkap segala rahsia: sesungguhnya manusia adalah sesempurna penciptaannya maka pemikiran telah menjadi kenyataan kerohaniaan. Pemikiran mampu mengesan bukti-bukti penciptaan dan tujuan penciptaan yang hakiki dan tuhan adalah segala-galanya dan tuhan tidak pernah lebih dekat melainkan dengan jiwa manusia itu sendiri. Perkara ini adalah benar dari segi saintifiknya dan juga dari segi pemikiran yang mengungkap keagungan tuhan dan ciptaannya.

p/s: Artikel Ini saya terima melalui email… Tak tahu nak bagi kredit kepada siapa penulisnya…


Lilypie - Personal pictureLilypie Fourth Birthday tickers Lilypie - Personal pictureLilypie First Birthday tickers

7 Alasan Mengapa Saintis Percaya Akan Adanya Tuhan Siri 1

10 03 2009

Artikel dari Mr. Cressy Morisson, bekas Presiden ‘New York Academy Of Sciences’ yang pertama kali terbit di dalam Reader’s Digest Januari, 1948 ;kemudian dengan sokongan Professor C. A. Couldson, F. R.S. Profesor Matematik di Universiti Oxford ianya telah diterbit semula di dalam Reader’s Digest November 1960. Rencana ini membuktikan para saintis mengakui betapa perlunya kehadiran tuhan yang maha Pencipta.

Kita masih lagi berada dalam keheningan subuh zaman saintifik dan setiap peningkatan sinar mentari membawa petunjuk akan keagungan maha pencipta.Setelah 90 tahun sejak Darwin membuat penemuan dengan semangat sains kemanusian dan dengan kepercayaan kepada pengetahuan yang semakin hampir kita dekati menyebabkan kita semakin bertambah yakin dengan adanya Tuhan.

Untuk diri saya, saya telah menghitung 7 alasan untuk menyimpulkan kepercayaan saya ini.

Pertama, dengan menggunakan hukum matematik kebarangkalian, kita boleh membuktikan bahawa alam ini telah direkabentuk dan dicipta dengan kejuruteraan yang maha bijaksana. Jika anda ambil 10 keping wang syiling dan tandakan dari 1 hingga 10, kemudian masukkan ke dalam poket anda dan gaulkan syiling2 tersebut. Sekarang anda cuba anda mengambilnya secara teratur dari no. 1 hingga 10 dan masukkan kembali syiling2 tersebut dan gaulkan mereka kembali, Secara matematik, kita tahu bahawa kebarangkalian anda untuk mendapatkan syiling bernombor 1 adalah 1 dalam 10, peluang untuk mendapatkan no. 1 dan no. 2 secara berturutan adalah 1 dalam 100 dan peluang untuk mendapatkan 1, 2 dan 3 secara berturutan secara berterusan adala 1 dalam 1000 dan begitulah seterusnya. Peluang anda untuk mendapatkan no. 1,2,3,4,5,6,7,8,9 dan 10 secara berterusan adalah 1dalam 10 juta kali.

Mengikut kaedah yang sama, terlalu banyak keadaan yang ideal dan optima yang diperlukan di dalam kehidupan di atas bumi ini dan ianya pasti tidak akan wujud jika ianya terjadi dengan sendirinya, Bumi berpusing pada paksinya pada kelajuan 1,000 batu sejam. Jika ianya berpusing pada kelajuan 100 batu sejam, hari2 dan malam2 bumi akan menjadi 10 kali lebih lama dari sekarang,dan kepanasan matahari akan membakar seluruh tumbuhan pada waktu siang dan pada waktu malam pula, kehidupan yang ada ini akan membeku.

Matahari, sumber kehidupan ini, mempunyai suhu permukaan sebanyak 12,000 darjah Fahrenheit dan dunia ini mempunyai jarak yang optima jika dibandingkan dengan matahari supaya pancaran matahari sekadar cukup untuk memanaskan dan tidak terlalu berlebihan. Jika matahari memancar cahaya dengan kadar sebanyak 50% kurang dari yang ada sekarang, kita akan kebekuan dan jika ianya memancarkan 50% lebih pancaran, kita akan terbakar.

Kecondongan bumi sebanyak 23 darjah memberikan bumi 4 musim, jika bumi tidak condong sebanyak itu, wap dari lautan akan bergerak menuju utara dan selatan dan akan menyebabkan benua2 akan menjadi benua air batu. Jika bulan yang kita ada sekarang cuma berjarak sejauh 50,000 batu dari bumi dari jarak sebenarnya sekarang, air pasang surut dari lautan akan menjadi terlalu besar di mana dalam 2 kali sehari, seluruh benua di bumi akan ditenggelami air dan gunung ganang pun akan terhakis sama sekali. Jika lapisan teras bumi menjadi 10 kaki lebih tebal dari yang ada sekarang, ianya akan menyebabkan tiada lagi oksigen yang akan wujud di mana semua kehidupan akan mati. Jika lautan menjadi beberapa kaki lebih dalam dari yang ada sekarang, karbon dioksida dan oksigen akan terlarut semuanya di dalam lautan dan akan menyebabkan tiada tumbuhan lagi akan wujud. Atau jika atmosfera kita menjadi semakin tipis, sebahagian dari meteor akan terbakar di angkasa dan di bumi sebanyak berjuta2 kali dalam sehari dan akan mengenai bumi dan menyebabkan kebakaran di mana-mana jua. Disebabkan alasan-alasan di atas, tidak ada kemungkinan satu dalam berjuta-juta pun bahawa kehidupan di atas planet bumi ini terjadi secara kebetulan.

Kedua: Keadaan kehidupan itu sendiri untuk menyempurnakan tujuan kehidupan itu sendiri adalah menesfitasi akan kewujudan yang maha bijaksana. Kehidupan itu sendiri, tiada manusia yang benar2 mengerti tentang pengertiannya. Ianya tidak mempunyai berat atau dimensi, tetapi ianya mempunyai kekuatan dan daya: akar yang hidup akan memecahkan batu.

Kehidupan telah menguasai air, daratan dan udara, telah menguasai elemen dan telah membentuk dan melarutkan elemen dan membuat perubahan kepada kombinasi mereka. Kehidupan, pencipta yang telah membentuk semua kehidupan yang ada,artis yang merekabentuk setiap daunan untuk setiap pohonan dan mewarnakan setiap bunga yang ada. Kehidupan adalah ibarat pemuzik dan membuat setiap burung mempunyai lagu2 cinta mereka sendiri, serangga akan memanggil sesama mereka dalam nada beraneka mereka sendiri.

Kehidupan adalah ahli kimia yang agung, memberi rasa kepada setiap buah-buahan dan rempah ratus, dan memberi bauan kepada mawar dan bunga-bungaan lainnya, merubah air dan asid karbonik menjadi gula dan kayu dan dengan membuat demikian,menghasilkan oksigen agar setiap haiwan dapat hidup benafas. Awas, setiap tumpahan protoplasma yang hampir tidak kelihatan, lutsinar dan berbentuk seperti agar2 mampu bergerak dan mandapatkan tenaga dari cahaya matahari. Kehidupan satu sel ini menyimpan mikro-organisma kehidupan itu sendiri dan mempunyai tenaga untuk mengagih-agihkan kehidupan kepada setiap benda bernyawa amat berkuasa tetapi telalu kecil. Kuasa pada setiap tumpahannya adalah lebih besar dari tumbuhan, haiwan dan manusia itu sendiri, kerana setiap kehidupan adalah bermula darinya. Alam semula jadi tidak dapat mencipta kehidupan: batu-batuan yang panas dan kemasinan laut tidak dapat memenuhikeperluan kehidupan.

Tetapi,siapakah yang telah mengwujudkan kehidupan itu sendiri?

Ketiga: Kebijaksanaan haiwan itu sendiri telah menyuarakan akan keagungan maha pencipta yang mamasukkan naluri kedalam haiwan. Ikan Salmon menghabiskan beberapa tahun usianya di dalam lautan, akhirnya akan kembali kepada asal usul sungainya: akan berenang untuk kembali kepada sungai dan habitat di mana ia telah dilahirkan. Apakah yang menyebabkan mereka kembali ke tempat asal mereka dengan begitu tepat sekali?

Jika anda mengubah ikan tersebut kepada habitat lain, ikan ini akan mengetahui bahawa dia telah tersalah haluan dan akan berusaha sekali lagi untuk berenang menentang harus untuk menghabiskan destinasinya dengan lebih tepat lagi. Adalah lebih sukar lagi untuk menyelesaikan misteri kehidupan belut. akhluk ajaib ini berhijrah apabila mencapai umur matang dari setiap kolam dan sungai di mana-mana merata dunia – dari Eropah akan menyeberangi beribu-ribu batu lautan – semuanya akan berkumpul pada lubuk yang dalam berdekatan laut Bermuda. Di sana mereka akan mengawan dan mati. Anak2 belut tanpa pengetahuan yang kita tahu kecuali hidup liar dalam lautan, walau bagaimanapun akan mengetahui jalan pulang mereka bukan sahaja persisiran pantai di mana ibu bapa mereka berasal ahkan sampai kepada setiap sungai atau kolam kecil di mana mereka berasal – menyebabkan setiap bahagian air akan sentiasa didiami oleh belut. Tiada belut Amerika yang ditangkap di Eropah dan begitu juga sebaliknya. Alam semulajadi juga telah melengahkan kematangan belut Eropah selama setahun atau lebih untuk enghabiskan jarak perjalanannya yang lebih panjang.

Dari manakah asalnya deria pengemudian mereka ini?

Bersambung esok Dalam Siri 2…


Lilypie - Personal pictureLilypie Fourth Birthday tickers Lilypie - Personal pictureLilypie First Birthday tickers

PPSMI

7 03 2009

Hari ni akan berhimpunlah pejuang pejuang bahasa dan golongan yang membantah pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Suatu detik yang bakal mencatat sejarah kerana bukan mudah untuk melihat pejuang pejuang bahasa yang non partisan berarak menyuarakan rasa kecewa dengan dasar kerajaan. Dahulu pernah juga diarak Keranda 152.

Secara peribadi saya memang membantah PPSMI ini sejak ia mula dilaksanakan. Ia sebenarnya adalah satu dasar mi segera yang dilakukan secara tergesa-gesa tanpa melakukan kajian terperinci dan merujuk kepada mereka yang arif. Untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris, ini bukan caranya tetapi memantapkan silibus matapelajaran Bahasa Inggeris itu sendiri.

Paling kasihan adalah anak-anak kampung yang tidak memahami Bahasa Inggeris. Sudalah Matematik dan Sains adalah subjek yang mencabar ditambah pula dengan ketidakfahaman Bahasa Inggeris, sudah tentu merencatkan proses pembelajaran.

Kalau dilihat negara yang cemerlang dalam matematik di dunia mempelajari Matematik dalam bahasa Ibunda mereka. Lihatlah Jepun, Jerman, Korea dan Russia. Saya rasa tak perlu saya hujah panjang kerana dalam e-book yang diterbitkan secara percuma oleh Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan cukup lengkap menghuraikannnya. Anda boleh muat turun di sini.

Muat Turun Ebook Mengapa Kami Bantah PPSMI


Lilypie - Personal pictureLilypie Fourth Birthday tickers Lilypie - Personal pictureLilypie First Birthday tickers

Hari Valentine

14 02 2009

Oh ya… Hari ini 14 Febuari 2009. Hari Valentine. Semalam lagi saya terperasan hari Valentine kerana cikgu tadika anak saya mengajar anak saya membuat kad ucapan Valentine’s day. Saya kurang senang dengan tindakan guru tersebut tetapi memandangkan guru tersebut adalah bukan Islam, saya beranggapan mereka tidak begitu tahu hukum hakam kita. 

Lalu saya ceritakan kepada anak saya, Syasya yang berusia 2 tahun 5 bulan tentang Valentine Day ni tidak disambut oleh orang Islam. Walaupun dianggap sebagai hari berkasih saya pun, saya rasa seolah tidak kena. Namun apabila melihat betapa promosi Valentine’s Day dilakukan secara besar-besaran dalam media dan lain-lain yang juga melibatkan Umat Islam, saya tidak mengerti.

Saya tidak mengerti mengapakah sebegitu jadinya. Hari Valentine merupakan satu hari yang diolah sebagai satu jarum halus untuk melemahkan akidah Umat Islam.

Saya ingin memetik sedikit apa yang saya baca dalam sebuah buku yang baru saya beli. Buku Siri Mencari Keberkatan: Rahsia Untuk Umat Islam oleh Nazri Zakaria yang menghuraikan sejarah Hari Valentine.

Ia bermula oleh Orang Romawi yang merayakan satu perayaan yang dikenali sebagai Lucipercalia untuk memperingati Juno (Tuhan wanita dan perkahwinan) serta Pan  (Tuhan dari alam ini). Pesta ini membolehkan lelaki dan perempuan yang menghadirinya memilih pasangan masing-masing dengan menulis nama yang dimaksudkan dalam jambangan dan kemudiannya diundi. Kemudian mereka saling menukar hadiah sebagai tanda cinta mereka. Mereka berpesta dalam keadaan bogel sehingga pagi dengan bebas melakukan apa sahaja.

Kemudian apabila agama Kristian disebarkan, mubaligh Kristian memberikan pengertian yang berbeza tentang perayaan ini dan mereka menukarnya kepada Valentine’s Day dan diawalkan sehari sebagai penghormatan kepada paderi Kristian, St. Valentino yang dihukum mati pada 14 Febuari 496 Masehi.

Ada dua versi sebenarnya… Secara ringkas saya ceritakan

Versi pertama:

St. Valentino merupakan seorang paderi yang amat berperanan menundukkan Kerajaan Islam Sepanyol hingga dianggap kekasih oleh Ratu Isabella dan 14 Febuari dianggap sebagai hari merayakan kejayaan menewaskan  Kerajaan Islam Sepanyol.

Versi Kedua:

St. Valentino mempunyai dua kekasih iaitu Kekasih beragama Islam dan juga seorang lagi beragama Kristian Mazhab Protestan. Apabila diminta oleh Ratu Isabella apakah ganjaran yang dihajatinya setelah menewaskan Kerajaan Islam Sepanyol, St. Valentino mahu dibenarkan berkahwin dengan kekasihnya yang bermazhab Protestan. Ini menimbulkan kegemparan apabila St. Valentino bermazhab Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan orang Mazhab Protestan apatah lagi St. Valentino adalah seorang paderi yang tidak dibenarkan berkahwin lalu dihukum bunuh oleh Ratu Isabella.

Tetapi jasa St. Valentino tetap diabadikan oleh Ratu Isabella dan diraikan sebagai Hari Kekasih.

Jadi mengapa masih mahu kita sambut hari Valentine? Sebab itu para mufti sudah pun mengeluarkan fatwa berkenaan sambutan Hari Valentine ini. Amat sedih apabila ramai juga muda mudi yang tidak menghiraukan larangan dan menyambutnya dengan penuh rasa bangga. Secara halus dakyah musuh Islam sudah pun menyelinap dalam masyarakat Islam kita.

Marilah sama-sama kita perbetulkan kesalahan kita. Andai kata kita sebelum ini jahil, marilah sama-sama mencari sedikit ilmu buat bekalan kita pada masa depan.

Saya juga memperingatkan diri saya dalam hal ini, moga kita sentiasa dilindungi dan dirahmati Allah sentiasa, InsyaAllah…


Lilypie - Personal pictureLilypie Fourth Birthday tickers Lilypie - Personal pictureLilypie First Birthday tickers